Hishammuddin sepatutnya menampilkan perpaduan nasional dalam operasi mencari dan menyelamat di udara dan darat terbesar dalam sejarah dunia yang melibatkan pelbagai negara dan bukannya mencemarkan Parlimen dengan menimbulkan pecah-belah berkenaan krisis MH370

Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Hussein sepatutnya menampilkan perpaduan nasional dalam operasi mencari dan menyelamat di udara dan darat terbesar dalam sejarah dunia yang melibatkan pelbagai negara dan bukannya mencemarkan Parlimen dengan menimbulkan pecah-belah berkenaan krisis pesawat Malaysia Airlines MH370 yang melibatkan 239 penumpang dan anak kapal.

Lebih seratus buah kapal, helikopter, dan pesawat terbang, selain sistem radar, dari 26 buah negara terlibat dalam misi mencari dan menyelamat dalam dua wilayah seluas 2.24 juta batu persegi (sekitar 7.68 kilometer persegi) dari selatan Lautan Hindi hingga ke Kazakhstan di utara bagi mencari pesawat Boeing 777-200 yang hilang.

Operasi mencari dan menyelamat di darat dan udara yang terbesar pernah disaksikan dunia ini memasuki hari ke-12, iaitu lebih 250 jam, dan kita berlumba dengan masa kerana pasukan pencari dan penyelamat mempunyai tempoh hanya 18 hari untuk menemukan kotak hitam pesawat berkenaan yang merupakan alat teknologi penerbangan terpenting, memandangkan kotak hitam berupaya memancarkan isyarat selama cuma 30 hari.

Ketika Malaysia mengharapkan masyarakat dunia bersatu dalam operasi terbesar dalam sejarah dunia ini, rakyat Malaysia, khususnya Parlimen Malaysia, seharusnya menampilkan perpaduan dalam misi mencari dan menyelamat pesawat yang hilang dan bukannya menampilkan perpecahan di mata dunia.

Malangnya, inilah yang dilakukan oleh Hishammuddin apabila beliau mengadakan majlis taklimat berkenaan pesawat MH370 yang hilang itu “hanya untuk Ahli Parlimen Barisan Nasional” di dewan Aloft Kuala Lumpur Sentral malam semalan – tanpa menghiraukan langsung akibat dari tindakan itu yang menyebabkan dunia melihat Parlimen Malaysia berpecah-belah kepada dua kem dalam misi mencari dan menyelamat MH370!

Padahal beliau telah diperingatkan bahawa seharusnya beliau tidak bersikap berpihak dengan memberikan taklimat “hanya untuk Ahli Parlimen BN” dalam keadaan sepatutnya taklimat diberikan kepada semua Ahli Parlimen di Malaysia.

Hishammuddin sendiri tahu bahawa tindakan beliau itu salah dan tidak wajar. Justeru itulah beliau memberikan alasan lemah bahawa Ahli Parlimen Pakatan Rakyat tidak meminta agar taklimat diberikan kepada mereka – sedangkan beliau sepatutnya tahu bahawa ahli parlimen dari kedua-dua pihak BN dan PR telah menyuarakan kebimbangan tentang nasib 239 penumpang dan anak kapal MH370.

Malah, Pakatan Rakyat menerusi Ahli Parlimen PAS Pokok Sena Mahfuz Omar pada minggu lalu telah meminta supaya perbahasan tergempar di parlimen diadakan berkenaan krisis MH370 menurut Arahan Tetap 18(1) Dewan Rakyat, tetapi usul itu telah ditolak.

Jemputan ke taklimat MH370 “hanya untuk Ahli Parlimen BN” di Aloft Kuala Lumpur Sentral itu telah dikeluarkan atas nama pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Hishammuddin Hussein – menimbulkan persoalan sama ada acara tersebut adalah acara Kelab Penyokong BN (BNBBC) atau acara rasmi Kementerian Pengangkutan.

Berapakah kos acara yang diadakan di hotel mewah Aloft Kuala Lumpur Sentral itu dan apakah ia ditanggung oleh para pembayar cukai menerusi Kementerian Pengangkutan atau oleh BNBBC?

Mengapa taklimat itu tidak diadakan di Bangunan Parlimen meski pun ia “hanya untuk Ahli Parlimen BN”? Kos penganjurannya di Bangunan Parlimen sudah tentu jauh lebih rendah dari kos penganjuran di dewan utama hotel mewah seperti Aloft Kuala Lumpur Sentral.

Ahli Parlimen BN Beluran dan Timbalan Speaker Ronald Kiandee dilaporkan menyebut bahawa taklimat yang diberikan Hishammuddin itu tidak mengandungi penambahan kerana “semua yang telah disebut dalam taklimat harian telah diulangi malam kelmarin. Tiada maklumat baru atau arahan khusus diberikan.”

Setelah “taklimat” di Aloft itu, Hishammuddin mengakui bahawa beliau hanya mengemukakan kemaskini kepada BNBBC tentang urutan peristiwa dan tidak menyampaikan sebarang maklumat sulit melampaui segala yang boleh didedahkan oleh pasukan penyiasat.

Menurut beliau, maklumat yang diterima oleh para penyokong BN juga telah didedahkan kepada umum.

Jika tiada perkara baru yang disampaikan dalam taklimat “hanya untuk Ahli Parlimen BN” itu, jika beliau hanya mengulang maklumat yang telah didedahkan kepada umum, apa gunanya taklimat kepada Ahli Parlimen BN itu diadakan?

Jika “majlis taklimat sambil makan malam” di Aloft itu hanyalah satu acara sosial, mengapa Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam Azharuddin Abdul Rahman, CEO MAS Ahmad Jauhari Yahya, dan panglima-panglima atasan Angkatan Tentera Diraja Malaysia turut diheret ke acara sosial sedemikian sedangkan masa mereka amat berharga di hari ke-11 operasi mencari dan menyelamat di udara dan darat terbesar dalam sejarah dunia bagi mencari pesawat Malaysia Airlines MH370 serta 239 penumpang dan anak kapalnya?

Urutan keutamaan Hishammuddin ternyata salah, kerana beliau memberi taklimat tentang krisis MH370 hanya kepada Ahli Parlimen BN tanpa sebarang penambahan maklumat selain yang telah diumumkan dalam sidang media, selain kerana melibatkan pegawai-pegawai penting Jabatan Penerbangan Awam, Tentera, dan MAS dalam majlis makan malam BNBBC.

Saya sendiri tidak ingin menghadiri taklimat Hishammuddin jika beliau hanya hendak mengulang perkara yang telah beliau dan pegawai lain umumkan.

Hishammuddin sepatutnya menerajui usaha kerajaan di Parlimen untuk membolehkan semua Ahli Parlimen BN dan PR memainkan peranan, bukan saja untuk menyokong penuh misi mencari dan menyelamat, tetapi juga mengadakan siasatan penuh ke atas tragedi MH370, termasuk menyelidiki kontroversi dan kekeliruan yang timbul sekitar krisis MH370.

Dalam ucapan di Parlimen Khamis lalu, saya telah mengesyorkan supaya Jawatankuasa Pilihan Parlimen berkenaan Bencana ditubuhkan dengan segera bagi memberi sokongan penuh kepada operasi “mencari dan menyelamat” MH370 serta menyiapkan diri untuk menjalankan siasatan penuh selepas operasi berkenaan bagi menjawab semua persoalan berkaitan tragedi MH370.

Apakah Hishammuddin sanggup menerajui usaha kerajaan di Parlimen dan menyokong pembentukan Jawatankuasa Pilihan Parlimen itu, termasuk menyokong pindaan ke atas Usul Menyembah Ucapan Terimakasih atas Titah Diraja yang sedang dibahaskan di Parlimen kini untuk membuka laluan kepada pembentukan jawatankuasa berkenaan?

Lim Kit Siang Ketua Parlimen DAP & Ahli Parlimen Gelang Patah