Rakyat Malaysia, ASEAN dan masyarakat antarabangsa sedang cuba memahami kedudukan bercanggah Najib sebagai pembela utama Wasatiyyah dan sekaligus pemimpin ASEAN pertama mengagungkan keganasan ISIS yang disifatkan terlalu ekstrem oleh Al-Qaeda sendiri

Bukan sahaja rakyat Malaysia, malah warga ASEAN dan masyarakat antarabangsa sedang cuba memahami kesan daripada kedudukan bercanggah Perdana Menteri Dato Sri Najib Razak yang mengaku sebagai pembela utama Wasatiyyah tetapi sekaligus menjadi pemimpin ASEAN pertama mengagungkan keganasan ISIS yang disifatkan terlalu ekstrem sekali pun oleh Al-Qaeda sendiri.

Ketika berucap di majlis ulangtahun ke 20 UMNO Bahagian Cheras malam Isnin lalu, Najib mengejutkan bukan sahaja rakyat Malaysia tetapi tetangga ASEAN dan komuniti antarabangsa apabila beliau menyatakan bahawa ahli Umno wajar mencontohi kumpulan pengganas Timur Tengah Islamic State of Iraq and the Levant (ISIS) yang berjaya mengalahkan pasukan Iraq yang mempunyai lebih banyak anggota berbandingnya.

Pemimpin ISIS yang lebih dikenali dengan nama Abu Bakar Al-Baghdadi dianggap berjaya dan berkarisma apabila kumpulan mujahidin ahlus-Sunnah yang mulanya mempunyai pertalian dengan Al-Qaeda itu kini menjadi kumpulan pilihan ribuan pejuang antarabangsa yang berduyun-duyun menjulang panji-panji beliau yang tidak mengiktiraf konsep kenegaraan dan sempadan antarabangsa.

ISIS begitu bergaris keras sehinggakan terkeluar dari lingkungan Al-Qaeda. Ia kini mendakwa ideologinya lebih hebat berbanding Al-Qaeda dan semakin berkembang menjadi pergerakan antarabangsa untuk menubuhkan khilafah Islam dengan objektif segera yang melampaui Iraq dan Syria.

Pengagungan Najib terhadap kegiatan pengganas ISIS bukanlah sekadar kegusaran utama politik tempatan Malaysia tetapi juga hubungan ASEAN dan hal-ehwal antarabangsa.

Bagi politik tempatan Malaysia, negara berdepan polarisasi kaum dan agama terburuk, dengan ucapan penuh unsur kebencian, serta sikap tidak bertolak-ansur antara kaum, agama, budaya yang semakin menonjol – padahal kepelbagaian kaum, agama, dan budaya sepatutnya menjadi ciri-ciri yang unik dan berbeza bagi Malaysia dan seharusnya dijadikan kekuatan.

Lebih teruk lagi, pengagungan Najib terhadap pengganas ISIS dibuat pada malam yang sama selepas siangnya ketua penerangan Perkasa Ruslam Kassim mengugut untuk ‘memancung leher’ mereka yang menghina Sultan Selangor atau menghina Islam, tanpa sedikit pun mempedulikan kedaulatan undang-undang, keharmonian kaum dan agama dalam masyarakat majmuk Malaysia.

Pengagungan Najib terhadap pengganas ISIS membangkitkan persoalan sama ada Ruslan dan Perkasa merasa diri mereka kebal dan dilindungi daripada apa-apa hukuman untuk sebarang ancaman jenayah yang mereka buat tanpa mempedulikan undang-undang dan tanpa peduli untuk mengekalkan keharmonian kaum dan agama di Malaysia.

Implikasi terhadap ASEAN dan dunia antarabangsa malah lebih besar, dengan dakwaan Wakil Tetap Syria ke Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu dalam satu sidang media baru-baru ini bahawa 15 warga Malaysia yang menyertai ISIS telah terkorban di Syria.

Turut dinyatakan bahawa selain Malaysia, warga dari negara lain, termasuk beberapa negara ASEAN, turut terlibat dalam aktiviti sedemikian di Syria.

Sebelum ini, dilaporkan seorang pekerja kilang di Selangor yang pendiam, Ahmad Tarmimi, 26 tahun, menjadi pengebom berani mati, dikaitkan dengan ISIS dan pengeboman 25 tentera elit Iraq di ibu pejabat SWAT Iraq di Al-Anbar pada 25 Mei.

Laporan menyatakan bahawa Ahmad Tarmimi, yang menerima latihan militan di Port Dickson penghujung tahun lalu, memandu sebuah SUV yang diisi bertan-tan bahan letupan masuk ke ibu pejabat SWAT tersebut dan meletupkan dirinya.

Pengeboman itu adalah susulan serangan ke atas ibu pejabat tersebut oleh komando ISIS.

Laman web rasmi ISIS dalam laporan bertajuk ‘Mujahidin Malaysia Syahid dalam operasi Martyrdom’, yang menunjukkan gambarnya dan menyifatkan Ahmad Tarmimi sebagai pengebom berani mati pertama di Iraq, menyatakan bahawa militan ISIS telah menguasai sebuah tempat simpanan senjata di ibu pejabat berkenaan.

Wisma Putra membuat kenyataan bahawa sebagai sebuah negara yang cintakan keamanan dan mempraktikkan kesederhanaan, Malaysia membenci dan tidak merelakan sebarang tindakan keganasan atau ekstremisme oleh mana-mana pihak, termasuk warganegaranya sendiri.

Jika begitu, Najib wajar menjelaskan kepada rakyat Malaysia, ASEAN dan masyarakat antarabangsa apa sebabnya beliau mengagungkan tindakan pengganas ISIS.

Lim Kit Siang Ketua Parlimen DAP & Ahli Parlimen Gelang Patah