Dua bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir dan Tun Abdullah patut dihantar dalam misi nasional ke Australia untuk bertanya kepada Sirul, siapa yang telah memberi arahan untuk membunuh model Mongolia, Altantuya Shaariibuu

Dalam kenyataan media saya pada 21 Mac 2015, saya telah berkata: “Dalang konspirasi UG Umno telah mencapai kejayaan yang tidak disangka-sangka dalam tempoh setahun sahaja, apabila persoalan enakmen hudud Kelantan menenggelamkan kesemua isu yang menghantui Umno dan juga Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak – skandal 1MDB, pemenjaraan lima tahun Anwar Ibrahim, pembunuhan warga Mongolia Altantuya Shaariibuu pada tahun 2006 dan hukuman salah terhadap dua bekas komando polis Azilah Hadri dan Sirul Azhar, tanpa mendapat tahu motif di sebalik pembunuhan tersebut, jet baru Perdana Menteri, perbelanjaan boros majlis perkahwinan anak Najib dan yang paling utama, survival Najib sebagai Perdana Menteri dan Presiden Umno”.

Ya, perangkap isu hudud telah membantu Najib dengan menenggelamkan kesemua ketidakadilan dan skandal dalam negara, tetapi Najib harus sedar bahawa kesemua ketidakadilan dan skandal ini tidak boleh terus ditutup selama-lamanya, selagimana ia tidak dibetulkan.

Inilah sebabnya momok Altantuya bergentayangan lagi apabila bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir akhirnya telah menyertakan kes tersebut sebagai sebahagian daripada skandal yang menyebabkan Najib kehilangan keyakinan rakyat Malaysia, sambil meramalkan bahawa kerajaan Umno/Barisan nasional akan tewas dalam pilihanraya akan datang sekiranya presiden Umno itu terus berkuasa.

Badan kehakiman, Peguam Negara dan Ketua Polis Negara semuanya bersalah kerana telah gagal menjalankan tugas apabila mereka telah mengabaikan si gajah di depan mata dalam kes pembunuhan Altantuya sedangkan mereka sepatutnya tahu bahawa dua bekas komando polis itu, Azilah Hadri dan Sirul Azhar Umar tidak mungkin membunuh wanita Mongolia yang tidak mereka kenali itu tanpa sebarang motif dan tanpa didalangi sesiapa!

Kegagalan menjalan tugas mereka ini tambah-tambah hina dan tidak boleh dimaafkan apabila mereka sepatutnya telah maklum tentang kenyataan pertama Sirul kepada pihak polis pada 9 November 2006, di mana beliau telah mengaku menerima arahan ketika membunuh Altantuya.

Kini Mahathir juga telah turut menyertai suara ramai di dalam dan luar negara mendesak supaya kebenaran tentang pembunuhan kejam Altantuya pada tahun 2006 didedahkan, setelah Sirul mendedahkan dalam wawancara eksklusif bersama Malaysiakini bulan lalu bahawa beliau ahanya bertindak mengikut arahan dan mereka yang mempunyai motif untuk membunuh warga Mongolia itu masih bebas.

Mahathir telah bertindak tepat menunjukkan ketidakadilan dalam kes pembunuhan Altantuya apabila berkata:

“Tetapi selain daripada Najib berkata Sirul “merepet”, tidak ada siasatan yang dibuat.

“Ini adalah nyawa manusia. Amatlah zalim jika Sirul dibunuh kerana menjalankan arahan.”

Malah sebenarnya, penolakan Najib terhadap dakwaan bahawa Sirul bertindak mengikut arahan dalam kes pembunuhan Altantuya dengan mengatakan bahawa ia mengarut dan merepek adalah sangat meragukan, sangat terburu-buru dan melulu kerana ia mengundang persoalan bagaimana pula Najib boleh tahu bahawa tidak wujud arahan sedemikian kepada Sirul dan Azilah.

Sementara Najib boleh mendakwa bahawa beliau tidak mengeluarkan arahan sedemikian, bagaimana pula beliau boleh begitu yakin bahawa arahan sedemikian tidak dikeluarkan oleh orang lain?

Bolehkah Najib tolong terangkan?

Bahawasanya Sirul dan Azilah telah membunuh Altantuya dan telah meletupkan mayatnya menggunakan peledak C4 telah diakui oleh Sirul ketika beliau menyatakan dari Australia bahawa: “Jika saya mati hari ini, saya tidak akan aman kerana saya cuma buat apa yang diarah dan ini balasannya yang saya dapat.”

Nama baik Malaysia dan reputasi antarabangsa pentadbiran keadilan kita menuntut supaya motif dan dalang pembunuhan Altantuya sembilan tahun lalu mesti diburu dan didedahkan.

Saya mencadangkan supaya negara menghantar dua bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir dan Tun Abdullah menyertai misi nasional ke Australia untuk bertanya kepada Sirul, siapa yang telah memberi arahan untuk membunuh model Mongolia, Altantuya Shaariibuu pada tahun 2006 dan melaporkan kepada Parlimen tentan penemuan mereka, termasuk apa yang patut dilakukan terhadap Sirul dan Azilah yang kedua-duanya berhadapan hukuman mati walaupun Sirul telah melarikan diri ke Australia.

Lim Kit Siang Ketua Parlimen DAP & Ahli Parlimen Gelang Patah