Surat terbuka pra-Kabinet kedua – buktikan Kabinet bukan jenis yang tidak berkualiti dan terdiri daripada menteri ‘tunggul kayu’ dengan memastikan Ismail Sabri menarik balik kenyataannya dan meminta maaf ke atas seruan perkaumannya supaya pengguna Melayu memboikot peniaga Cina, atau sebaliknya berhenti daripada menjadi anggota Kabinet

Ke hadapan Perdana Menteri dan Kabinet,

Ini surat terbuka pra-Kabinet saya yang kedua dalam tempoh 49 tahun keterlibatan saya dalam politik, kerana negara Malaysia kini sedang berada dalam saat-saat kritikal dan pihak Kabinet mestilah menunjukkan kepimpinan melalui tauladan, yang nampaknya tidak kelihatan.

Minggu lalu saya telah menyenaraikan beberapa kegagalan utama Kabinet dalam bulan pertama bagi tahun baru 2015, iaitu:

  • Kegagalan untuk menjalankan siasatan awam secara besar-besaran dan sebaik mungkin, seperti menubuhkan sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi menyiasat pengurusan bencana yang begitu haru-biru, sama ada dari segi respon, bantuan mahu pun pembinaan semula pasca banjir 2014, bencana banjir paling buruk dalam sejarah Malaysia, yang telah mengorbankan 25 nyawa, serta melibatkan sekitar satu juta mangsa, suku juta pula dipindahkan ke pusat-pusat pemindahan dan juga mengakibatkan kerugian berbilion ringgit.
  • Sikap dayus politik apabila gagal menangani skandal Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Zahid Hamidi yang melanggar kod etika menteri malah mencabul Akta Rahsia Rasmi apabila beliau mengutus surat kepada pihak FBI bagi menjamin karakter dan integriti seorang individu yang didakwa sebagai raja judi, Paul Phua yang sedang dibicarakan di mahkamah Las Vegas, Nevada atas pertuduhan judi haram, bercanggah dengan laporan pihak polis Malaysia kepada pihak FBI - tanpa izin dan makluman Ketua Polis Negara, Kementerian Luar, Kabinet mahupun Perdana Menteri.
  • Kegagalan untuk menegur dan menyangkal kenyataan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan yang tidak bertanggungjawab kononnya memulihkan pilihanraya kerajaan tempatan boleh menjadikan polarisasi kaum bertambah teruk, kerana tidak pernah mana-mana menteri kerajaan tempatan membuat kenyataan sedemikian dalam tempoh 50 tahun sejak pilihanraya kerajaan tempatan digantung pelaksanaannya pada Mac 1965 atas alasan ancaman Konfrontasi Indonesia.
  • Kegagalan menghentikan tindakan bertentangan hak asasi manusia, sama ada terhadap mahasiswa mahupun ahli akademik, seperti keengganan memperbaharui kontrak timbalan naib canselor Universiti Malaya, Prof. Dr. Mohd Hamdi Abdul Shukor kerana beliau tidak mahu menyokong Umno, tindakan menghukum pemimpin pelajar UM8 di Universiti Malaya kerana menganjurkan acara pidato politik; atau bertindak bertentangan dengan kebebasan bersuara dan berpendapat, seperti yang diperlihatkan dalam serbuan polis di pejabat kartunis Zulkiflee Anwar Ulhaque atau lebih dikenali sebagai Zunar, dalam siasatan polis di bawah Akta Hasutan.

Kabinet telah mencipta dua lagi kegagalan sejak mesyuarat Kabinet Rabu lalu, iaitu:

  • Menteri-menteri Kabinet membenarkan, membiarkan dan mempertahankan kenyataan perkauman Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ismail Sabri yang menyeru pengguna Melayu supaya memboikot peniaga Cina apabila 35 menteri nampaknya bersatu dan menyokong Ismail dengan slogan ‘Kami Semua Ismail Sabri’ sedangkan mereka sepatutnya berkata ‘Kami Semua Bukan Ismail Sabri’.
  • Kenyataan oleh Pejabat Perdana Menteri Semalam, dalam masa kurang setengah jam Mahkamah Persekutuan memberikan keputusannya untuk menolak rayuan Datuk Seri Anwar Ibrahim malah sebelum hukuman dijatuhkan, yang mendakwa bahawa proses yang menyeluruh dan komprehensif telah selesai, sedangkan ia belum selesai serta menimbulkan persoalan sama ada pihak Eksekutif mempunyai maklumat tentang keputusan Mahkamah Persekutuan, dan persoalan yang lebih penting lagi ialah sama ada wujud badan kehakiman yang bebas dan kedaulatan undang-undang di Malaysia.

Setengah dozen isu besar ini wajar dilihat semula oleh pihak Kabinet, dan kalau pun bukan semua dibincangkan hari ini, ia sekurang-kurangnya bertindak ke atas satu isu dan membuktikan bahawa Kabinet bukanlah bersifat lemah longlai dan terdiri daripada menteri-menteri ‘tunggul kayu’ dengan memastikan dengan memastikan Ismail Sabri menarik balik kenyataannya dan meminta maaf ke atas seruan perkaumannya supaya pengguna Melayu memboikot peniaga Cina, atau sebaliknya berhenti daripada menjadi anggota Kabinet.

Mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad telah meminta orang ramai supaya menilai dengan teliti kenyataan Ismail sebelum menghukum, sambil berkata bahawa apa yang kita baca di surat khabar sahaja tidak mencukupi.

Oleh yang demikian, saya pun mencari perkongsian asal di Facebook Ismail, yang merupakan perkongsian paling terkenal di kalangan personaliti awam di Malaysia, yang begitu terkenal dan mempersalahkan diri sendiri sehingga Ismail pun telah memadamkannya!

Membaca semula perkongsian asal oleh Ismail yang mencadangkan supaya pengguna Melayu memboikot peniaga Cina, ia memperlihatkan suatu pelanggaran yang amat dahsyat terhadap ikrar seorang Menteri untuk berkhidmat kepada semua rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum atau agama justeru mesti dikecam dengan sekeras-kerasnya - dan bukan kerja Kabinet untuk membenarkan, membiarkan apatah lagi mempertahankan kenyataan Ismail sepertimana yang telah ia lakukan pada hari Rabu yang lalu.

Saya cadangkan kesemua 35 menteri hari ini membaca semula perkongsian Facebook Ismail Sabri, dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak patut patut bertanya kepada setiap Menteri Kabinet sama ada mereka komited untuk menjadi menteri untuk semua rakyat Malaysia, bukan sahaja untuk sesebuah kaum, agama atau daerah; dan kemudian meminta mereka yang tidak bersedia untuk menjadi menteri bagi semua supaya segera meletakkan jawatan.

Ismail mempertahankan kenyataan perkaumannya supaya pengguna Melayu memboikot peniaga Cina dengan mendakwa bahawa kenyataannya itu telah difahami di luar konteks.

Saya tidak fikir ada mana-mana Kabinet dalam sejarah Malaysia di mana menterinya begitu banyak sekali mencipta alasan terhadap kenyataan yang dipetik di luar konteks bagi mengelak kebertanggungjawaban atas kecuaian serta kenyataan dan penegasan yang tidak berasas.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein menggunakan alasan ‘dipetik di luar konteks’ untuk menjustifikasi kenyataannya yang langsung tidak boleh diterima bahawa seruan perkauman Ismail itu ‘tidaklah seteruk apa yang dilakukan ISIS’.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi juga selalu mencari perlindungan dengan alasan ‘dipetik di luar konteks’, seperti pada September tahun lalu apabila beliau mendakwa kenyataannya bahawa orang bukan Melayu semakin bongkak dan berani menghina golongan majoriti Bumiputera telah dipetik di luar konteks; dan pada Oktober 2013 apabila beliau berkata bahawa kenyataan polis tembak dahulu baru tanya soalan juga telah dipetik di luar konteks.

Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri juga tidak asing dengan tipu-helah dan alasan ‘dipetik di luar konteks’ ini, dan contoh paling popular bagi Najib adalah puji-pujiannya terhadap ISIS dalam sebuah majlis makan malam Umno pada bulan Julai tahun lalu.

Adakah terlalu melampau bagi rakyat Malaysia mengharapkan Perdana Menteri, Timbalannya dan keseluruhan 35 Menteri Kabinet untuk lebih berhati-hati dan teliti dengan kenyataan mereka di khalayak supaya mereka tidak begitu kerap dipetik di luar konteks?

Dalam apa keadaan pun, Ismail tidak dipetik di luar konteks ketika beliau membuat seruan perkauman supaya pengguna Melayu memboikot peniaga Cina, dan Kabinet hari ini tidak boleh mengabaikan tugasnya untuk menyatakan pendirian bagi pihak seluruh rakyat Malaysia.

Mungkin apa yang telah saya katakan sewaktu makan malam pada Isnin lalu, di ambang keputusan Mahkamah Persekutuan terhadap kes Anwar, boleh dipertimbangkan oleh pihak Kabinet - saya telah mencadangkan supaya mereka yang telah berusia untuk berundur daripada baris hadapan dan memberi ruang kepada generasi pasca merdeka untuk mengambil alih kepimpinan dalam setiap ruang lingkup kehidupan.

Usia purata anggota Kabinet Malaysia ialah 58.5 tahun, di mana separuh daripada anggota Kabinet berusia lebih 60 tahun - antara usia 60 tahun Idris Jusoh dan Douglas Uggah Embas dan usia 68 tahun Muhyiddin Yassin - manakala Datuk Seri Najib Razak berusia 62 tahun.

Sekitar 90 peratus daripada 30 juta rakyat Malaysia lahir selepas Merdeka pada 31 Ogos 1957. Populasi rakyat Malaysia dari segi usia terdiri daripada: 0-14 tahun 28.8%; 15-24 tahun 16.9%, 25-54 tahun 41.2%, 55-64 tahun 7.6%, 65 tahun ke atas 5.5%.

Bukankah sudah tiba masanya populasi yang lebih muda mengambil alih kepimpinan di semua peringkat kehidupan di Malaysia, termasuk Kabinet?

Sekiranya kita mempunyai Kabinet yang dengan beberapa pengecualian, terdiri daripada Menteri yang lahir selepas Merdeka, separuh daripada anggota Kabinet boleh dilupuskan - mereka yang dikutuk oleh mantan Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai tidak berkualiti, dan dicerca Tun Daim Zainuddin sebagai 'tunggul kayu'.

Dengan Kabinet yang lebih muda, kuranglah kemungkinan bencana seperti yang dilakukan Menteri Dalam Negeri Zahid Hamidi dalam suratnya kepada FBI bagi menjamin karakter dan integriti seorang raja judi, serta kenyataan perkauman Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Ismail Sabri Yaakob supaya pengguna Melayu memboikot peniaga Cina.

Mari kita lihat Kabinet Merdeka Tunku Abdul Rahman pada tahun 1957, yang mempunyai usia purata 43.3 tahun - dengan Tunku sebagai Perdana Menteri pada usia 54 tahun, Menteri Kewangan HS Lee 57 tahun, paling tua; manakala Menteri Pelajaran Khir Johari berusia 34 tahun dan Timbalan Perdana Menteri Abdul Razak Hussein, 35 tahun.

Saya akhiri dengan harapan supaya pihak Kabinet menjalankan tugas dan tanggungjawabnya kepada negara dan rakyat Malaysia hari ini.

Lim Kit Siang Ketua Parlimen DAP & Ahli Parlimen Gelang Patah