Polis dan pihak berkuasa tidak patut membiarkan 'kitaran keganasan' bermula dan berlangsung kerana puak yang sedang cuba mewujudkan suasana 13 Mei telah pun memasuki tahap kedua perancangan mereka

Saya telah menerbitkan surat terbuka kedua kepada Perdana Menteri dan Kabinet kelmarin, namun mesyuarat ketiga Kabinet bagi tahun 2014 terus mengelak daripada menangani lima krisis nasional secara berani untuk mengakhiri kecelaruan pentadbiran Najib.

Paling parah, tiada jawapan atau pengakuan diberikan bagi mengakhiri kempen tersusun oleh suatu kelompok yang tidak bertanggungjawab yang cuba mengapi-apikan semangat perkauman dan keagamaan bagi menimbulkan ketegangan agar terjadi satu lagi situasi seperti 13 Mei semata-mata demi kepentingan politik mereka sendiri.

Rakyat Malaysia yang sihat akal fikiran tanpa mengira latar kaum, agama, daerah atau keahlian parti politik perlu mengecam sekeras-kerasnya tindakan Kabinet kelmarin yang mengelak daripada memikul tanggungjawab untuk mengakhiri tindakan mengapi-apikan kebencian perkauman dan keagamaan yang bertujuan mewujudkan situasi seperti 13 Mei.

Saya setuju dengan bekas Presiden MCA Ong Tee Keat yang baru-baru ini mengingatkan bahawa Malaysia akan punah jika Perdana Menteri terus mengabaikan isu-isu yang semakin memecah-belahkan negara.

Menurut Ong, orang ramai dan beliau sendiri semakin bimbang melihat semakin banyak polemik, kebencian dan ugutan yang muncul:

"Kita tidak boleh membiarkan keadaan hanyut tanpa dikendalikan oleh pemegang kemudi. Masa telah tiba untuk perdana menteri merangkap pengerusi BN campur tangan sebelum keharmonian kaum yang sememangnya telah rapuh menjadi rabak."

Ong turut menegur pemimpin MCA kerana terus membisu berdepan dengan ugutan terbuka, namun saya tidak berminat dengan mainan politik atasan MCA yang jelek.

Persoalannya ialah sama ada peringatan daripada Ong itu akan didengar oleh Najib, sedangkan tiada siapa dalam barisan kepimpinan MCA, sama ada dari kem Liew mahu pun Chua, yang ambil pusing tentang lima krisis nasional berkenaan atau berani untuk meminta supaya diadakan mesyuarat tergempar Majlis Pimpinan Tertinggi Barisan Nasional bagi menangani isu perkauman dan keagamaan yang semakin membara dalam negara.

Majlis Kepimpinan Pakatan Rakyat kelmarin telah mempelawa Perdana Menteri dan kepimpinan Barisan Nasional untuk mengadakan Sidang Kemuncak pimpinan BN dan PR bagi meyakinkan rakyat Malaysia bahawa Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat akan mengambil semua langkah yang perlu untuk memastikan rusuhan 13 Mei tidak akan berulang.

Jika BN dan PR bersatu untuk memastikan 13 Mei tidak akan berulang, siapa lagi di Malaysia ini mampu membuat konspirasi untuk mewujudkan suasana yang boleh membawa kepada rusuhan kaum?

Pelawaan para pemimpin PKR, PAS, dan DAP dalam Pakatan Rakyat berpunca daripada rasa cinta mereka terhadap Malaysia. Apakah para pemimpin Barisan Nasional akan menunjukkan rasa cintakan negara yang sama dengan memberi respons positif kepada pelawaan Pakatan Rakyat?

Atau apakah Majlis Tertinggi Barisan Nasional tidak perlu bersidang untuk mempertimbangkan pelawaan PR, memandangkan Perdana Menteri sendiri atau pemimpin Umno sudah cukup untuk membuat keputusan bagi seluruh kepimpinan Barisan Nasional?

Sambil menanti respons BN terhadap pelawaan PR untuk mengadakan Sidang Kemuncak bagi meyakinkan rakyat Malaysia bahawa rusuhan kaum 13 Mei tidak akan berulang, pihak polis dan pihak berkuasa yang lain tidak seharusnya membiarkan "kitaran keganasan" bermula dan berlangsung kerana puak yang sedang cuba mewujudkan suasana 13 Mei telah pun memasuki tahap kedua perancangan mereka.

Di tahap pertama, puak yang mahu 13 Mei berlaku sekali lagi melontarkan ucapan dan ugutan bahawa 13 Mei akan berulang dan sebahagian besar ucapan dan ugutan sebegini dibuat oleh beberapa pemimpin Umno sebelum PRU13, iaitu dengan memberi amaran bahawa rusuhan kaum 13 Mei akan berlaku lagi jika Umno kalah dan Melayu hilang kuasa politik.

Kenyataan itu jelas salah kerana Melayu tidak akan hilang kuasa sekalipun Umno kalah, kerana pakatan antara PKR, PAS, dan DAP dalam Pakatan Rakyat adalah satu formula untuk memastikan bahawa kuasa politik Melayu tidak akan hilang.

Satu lagi kesalahan ialah menyamakan pemerintahan Umno dengan kuasa Melayu, sedangkan yang menangguk faedah daripada pemerintahan Umno Baru ialah golongan Baruputra (istilah yang cukup sesuai, diperkenalkan oleh Mariam Mokhtar) dan bukannya kaum Melayu secara umum.

Golongan yang mahu mencetuskan keadaan yang boleh membawa kepada berulangnya 13 Mei telah memasuki tahap kedua dengan memulakan dan meneruskan "kitaran keganasan" - dengan beranjak daripada ugutan menerusi ucapan dan kenyataan kepada tindakan fizikal, menerusi tunjuk perasaan untuk mengapi-apikan kebencian perkauman dan keagamaan, mewujudkan ketegangan menerusi slogan-slogan dan sepanduk-sepanduk yang menghasut dan berapi-api, walaupun yang dipaparkan itu berasaskan pembohongan, seperti yang dianjurkan oleh Umno Pulau Pinang dan sekutu mereka hujung minggu lalu berikutan isu "kangkung".

Di tahap kedua untuk mencetuskan "kitaran keganasan" ini juga konspirator 13 Mei mahu melihat keadaan menjadi semakin goyah apabila orang ramai hilang keyakinan terhadap polis dan pihak berkuasa yang bertindak secara pilih bulu - misalnya dengan membiarkan pihak yang berdemo mengapi-apikan kebencian perkauman dan keagamaan terus bebas dan sebaliknya mengambil tindakan terhadap pihak yang tidak mengapi-apikan semangat perkauman atau keagamaan.

Sebagai contoh, ADUN PKR Machang Bubuk Lee Khai Loon disoal-siasat oleh polis atas hasutan jenayah manakala pemimpin Umno seperti Ahli Parlimen Umno Kepala Batas Reezal Merican Naina Merica dan setiausaha agung Umno negeri dan ketua Umno Bukit Mertajam Musa Syeikh Fadzir dilayan dengan lunak oleh polis walaupun mereka melakukan kesalahan menghasut kebencian keagamaan dan perkauman serta menimbulkan ketegangan.

Lagak samseng ahli-ahli Umno Pulau Pinang kelmarin terhadap para pegawai penguatkuasa Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) juga merupakan antara contoh bagaimana konspirator 13 Mei telah memasuki tahap yang lain.

Apakah Najib, Kabinet, dan polis akan terus membiarkan golongan yang tidak bertanggungjawab ini bermaharajalela dan terus mengapi-apikan semangat perkauman dan keagamaan untuk mewujudkan ketegangan yang akan menggoncang negara dan membentuk keadaan yang dapat mencetuskan satu lagi 13 Mei?

Apakah golongan patriot dan moderat dalam Malaysia yang cintakan keamanan, keharmonian dan bersikap bertolak-ansur akan tunduk ditekan para pengkhianat yang cuba untuk memusnahkan masyarakat majmuk di negara ini menerusi tindakan mereka mengapi-apikan semangat perkauman dan keagamaan bagi merealisasikan matlamat mereka untuk mencetuskan satu lagi 13 Mei?

Inilah pertanyaan-pertanyaan yang perlu dijawab dengan segera.

Lim Kit Siang Ketua Parlimen DAP & Ahli Parlimen Gelang Patah