Serangan ke atas dua orang korporal polis oleh pendatang haram menandakan fasa baru tahap keselamatan di Malaysia

DAP menyertai semua rakyat Malaysia mengutuk perbuatan membunuh Korporal Polis Raja Aizam Raja Mohd dan mencederakan Korporal Mohd Aidil Mustafa oleh pendatang haram di Klang kelmarin.

Pembunuh terlibat perlu dihadapkan ke pengadilan dan dijatuhkan hukuman paling berat menurut peruntukan undang-undang berkaitan pembunuhan.

DAP juga menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa yang terkorban di samping mendoakan agar Korporal Mohd Aidil yang dimasukkan ke wad di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang, pulih dengan segera daripada kecederaan yang dialami beliau akibat tetakan ke kepala.

Serangan ke atas dua orang korporal polis oleh pendatang haram itu menandakan fasa baru tahap keselamatan di Malaysia – bukan saja rakyat biasa, anggota polis sendiri tidak merasa selamat dalam negara sendiri!

Seratus orang hadirin yang menyertai forum “Time to Reform the Polis Force” di Dewan Perhimpunan Cina Selangor-KL kelmarin bersetuju bahawa sebahagian besar rakyat Malaysia, sama ada yang tinggal di kawasan bandar atau luar bandar, tidak lagi merasa selamat.

Tahap keselamatan dalam negara sebenarnya lebih buruk kerana polis sendiri tidak merasa selamat ketika menjalankan tugas biasa mereka untuk memastikan negara dan orang ramai bebas daripada jenayah.

Antara punca keadaan keselamatan dalam negara ini semakin buruk ialah kerana polis dan pihak berkuasa telah lama mengabaikan kebanjiran pendatang haram yang kelihatan seperti menubuhkan “sebuah negara lain dalam negara dan undang-undang lain dalam di samping undang-undang Malaysia” – membentuk gunung berapi yang menanti masa untuk meletus dan memberi kesan buruk kepada semua warga Malaysia!

Saya bersetuju sepenuhnya dengan ahli panel dalam forum tersebut, iaitu pengarah eksekutif Women’s Aid Organisation Ivy Josiah yang juga merupakan anggota Suruhanjaya Diraja Polis yang dibentuk oleh bekas Perdana Menteri Tun Abdullah pada tahun 2004 untuk mengemukakan saranan bagi mengubah polis Malaysia menjadi sebuah pasukan yang cekap, profesional, dan bertaraf dunia untuk memenuhi tiga matlamat: mengurangkan kadar jenayah, membasmi korupsi dalam pasukan polis dan memelihara hak asasi manusia di Malaysia.

Suruhanjaya Siasatan Polis Diraja Dzaiddin yang dianggotai oleh Ivy telah mengemukakan lebih 100 saranan, antara yang terpenting adalah pembentukan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC). Namun, sepuluh tahun selepas RCI itu, keyakinan orang awam terhadap kecekapan, integriti, dan profesionalisme polis merosot ke tahap paling rendah dalam sejarah negara.

Ivy Josiah menyarankan supaya jawatankuasa pilihan parlimen dibentuk untuk menjelajah ke seluruh negara bagi mendengar aduan rakyat berkenaan polis.

Ujar beliau: “Jawatankuasa pilihan parlimen perlu dibentuk dan menjelajah negara untuk mendengar aduan rakyat berkenaan polis.

“Barangkali kalau orang awam mula mendedahkan nama anggota polis yang salah laku, pihak berkuasa di Putrajaya akan mula mendengar dan memberi perhatian terhadap kelemahan dalam pasukan polis.”

Apakah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Zahid Hamidi, dan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar sanggup menyokong pembentukan Jawatankuasa Pilihan Parlimen berkenaan Polis dan Keselamatan Orang Ramai dalam sidang Parlimen yang akan bermula minggu depan?

Apakah Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab atas hal-ehwal parlimen Datuk Seri Shahidan Kassim sanggup membangkitkan subjek ini dalam mesyuarat Kabinet pada hari Rabu?

Saya akan menghantar nota kepada Shahidan sebelum mesyuarat Kabinet pada hari Rabu untuk menggesa beliau mendapatkan lampu hijau dari Kabinet bagi pembentukan Jawatankuasa Pilihan Parlimen berkenaan Polis dan Keselamatan Orang Ramai.

Saya menyeru Ahli Parlimen Pakatan Rayat dan Barisan Nasional untuk menyokong pembentukan Jawatankuasa Pilihan Parlimen sedemikian untuk memastikan pasukan polis dapat diperbaharui sehingga ia memberi keutamaan kepada saua memastikan rakyat Malaysia, pelancong, pelabur, wanita, dan juga polis sendiri merasa selamat dalam negara ini dari penjenayah dan pendatang haram agar tragedi yang menimpa kedua-dua orang korporal polis kelmarin tidak berulang.

Lim Kit Siang Ketua Parlimen DAP & Ahli Parlimen Gelang Patah