Menyeru supaya segera menubuhkan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen tentang Bencana untuk memberi sokongan penuh kepada operasi mencari dan menyelamat pesawat MH370

Saya bangkit dengan perasaan dukacita untuk mengambil bahagian dalam usul menjunjung titah DiRaja.

Ini masuk hari keenam hilangnya pesawat MH370 bersama 239 penumpang dan anak kapal. Lima hari telah berlalu dengan penuh rasa perit dan hiba buat keluarga, sahabat handai kesemua 239 individu serta mereka yang mendoakan keselamatan mangsa, tanpa mengira kaum, agama, pandangan politik atau kewarganegaraan dari dalam dan luar negara; namun tiada sebarang kesan atau tanda yang ditemui meskipun usaha menyelamat oleh pihak-pihak dari pelbagai negara yang melibatkan 34 pesawat udara, 40 buah kapal untuk mendapatkan sebarang petunjuk tentang apa yang sebenarnya berlaku mahupun untuk menunjukkan lokasi terakhir pesawat tersebut.

Setiap hari yang berlalu, harapan dan doa kita buat 239 penumpang dan anak kapal MH370 untuk berada dalam keadaan yang selamat atas apa yang telah menimpa mereka menjadi semakin tipis, namun begitu kita tidak harus putus asa dan mesti terus mendoakan keajaiban buat MH370.

Kesemua rakyat Malaysia, malah semua orang di seluruh dunia, tanpa mengira kaum, agama, latar politik dan kewarganegaraan, telah bersatupadu untuk mendoakan keselamatan 239 penumpang dan anak kapal MH370.

Kita tidak boleh berpura-pura seolah-olah tidak banyak persoalan yang timbul, samada dari pihak keluarga mangsa, sahabat handai atau pun masyarakat dunia, tidak kira di dalam mahupun di luar negara; yang kian bertambah, hari demi hari, mengenai tragedi MH370; namun jawapan kepada persoalan-persoalan ini harus ditangguhkan kerana keutamaan dan fokus sekarang adalah untuk menemui pesawat terbabit.

Pun begitu, rakyat Malaysia dan masyarakat dunia, mesti diberi jaminan bahawa pada waktu dan tempat yang tepat, semua jawapan untuk setiap soalan yang ditanya, di dalam dan di luar negara mesti diberikan.

Parlimen Malaysia yang mewakili rakyat Malaysia mesti memainkan peranan dalam tragedi MH370 ini, bukan sahaja dalam memberi sokongan terhadap usaha mencari dan menyelamat oleh kerajaan dan agensi berkaitan tetapi juga untuk seterusnya melakukan siasatan penuh terhadap tragedi MH370 dan kontroversi serta kekeliruan, termasuklah:

  • Kenapa Perdana Menteri dan Pemangku Menteri Pengangkutan tidak dimaklumkan segera apabila MH370 dengan 239 penumpang tiba-tiba hilang, dan hanya mengetahui tentangnya berjam-jam kemudian.
  • Sama ada operasi mencari dan menyelamat (SAR) dimulakan serta-merta sekurang-kurangnya sejam selepas pesawat tersebut dilaporkan hilang, memandangkan sebarang lengah akan mengakibatkan pesawat SAR yang dilengkapi sistem seperti ‘forward looking infrared’ tidak dapat mengesan tanda haba (heat signature) dari rangka badan pesawat dan enjinnya;
  • Bila hubungan dengan pesawat tersebut terputus, samada pada jam 1.30 pagi waktu Malaysia, lebih kurang sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang KLIA atau pada 2.40 pagi;
  • Kekeliruan tentang paspot yang dicuri, sama ada dua atau empat; samada kelihatan seperti orang Asia, berkulit hitam atau warga Iran;
  • Kekeliruan tentang bagasi yang dibawa masuk; dengan kenyataan yang bercanggah dan mengelirukan daripada Pengarah Penerbangan Awam, Ketua Polis Negara dan Malaysian Airlines;
  • Sama ada pesawat tersebut tersasar daripada laluan sepatutnya, yang mengakibatkan kawasan carian semakin meluar daripada Laut China Selatan sehingga ke Selat Melaka dan dan Lautan Andaman?

Atas sebab ini, saya menyeru supaya ditubuhkan segera Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen tentang Bencana untuk memberi sokongan penuh kepada operasi mencari dan menyelamat pesawat MH370, serta melaksanakan siasatan selepas operasi tersebut bagi menangani kesemua persoalan berkenaan tragedi MH370.

Saya harap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak serta Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk seri Hishammuddin Hussein dapat memberikan sokongan penuh mereka kepada cadangan ini.

Lim Kit Siang Ketua Parlimen DAP & Ahli Parlimen Gelang Patah