Ruang demokrasi lebih besar serta ekonomi yang lebih adil dan inklusif adalah dua cabaran utama bagi para demokrat, tidak kira sosialis, muslim atau apa sahaja kumpulan

Pertama-tamanya saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pengajur kerana memberi peluang untuk berucap di hadapan para hadirin hebat di Persidangan Demokrat Muslim Sedunia yang julung kalinya diadakan ini.

Objektif forum ini, seperti yang dinyatakan, adalah untuk ‘mengubati suara negatif ekstremisme, eksklusivisme dan sikap tidak toleransi dengan suara sederhana, toleransi, saling memahami dan inklusivisme’. Perbincangan kita ini memang tepat pada masanya, dengan meningkatnya ketaksuban dan ekstremisme agama di seluruh dunia.

Di Timur Tengah yang dilanda perang, kuasa militan yang berasal daripada kumpulan Al-Qaeda tempatan telah mendapat kuasa di sebahagian kawasan di barat Iraq dan timur laut Syria secara kekerasan, dan menamakan kawasan mereka yang tidak diiktiraf itu sebagai ‘Negara Islam’.

Sementara mendakwa mereka sebagai autoriti agama terhadap Muslim seluruh dunia sebagai ‘khalifah baru’, Islamic State (IS) hakikatnya sedang menjalankan kekejaman sektarian secara sistematik ke atas minoriti Muslim. Baru semalam laporan berkenaan penyembelihan 322 orang anggota kabilah di barat Anbar, Iraq. Ia termasuk 50 wanita dan kanak-kanak, yang mana mayat mereka dicampak begitu sahaja ke dalam telaga.

Walaupun IS telah melakukan jenayah dahsyat melalui penyembelihan dan ‘hukuman mati’ yang tidak berperikemanusiaan, mereka juga melakukan jenayah yang lebih besar dengan memperalatkan nama Islam dalam menyebarkan ideologi yang mengerikan itu.

Keganasan dan kekejaman yang diamalkan IS ini adalah bercanggah dengan ajaran asas Islam, yang menganjurkan keamanan, toleransi dan kesaksamaan di kalangan manusia. Jika ada seolah-olah hubungan tidak sengaja di antara masyarakat Muslim dan keganasan terancang pada masa ini, kita perlu ingat tentang konteks kebanyakan negara Muslim hari ini, yang derita akibat pemerintahan zalim oleh elit pemerintah yang dilihat mementingkan diri sendiri dan patuh kepada hegemoni Barat. Akhirnya, hal yang melemahkan masyarakat Muslim pasca-penjajahan hari ini adalah berkaitan dengan ekonomi dan sosio-politik, berbanding agama atau puak.

Di sini pula, keadaan tidaklah seteruk itu, namun ketegangan menjadi semakin teruk. Ia diburukkan lagi dengan ketidakmampuan kerajaan untuk membendung ekstremisme yang semakin bercambah, dan pada masa tertentu seperti secara senyap menyokongnya, seperti yang terbukti dengan kedegilan badan Eksekutif membela ancaman ekstremis sayap-kanan untuk membakar kitab Bible Bahasa Melayu. Bukan sahaja Peguam negara enggan membuat pendakwaan terhadap provokasi kebencian agama ini, kerajaan juga mengabsahkan pendirian itu dengan mendakwa golongan ekstremis itu hanya mempertahankan kesucian Islam.

Lebih memburukkan keadaan, semua ini berlaku ketika undang-undang zalim zaman penjajah, seperti Akta Hasutan dikenakan terhadap musuh politik dan aktivis sosial.

Semua Demokrat berkongsi nilai yang sama

Suasana tanpa toleransi ini tidak mengejutkan, dengan menimbangkan bahawa regim yang berkuasa kini bergolak selepas hilang undi popular untuk pertama kali dalam sejarah pada Pilihanraya Umum ke 13. Ekoran ditolak oleh majoriti rakyat Malaysia yang moderat, mereka kini semakin bergantung kepada unsur sayap-kanan, serta keyakinan menyeleweng bahawa sentimen agama dan kaum yang ekstrim akan mengukuhkan tapak sokongan mereka. Dengan kata lain, respon kerajaan ke atas rakyat yang menginginkan kebebasan dan demokrasi adalah dengan terus menekan dan memecahkan mereka dan menambah dos-dos autoritarianisme.

Kini adalah saat terpenting untuk melawan ketaksuban dan penindasan dengan menjuarai nilai kebebasan, kesaksamaan dan solidariti. Ini adalah nilai-nilai kemanusiaan universal, bukan sahaja bagi demokrat sosial, atau mereka yang berpegang kepada ideal Immanuel Kant tentang kebaikan alamiah dan maruah insan, atau falsafah Conficius dan Mencius tentang fitrah kebaikan insan, bahawa semua manusia dilahirkan baik dan perlu dipupuk. Namun ia juga bagi demokrat muslim, yang asas ideologinya terbit daripada nilai-nilai Quran.

Malah, optimisme terhadap kemanusiaan dan ideal-ideal yang saya sebut tadi juga berakar dalam Islam, seperti yang ditonjolkan pemimpin gerakan Islam Tunisia Sheikh Rachid Ghannouchi berkenaan konsep negara Islam yang progresif - sebuah negara sivil berasaskan keadilan, kesaksamaan, hak asasi dan demokrasi, di mana negara bukan sahaja melindungi kebebasan agama tetapi juga kebebasan nurani.

Dengan kata lain, semua demokrat berkongsi nilai sama. Maka, dengan persamaan inilah kita harapkan akan menghasilkan agenda politik bersama demi kebaikan umat manusia. Agenda ini akan berakar daripada nilai bersama daripada budaya kita yang berbeza, sama ada sebagai sosial demokrat atau pun Muslim demokrat, dan bertumpu kepada mendepani cabaran masyarakat moden - tadbir urus yang baik, kedaulatan undang-undang, pilihanraya bebas dan adil serta kesaksamaan sosio-ekonomi.

Pengajaran dari Timur Tengah

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk merenung kembali perisitwa di Timur Tengah, bermula dengan jatuh bangun Hizbun Nahdah, atau Parti Ennahda Tunisia, yang saya rasakan amat relevan dan patut menjadi pengajaran kepada kita semua.

Bagi ramai Islamis di seluruh dunia, dan tentunya mereka yang menggelar diri sebagai Demokrat Muslim, Ennahda adalah contoh klasik sebagai sebuah gerakan Islam yang sederhana. Sheikh Rachid Ghannouchi yang berada di dalam pelarian sepanjang pemerintahan diktator Zine el-Abidine Ben Ali dengan penuh gemilang pulang untuk mengetuai partinya dalam Pilihanraya Umum pada Oktober 2011 yang menyaksikan mereka menang 40 peratus kerusi.

Menyusul selepas itu adalah pengenalan perlembagaan sivil yang berasaskan nilai Islam, menjadikan Tunisia sebagai obor demokrasi di dunia Muslim. Namun, pilihanraya parlimen Khamis lalu menyaksikan kekalahan Ennahda di tangan parti sekular kiri Niida Tounes. Apakah yang menyebabkan kecundangnya Ennahda?

Untuk menjawab soalan ini, mungkin berbaloi untuk melihat kembali Arab Spring. Asal mula revolusi di Timur Tengah bermula di Tunisia pada 17 Desember 2010, hari di mana anak muda yang ingin menjadi peniaga kecil Mohammad Bouazizi membakar dirinya. Minggu-minggu berikutnya membawa kepada perubahan dramatik kepada Timur Tengah dan malah dunia Muslim keseluruhannya. Mencontohi protes di Tunisia yang berjaya menumbangkan regim, rakyat Mesir juga bertindak pada Januari 2011 dengan mobilisasi besar-besaran di Dataran Tahrir, yang akhirnya menyebabkan tumbangnya diktator Hosni Mubarak pada 11 Februari.

Setelah berjaya menjatuhkan dua diktator yang lama berkuasa, Islamis sedunia mula berasa girang, menegaskan kejayaan konsep yang dipanggil ‘al-Islam huwa al-hal’ atau ‘Islam sebagai penyelesaian’. Namun, sejauh mana Islamisme menyediakan ideologi mobilisasi bersama dan struktur berguna untuk protes terancang, kita perlu mengakui bahawa faktor mendasar yang mencetuskan kedua-dua revolusi ini adalah kemerosotan ekonomi dan penindasan politik.

Motivasi berkembar ini telah diakui oleh banyak kajian, termasuk laporan oleh Arab Isntitute for Human Rights dan Arab NGO Network for Development, yang menyatakan bahawa keinginan untuk membina sebuah sistem sosio-ekonomi berasaskan ‘martabat, kebebasan dan kesaksamaan...adalah desakan utama para demosntran di seluruh wilayah dan membawa kepada perubahan mendalam ini.

Maka, adalah tidak berapa tepat untuk mengandaikan bahawa Arab Spring sebagai fenomena ‘kebangkitan Islam, atau sebagai menifestasi kepada keinginan untuk menjadi lebih Islamik. Sebaliknya, pemberontakan terhadap Ben Ali dan Hosni Mubarak bukanlah bersifat agama atau pun sekular. Secara umum, ia adalah seruan menamatkan rasuah, kronisme dan penindasan politik, serta memajukan keadaan ekonomi.

Oleh yang demikian, apabila rakyat meletakkan harapannya terhadap Ennahda di Tunisia dan Ikhwan Al-Muslimin di Mesir ketika Arab Spring, mereka berharap bahawa parti ini akan membawa pendekatan baru dalam politik yang berpusat kepada pengagihan ekonomi yang saksama, tadbir urus yang baik dan keadilan sosial.

Kembali kepada kisah Tunisia, Ennahda telah diberikan mandat untuk membetulkan banyak masalah sosio-ekonomi yang menghantui masyarakat Tunisia seperti pengangguran tegar. Malangnya, persepsi umum pengundi adalah parti itu gagal untuk melaksanakannya. Pengangguran kekal tinggi dan jenayah semakin meruncing di tengah-tengah pergolakan wilayah. Dalam konteks inilah, iaitu ketidakpuasan hati orang ramai terhadap cara Ennahda mengendalikan ekonomi menyebabkan kekalahan parti itu.

Seperti pandangan pakar Timur Tengah dan pensyarah Universiti Oxford Michael Willis: “Isu utama adalah ekonomi. Nidaa Tounes dilihat ada kepakaran untuk mengembalikan ekonomi kembali ke landasannya.”

Cerita sama berlaku di Mesir, di mana pungutan suara yang dijalankan International Republican Institute (IRI) menunjukkan masalah ekonomi berada pada kadar tertinggi dalam fikiran rakyat. Misalnya, 63 peratus rakyat memilih ‘pengangguran’ manakala 30 peratus memilih ‘kemiskinan’ sebagai masalah terbesar negara.

Kajian Pew Research Centre juga menunjukkan orang ramai lebih mementingkan aspirasi ekonomi berbanding isu-isu demokrasi apabila lebih ramai - 82 peratus - menyatakan keadaan ekonomi yang lebih baik dan sistem perundangan yang adil - 79 peratus - adalah amat penting.

Apa yang kita boleh belajar daripada semua ini?

Saya yakin bahawa amat realistik untuk kita simpulkan, faktor utama yang merangsang Arab Spring dan revolusi di Tunisia dan Mesir tidaklah berkaitan sangat dengan Islamisme berbanding realiti-realiti praktikal, seperti ekonomi dan penindasan politik.

Ia adalah tentang rakyat biasa

Sebaiknya kita mengambil pengajaran ini untuk situasi di Malaysia, yang mana dapat dilihat meningkatnya campur tangan kerajaan dalam hal peribadi rakyat, atas nama agama. Ini adalah trend merbahaya, kerana semakin giat cubaan kerajaan untuk memonopoli ‘kebenaran’ dan mengisytiharkan diri mereka sebagai penjaga agama, semakin teruk penindasan akan dilakukan, walaupun dengan niat yang baik pada asalnya.

Berbanding obses dengan isu potong tangan, mungkin lebih produktif untuk kita berbincang tentang dasar sosio-ekonomi. Ini sangat relevan terutama bagi kita di Malaysia, di mana jurang miskin-kaya adalah paling teruk di Asia Tenggara. Hakikat bahawa dua per tiga daripada rakyat layak untuk menerima bantuan kebajikan dalam bentuk bayaran BR1M adalah petunjuk kepada kelemahan struktur pengagihan kekayaan, apatah lagi apabila Perdana Menteri mendakwa, melihat kepada unjuran pertumbuhan, ita hanya perlukan lima tahun lagi untuk mencapai status pendapatan tinggi.

Maka, untuk menawarkan alternatif, kami dalam Parti Tindakan Demokratik dan Pakatan Rakyat komited untuk memperkenalkan reformasi yang akan memastikan ruang demokrasi yang lebih baik, dan ekonomi yang adil dan inklusif.

Kami mahu meningkatkan taraf hidup rakyat terbanyak dan mengurangkan jurang pendapatan yang melebar dengan menumpukan masalah sistemik seperi rasuah dan kapitalisme yang dimonopoli kerajaan, yang bukan sahaja mengganggu pasaran, namun menyebabkan kekayaan bertumpu di tangan elit yang mempunyai hubungan politik.

Bagi menggantikan amalan naungan (patronage) dan dasar pemerolehan awam yang kabur, kami mencadangkan tender terbuka yang berdaya saing. Kami juga menentang pelaksanaan sistem Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang regresif pada keadaan sekarang, kerana kami percaya golongan kaya perlu menanggung beban cukai yang lebih besar berbanding orang miskin. Kami juga mencadangkan untuk memecahkan monopoli tidak cekap di banyak sektor, khususnya dalam bidang permotoran, telekomunikasi dan kemudahan awam.

Dari segi reformasi demokratik, kami yakin bahawa ada tiga aspek penting yang perlu dijadikan tumpuan. Pertama, perlunya jaminan terhadap kebebasan peribadi, terutama kebebasan nurani dan bersuara, serta untuk mendukung hak asasi manusia dan kedaulatan undang-undang. Kedua, kita perlu menangani isu-isu keadilan sosial dengan meningkatkan akses peluang pekerjaan, perumahan, pengangkutan awam, penjagaan kesihatan dan pendidikan. Dan akhir sekali, kita perlu mempromosikan pluralisme politik dan budaya, khususnya dalam menghormati hak minoriti di negara ini.

Di sini, sama ada kita adalah demokrat sosialis, demokrat Muslim atau demokrat daripada mana-mana fahaman sekalipun, cabaran kita adalah membawa isu-isu rakyat yang mendasar - kemerosotan ekonomi dan penindasan politik. Justeru, berbanding daripada hilang tumpuan terhadap isu seperti politik identiti, lebih kritikal untuk kita memberikan penyelesaian yang akan menegakkan tadbir urus yang baik, kedaulatan undang-undang, pilihanraya bersih dan adil serta keadilan ekonomi.

Terima kasih.

Lim Kit Siang Ketua Parlimen DAP & Ahli Parlimen Gelang Patah