Seruan kepada kaum Cina Malaysia untuk bekerjasama dengan rakyat Malaysia daripada kaum lain untuk membentuk sebuah negara yang berjaya, progresif, dan makmur bagi semua warga

Selamat menyambut Tahun Baru Kuda kepada semua rakyat Malaysia berketurunan Cina dan anggota-anggota kaum lain yang semakin banyak di kalangan mereka turut menyertai Perayaan Tahun Baru Cina.

Semakin banyak rakyat Malaysia yang ikut serta dalam perayaan pelbagai kaum dan agama seolah-olah perayaan-perayaan itu adalah hari kebesaran Malaysia. Ini adalah ciri unik Impian Malaysia.

Dalam lawatan saya ke Johor, meliputi 5 kawasan Parlimen dan 13 kawasan DUN selain Jementah (saya akan melawat kawasan ini dalam tempoh perayaan Tahun Baru Cina), bersempena sambutan Tahun Baru Cina, saya telah menyampaikan ucapan "Selamat Tahun Baru" kepada orang Melayu dan India serta mengedarkan buah limau kepada mereka sebagai tanda bahawa tidak kira apa latar kaum, agama, daerah, atau pegangan politik, kita semua adalah anggota sebuah Keluarga Besar - Keluarga Malaysia!

Rakyat Malaysia wajar mewujudkan Perpaduan Malaysia yang lebih meluas menerusi perayaan-perayaan pelbagai kaum dan agama - berasaskan nilai-nilai agung yang diajar oleh semua agama dan kaum.

Saya percaya bahawa sebahagian besar rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, agama, daerah, atau pegangan politik, tidak mahu rusuhan 13 Mei berulang di negara ini, dan saya juga percaya sebahagian besar mereka tanpa mengira kaum, agama, daerah, atau pegangan politik, mahu melihat adanya urus-tadbir yang baik, kebertanggungjawaban, dan ketelusan dalam pentadbiran negara; sikap tegas terhadap rasuah yang akan meletakkan Malaysia di senarai teratas di kalangan negara yang paling rendah korupsi dalam Corruption Perception Index Transparency International; sistem ekonomi yang saksama, lestari, dan berdaya saing yang dapat membawa kemajuan dan kemakmuran kepada semua rakyat Malaysia; serta sistem pendidikan yang berasaskan meritokrasi yang diakui seluruh dunia mampu menghasilkan pelajar-pelajar terbaik dalam ujian penilaian antarabangsa, tidak seperti keadaan sekarang di mana pelajar Malaysia berada di tangga sepertiga tercorot dalam ujian penilaian antarabangsa.

Malaysia sedang berada di persimpangan. Kaum Cina Malaysia bersama-sama kaum lain perlu bekerjasama untuk membina masa depan yang lebih cerah untuk generasi baru, berasaskan prinsip kesetaraan hak dan peluang untuk semua warga.

Kerana itulah penting untuk rakyat Malaysia bersuara sebagai rakyat yang cintakan negara untuk menyelamatkan Malaysia daripada rancangan jahat sekelompok kecil pengkhianat yang mahu menggoncang kestabilan dalam negara ini menerusi tindakan mengapi-apikan semangat perkauman dan keagamaan serta meningkatkan ketegangan bagi mencetuskan satu lagi kejadian 13 Mei.

Masyarakat sivil perlu menyusun dan melancarkan kempen "mencintai dan menyelamatkan Malaysia" untuk menghindari pergeseran perkauman dan keagamaan.

Tanpa pergeseran kaum dan agama, Malaysia akan menjadi sebuah negara dunia yang berjaya, maju, makmur dan berdaya saing.

Lim Kit Siang Ketua Parlimen DAP & Ahli Parlimen Gelang Patah