Peguam-peguam saya telah diarahkan untuk memulakan prosiding sivil dan jenayah terhadap blogger Umno Syed Akbar Ali berkenaan tweet fitnah beliau yang mendakwa saya seorang komunis dan bersikap perkauman yang anti-Melayu dan menyebabkan tercetusnya pergaduhan kaum 13 Mei

Saya telah mengarahkan peguam-peguam saya untuk memulakan prosiding sivil dan jenayah terhadap blogger Umno Syed Akbar Ali berkenaan tweet fitnah beliau lewat malam semalam yang mendakwa saya seorang komunis dan bersikap perkauman yang anti-Melayu dan menyebabkan tercetusnya pergaduhan kaum 13 Mei.

Tweet Syed Akhbar turut memuatkan grafik menunjukkan saya berpakaian ala Mao Tse Tung, mendakwa saya ‘Bapa 13 Mei’ dan menuduh saya menjadi pencetus rusuhan kaum 13 Mei 1969 lantaran kenyataan dan slogan dan anti Melayu daripada saya, dengan kapsyen berbunyi, “MELAYU KELUAR! APA LAGI DUDUK SINI, KITA HENTAM LU, SEKARANG KITA SUDAH ADA KUASA” LIM KIT SIANG (BAPA 13 MEI)”

Grafik yang dikongsikan dalam tweet Syed Akbar mendakwa saya telah membuat kenyataan-kenyataan di bawah, di masa dan tempat seperti berikut:

  1. Menggunakan slogan “Malai-Si” bermaksud “Mati Melayu”.
  2. “Apa polis boleh buat, kita Raja. Buang sama polis Melayu.” - (11 Mei 69, Bukit Bintang)
  3. “Mati Melayu, sakai pergi masuk hutan”. - (11 Mei 69, Jalan Bukit Bintang).
  4. “KL sekarang cina punya”. - (11 Mei 69, Jalan Changkat Dollah)
  5. “Melayu balik kampung, melayu sekarang tiada kuasa. Sekarang kita Cina sudah control.” - (12 Mei 69, Jalan Tunku Abdul Rahman)
  6. “Melayu keluar...! Apa lagi duduk sini, kita hentam lu, sekarang kita sudah ada kuasa...” - (12 Mei 69, Jalan Khir Kampung Baru)
  7. “...semua Melayu kasi habis, kasi halau semua polis.” - (12 Mei 69, depan Balai Polis, Jalan Pudu)
  8. “Apa ini Melayu, kita sudah perintah dia negeri, ini negeri bukan melayu punya, mata-mata lancau...!” - (12 Mei 1969)
  9. “Butuh Melayu, Malai si, pergi mati Melayu...” - (12 Mi 69, Jalan Canvel).
  10. “Ini negeri bukan Melayu punya, kita mahu kasi halau semua Melayu” - (12 Mei 69, Jalan Bukit Bintang).

Ini semua merupakan pembohongan jahat. Bukan sahaja saya tidak pernah menyebut semua ini (malah perkataan ini semua tergolong dalam kategori yang tidak pernah saya gunakan sepanjang hidup), saya juga tidak berada di Kuala Lumpur pada 11 hingga 13 Mei 1969, ketika rusuhan 13 Mei, dan ini boleh dibuktikan oleh Cawangan Khas melalui rekod mereka.

Retorik kebencian, intoleransi, kefanatikan dan ekstremisme berasaskan pembohongan dan kepalsuan semakin menjadi-jadi akhir-akhir ini.

Rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum, agama, daerah, usia dan jantina mesti bersatu dan menyatakan dengan jelas bahawa mereka tidak akan membenarkan puak ekstremis dan penjaja kebencian, intoleransi dan kefanatikan ini memusnahkan keamanan, perpaduan dan keharmonian serta masa depan Malaysia yang berbilang kaum, agama, bahasa dan budaya dengan bahasa, retorika dan politik kebencian yang penuh muslihat.

Saya menyeru semua rakyat Malaysia yang moderat dan patriotik untuk bersatu dan mengatakan TIDAK kepada ekstremisme dan tidak bertoleransi dengan politik pembohongan dan kebencian.

Semoga keputusan saya untuk memulakan prosiding jenayah dan sivil terhadap Syed Akbar Ali menjadi tamparan pertama daripada rakyat Malaysia yang terhormat, moderat dan patriotik untuk menyelamatkan Malaysia daripada ekstremisme dan menyatakan ‘Toleransi Sifar kepada politik ekstremisme, kebencian dan penipuan di Malaysia’.

Lim Kit Siang Ketua Parlimen DAP & Ahli Parlimen Gelang Patah