Pilih sama ada jalankan pilihanraya umum, atau 222 orang Ahli Parlimen ini boleh memilih untuk melangkau garis perkauman, agama serta kepartian dan melantik seorang Perdana Menteri untuk ‘Selamatkan Malaysia’, yang komited untuk mempertahankan Perlembagaan, kedaulatan undang-undang dan kesederhanaan

Malaysia ternyata telah menjadi daerah tak bertuan; belum pernah lagi negara ini begitu uzur dan terdera dengan begitu banyak krisis, tidak kira skandal kewangan RM42 bilion 1MDB, cukai 6% GST yang dikenakan bermula 1 April, polarisasi kaum terburuk dalam sejarah negara dengan peningkatan ekstremisme dan sikap tidak toleran seperti yang terlihat dalam insiden salib di Taman Medan Selangor; hilangnya keyakinan dalam dan luar negeri terhadap Perdana Menteri; krisis besar di kedua-dua gabungan politik utama dalam negara – Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat; dan paling utama sekali, masa depan dan survival Perlembagaan Merdeka 1957 serta Persekutuan Malaysia yang dibentuk pada tahun 1963!

Buat pertama kali dalam sejarah negara, wujud spekulasi terbuka tentang siapa patut menjadi Perdana Menteri Malaysia yang baru, memintas bukan sahaja Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tetapi juga Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin!

Seorang bekas menteri telah berkata Umno sedang meletup dengan perbalahan dalaman yang sedang menghancurkan parti itu.

Seorang lagi bekas menteri Umno telah memberi amaran ‘tsunami Melayu’ dalam pilihanraya umum akan datang, dengan mendakwa keyakinan Najib bahawa para pemuka-pemuka Umno memberi sokongan penuh kepadanya telah membuat Najib meluluskan dasar-dasar yang tidak popular yang boleh menyebabkan rakyat menolaknya di peti undi kelak.

Seorang bekas menteri undang-undang turut memetik nama veteran Umno, Tengku Razaleigh Hamzah sebagai pilihan terbaik untuk menggantikan Najib sebagai Perdana Menteri; mengesampingkan Muhyiddin dengan berkata “orang nombor dua itu tidak mungkin membawa perubahan kepada negara dan merungkai perbuatan Najib selama beberapa tahun lalu.” (“the current number two is unlikely to reform the country and undo what Najib has done in the past few years”.)

Beliau percaya bahawa sekiranya mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir mahukan ‘pemimpin yang lebih baik dan akauntabel untuk Umno dalam tahun-tahun mendatang, dan pada masa yang sama mahu menghentikan korupsi sistemik dalam parti itu dan memperbaiki kualiti institusi awam’, pengganti yang sepatutnya dipilihnya mestilah tidak lain tidak bukan, Tengku Razaleigh.

Saya tidak fikir bahawa sesiapa pun, terutama sekali Mahathir, yang sepatutnya memikul tanggungjawab terbesar atas begitu banyak masalah dan dugaan yang mendepani negara hari ini; wajar memutuskan siapa yang patut menjadi Perdana Menteri baru selepas Najib.

Ketika saya memberitahu mahasiswa Malaysia di Iskandariah sepuluh hari lalu dalam lawatan Ahli-ahli Parlimen DAP ke Jordan dan Mesir bahawa saya bersedia untuk bekerjasama dengan Mahathir, saya secara spesifik merujuk kepada agenda ‘Selamatkan Malaysia’ kerana saya langsung tidak berminat dengan agenda untuk ‘Selamatkan Umno’ atau ‘Selamatkan Najib’.

Malahan sebenarnya, tidak ada apa-apa yang saya boleh kerjakan bersama Mahathir atau sesiapapun untuk ‘Selamatkan Umno’ atau ‘Selamatkan Najib’, kerana Umno adalah sebuah parti rosak yang tidak boleh dibaiki lagi, sebati dengan politik wang dan salahguna kuasa; dan sumbangan terbesar yang boleh diberikan oleh Umno kepada perkembangan sihat politik demokratik dan pembinaan negara-bangsa Malaysia ialah untuk beransur ke kerusi Pembangkang bagi membolehkan Malaysia menjadi sebuah negara demokratik yang normal di mana peralihan kuasa daripada satu gabungan politik kepada yang lainnya tidak dianggap sebagai satu masalah negara bahkan satu kebiasaan bagi sesebuah negara untuk beransur mempunyai demokrasi yang normal.

Saya telah memberitahu mahasiswa Malaysia di Iskandariah bahawa tumpuan sekarang mestilah untuk ‘Selamatkan Malaysia’ daripada dasar-dasar ‘roller-coaster’ yang boleh menjerumuskan negara ke lembah kehancuran, tidak kira dalam usaha membina negara, politik, ekonomi, pendidikan atau aspek-aspek lain dan menjadi sebuah negara yang gagal.

Untuk memikul tugas yang hebat ini, kita haruslah bersedia untuk mengesampingkan segala perbezaan dan menumpukan seluruh tenaga terhadap satu agenda bersama, untuk menyelamatkan Malaysia daripada semua anasir yang mengancam untuk memecahbelah dan menghancurkan negara.

Apakah penyelesaian bagi kebuntuan ini serta krisis-krisis lain yang dihadapi negara?

Pilih sama ada jalankan pilihanraya umum, atau 222 orang Ahli Parlimen yang dipilih dalam PRU ke-13 5 Mei 2013 ini boleh memilih untuk melangkau garis perkauman, agama serta kepartian dan melantik seorang Perdana Menteri untuk ‘Selamatkan Malaysia’, yang komited untuk mempertahankan Perlembagaan, kedaulatan undang-undang dan kesederhanaan sebagai satu cara hidup Malaysia dan contoh kepada dunia.

Seluruh rakyat Malaysia mesti mendakap agenda ‘Selamatkan Malaysia’, dan kecualilah jika suatu pilihanraya umum diadakan untuk melantik anggota Parlimen dan sebuah kerajaan baru, kesemua 222 Ahli Parlimen yang dilantik pada tahun 2013, tanpa mengira kaum, agama dan kepartian wajar melantik seorang Perdana Menteri baru dan menyokong sebuah gabungan baru di Putrajaya dalam tempoh 24 ke 30 bulan akan datang yang melampaui BN dan PR untuk ‘Selamatkan Malaysia’ dan meletakkan negara dalam haluan yang jelas demi mempertahankan Perlembagaan, kedaulatan undang-undang dan kesederhanaan sebagai cara hidup Malaysia dan menjadi contoh kepada dunia.

Saya telah katakan bahawa Perdana Menteri bagi gabungan baru ‘Selamatkan Malaysia’ boleh datang daripada kedua-dua belah Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat, boleh jadi dari Semenanjung, Sarawak mahupun Sabah, dan boleh jadi lelaki mahupun wanita – seseorang yang boleh mendapatkan keyakinan 222 Ahli Parlimen dan mengetuai agenda nasional untuk ‘Selamatkan Malaysia’ demi mempertahankan Perlembagaan, kedaulatan undang-undang dan kesederhanaan sebagai cara hidup Malaysia dan menjadi contoh kepada dunia.

Malah saya telah menyebut banyak nama, dari Semenanjung, Sarawak dan Sabah di kalangan 222 Ahli Parlimen sekarang yang boleh dipertimbangkan sebagai calon Perdana Menteri bagi gabungan ‘Selamatkan Malaysia’ ini – dan Tengku Razaleigh adalah salah seorang daripada mereka.

Apa yang lebih penting daripada persoalan siapa yang akan menjadi Perdana Menteri selepas Najib sebenarnya ialah agenda konsensus nasional untuk ‘Selamatkan Malaysia’, yang mesti membentuk sebuah dasar bersama bagi kerajaan gabungan pasca-BN dan PR bagi tempoh 24-30 bulan sebelum PRU ke-14, demi mempertahankan Perlembagaan, kedaulatan undang-undang dan kesederhanaan, yang mesti membawa bersama reformasi dasar-dasar politik, ekonomi, pendidikan dan pembinaan negara, mengisytiharkan perang terhadap rasuah dan salahguna kuasa, memulihkan demokrasi, menjunjung hak asasi manusia dan mengembalikan kepada rakyat Malaysia rasa bangga menjadi rakyat Malaysia agar dapat berasa megah bukan sahaja kerana wawasan kita bersama tetapi juga pencapaian negara dan komitmen ke arah kecemerlangan dalam setiap lapangan usaha.

Adakah rakyat Malaysia mampu berhadapan cabaran dan rintangan yang mendatang, bukan sahaja untuk membayangkan malah untuk mencapai sebuah konstruk politik untuk ‘Selamatkan Malaysia’ dengan sebuah gabungan pasca BN-PR dalam masa 24-30 bulan mendatang?

Lim Kit Siang Ketua Parlimen DAP & Ahli Parlimen Gelang Patah