Mesej Thaipusam 2014 daripada Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang

Sumpah untuk menegakkan keadilan dan menghapuskan semua bentuk ketidakadilan

Saya berdoa agar semua penganut agama Hindu bergembira dan berbahagia merayakan Thaipusam.

Thaipusam dirayakan sempena memperingati peristiwa di mana Parvati menganugerahkan "lembing" Vel kepada Murugan agar beliau dapat menghapuskan Soorapadman yang jahat.

Penganut agama Hindu merayakan Thaipusam dengan berdoa kepada Tuhan memohon rahmatnya agar sifat-sifat buruk dihapuskan.

Bersempena Thaipusam tahun ini, marilah semua kita bersumpah untuk menegakkan keadilan dan menghapuskan segala bentuk ketidakadilan bagi mencapai Impian Malaysia - untuk mewujudkan sebuah negara yang bersatu, demokratik, makmur, dan berdaya saing; sebuah negara yang di dalamnya terlaksana keadilan, kedaulatan undang-undang, urus tadbir yang baik, keharmonian antara penganut agama-agama, sikap tegas terhadap rasuah; serta sebuah negara yang setiap warganya tanpa mengira kaum, agama, atau daerah mendapat tempat yang wajar di bawah langitnya.

Sewaktu menulis mesej Thaipusam ini, saya merasa amat kesal kerana Timbalan Menteri Pendidikan dari MIC, P. Kamalanathan, masih belum mendapat keadilan berikutan serangan ke atasnya oleh seorang pemimpin Pemuda Umno, walaupun telah empat hari berlalu sejak kekerasan itu dilakukan terhadap beliau, iaitu pada hari Ahad lalu.

Walaupun Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor telah mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada pemimpin Pemuda Umno Hulu Selangor berikutan kejadian tersebut, mengapa polis belum mengambil tindakan dan begitu juga mengapa belum ada tindakan diambil oleh Kementerian Pendidikan ke atas penyerang berkenaan yang merupakan seorang guru. Guru yang menyerang Kamalanathan itu sepatutnya dihadapkan ke mahkamah tanpa tangguh dan dipecat oleh Kementerian Pendidikan.

Kelmarin, ketua Umno Selangor Datuk Seri Noh Omar mengumumkan bahawa Umno Selangor telah menyusun 30 pameran bergerak untuk "mendidik" Muslim tentang kontroversi terbaru berkaitan serbuan haram Jais ke atas Persatuan Bible Malaysia yang meluaskan lagi jurang keagamaan di Malaysia.

Sekarang adalah waktu untuk semua pemimpin dan parti politik yang bertanggungjawab harus menyumbang ke arah peningkatan persefahaman dan keharmonian antara agama dan bukannya meningkatkan lagi ketegangan seperti yang cuba dilakukan oleh Noh Omar.

Sebagai sebuah parti komponen dalam Barisan Nasional yang mempunyai dua orang menteri kabinet, MIC sepatutnya menyumbang ke arah usaha mengekalkan persefahaman dan keharmonian antara agama serta menyuarakan secara lantang dan jelas kepada pemimpin tertinggi kerajaan dan parti agar menghentikan segera kegiatan politik yang dapat meningkatkan ketegangan dan pertembungan keagamaan.

Lim Kit Siang Ketua Parlimen DAP & Ahli Parlimen Gelang Patah