Seruan agar kedua-dua pihak menyokong penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja tentang skandal RM12.5 bilion PKFZ dalam persidangan Parlimen Mac/April ini

Siapa hendak bertaruh sama ada "ibu segala skandal", iaitu skandal RM12.5 bilion Zon Perdagangan Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) akan dibangkitkan atau dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet hari ini atau tidak?

Saya tidak mempunyai maklumat tentang apa yang berlaku dalam mesyuarat Kabinet hari ini atau tentang apa saja maklumat lain yang dilindungi oleh Akta Rahsia Rasmi (OSA), tetapi saya tidak akan teragak-agak untuk bertaruh bahawa soal skandal PKFZ tidak akan timbul dalam mesyuarat Kabinet hari ini - walaupun dua hari lalu seorang lagi bekas Menteri Kabinet, iaitu Tan Sri Chan Kong Choy, bebas daripada dibicarakan di Mahkamah Tinggi apabila Peguam Negara menarik semua tuduhan berkitan skandal PKFZ terhadap beliau.

Pembebasan Chan dan Menteri Pengangkutan sebelum beliau, Tun Dr Ling Liong Sik, daripada tiga tuduhan menipu kerajaan berkaitan skandal PKFZ, seharusnya menjadi perkara penting dan serius untuk dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet hari ini - iaitu jika Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak serius untuk membasmi rasuah, atau jika pelantikan Datuk Paul Low sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang memegang portfolio urus tadbir dan integriti benar-benar membawa perubahan dalam Kabinet dan kerajaan, iaitu jika beliau bukan sekadar malukut di tepi gantang, dan bahawa Kabinet pasca PRU13 Najib adalah benar-benar sebuah Kabinet Transformasi yang meletakkan usaha membasmi rasuah sebagai salah satu agenda terpenting baginya, bukan sebuah "Kabinet sambil lewa" yang paling buruk dalam sejarah.

Saya membayangkan para Menteri Kabinet dan pemimpin-pemimpin tertinggi Umno/Barisan Nasional tentunya menarik nafas lega dengan pembebasan dua bekas Menteri Pengangkutan itu kerana ia menandakan kejayaan mereka merahsiakan perkara sebenar di sebalik "ibu segala skandal" itu. Maka sudah tentu tiada siapa di kalangan mereka sanggup untuk menjolok sarang tebuan dan menuntut supaya kebertanggungjawaban dipertingkatkan.

Namun pembebasan kedua-dua bekas Menteri Pengangkutan yang juga merupakan bekas pemimpin nombor 1 dan nombor 2 MCA itu dalam jarak masa kurang daripada tiga bulan telah menyebabkan kekecewaan besar pada rakyat Malaysia yang berharap institusi-institusi negara dipulihkan setelah terjejas dan malah punah sejak tiga dekad yang lalu, bermula di zaman pemerintahan Mahathir yang berjalan selama 22 tahun.

Perkembangan ini menyebabkan bekas pengerusi Pihak Berkuasa Pelabuhan Klang (PKA) Datuk Lee Hwa Beng sendiri dengan rasa putus asa menyatakan bahawa mungkin ada baiknya jika semua pendakwaan yang berkaitan dengan skandal PKFZ itu ditarik balik - untuk menjimatkan wang dan tidak menyusahkan saksi-saksi, serta supaya tidak berlaku ketidakadilan ke atas "ikan bilis" yang mungkin akan dibebankan dengan semua kesalahan atas skandal itu.

Saya tidak merasa wajar untuk kita berputus asa dan menerima saja hakikat bahawa skandal RM12.5 bilion PKFZ itu adalah "satu jenayah buruk tanpa penjenayah" seperti yang disebut Dr Mahathir tentang skandal RM2.5 bilion Bumiputra Malaysia Finance pada awal tahun lapan puluhan dulu.

Jika Najib benar-benar mahu membasmi rasuah, maka kerajaannya perlu menyusun semula strategi untuk menghadapkan pihak yang bertanggungjawab ke atas skandal RM12.5 bilion PKFZ ke muka pengadilan, daripada "ikan bilis" sampai kepada "jerung", sama ada dalam kerajaan mahu pun dalam politik.

Apa yang boleh ditawarkan oleh Paul Low, sebagai menteri yang bertanggungjawab ata urus tadbir dan integriti, untuk mengheret dalang skandal RM12.5 bilion PKFZ ke muka pengadilan - atau apakah para pembayar cukai Malaysia perlu terus menanggung akibat akibat skandal kewangan Barisan Nasional yang terbaru ini?

Jika Perdana Menteri dan Menteri yang bertanggungjawab atas urus tadbir dan integriti (saya tidak rasa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia mampu atau berani untuk memberikan sebarang sumbangan dalam soal ini) berdepan dengan jalan buntu dan tidak lagi mempunyai daya upaya, maka ada satu jalan keluar - penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja tentang skandal RM12.5 bilion PKFZ.

Saya menyerug agar kedua-dua belah pihak menyokong penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja tentang skandal RM12.5 bilion PKFZ dalam persidangan Parlimen Mac/April ini sebelum Malaysia ditertawakan dunia sebagai "tempat berlakunya skandal mega tanpa penjenayah."

Apakah Najib, Paul Low, Kabinet, dan Ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional akan menyokong usul sedemikian di Parlimen bagi membuktikan bahawa Malaysia bukan sebuah negara di mana skandal kewangan besar-besaran berlaku tanpa ada penjenayah yang terlibat?

Lim Kit Siang Ketua Parlimen DAP & Ahli Parlimen Gelang Patah