Surat Terbuka kepada PM dan Kabinet - mesyuarat pertama Kabinet hari ini perlu menyatakan mesej jelas untuk memulihkan kepimpinan dan membetulkan hala tuju negara ke arah membentuk negara Malaysia yang bersatu, harmoni, adil, berdaya saing dan agung

Saya memanfaatkan sepenuhnya zaman teknologi maklumat yang memungkinan maklumat disalurkan secara segera sepantas kilat untuk menulis surat terbuka ini kepada Perdana Menteri dan Menteri-menteri Kabinet sebelum mesyuarat pertama Kabinet bagi tahun 2014.

Saya menggesa Perdana Menteri dan para Menteri untuk menyatakan mesej jelas untuk memulihkan kepimpinan dan membetulkan hala tuju negara ke arah membentuk negara Malaysia yang bersatu, harmoni, adil, berdaya saing dan agung.

Perkara terbaik boleh dilakukan Kabinet dalam mesyuarat pertamanya ialah membincangkan dan menghadam pertanyaan yang dikemukakan oleh seorang warga Malaysia contoh, iaitu Tan Sri Robert Phang, yang bertanya "Why are we quarrelling over God?" (Mengapa kita bertelagah tentang Tuhan?)

Dalam kenyataan Tahun Baru beliau, Robert Phang menyebut:

"Happy New Year! I am sure that all Malaysians wish and pray that this year 2014 would be a better year than last year. But are our prayers in vain when we are so divided as a nation and we are so petty as to quarrel over God?

"When we make prayers, we do so in the name of God by whatever name we call Him. We have done so without much problem in the past because to God belong all things in heaven and on earth. We have done so since the independence of Malaya and the founding of Malaysia. Our beloved Prime Minister teaches us to wave our finger to say 1Malaysia and yet today we are like a nation tattered.

"As an old man past 74 years who has seen our independence and formation of Malaysia, I am troubled by the fractious state that we are in today."

("Selamat Tahun Baru! Saya pasti semua rakyat Malaysia berharap dan berdoa agar tahun baru 2014 ini akan menjadi lebih baik daripada tahun lalu. Namun apakah doa kita sia-sia, melihat keadaan kita sebagai satu negara yang berpecah-belah dan berbalah tentang perkara remeh seperti nama Tuhan?

"Ketika berdoa, kita meminta atas nama Tuhan, dengan apa juga nama yang kita berikan kepada-Nya. Begitulah yang kita lakukan selama ini kerana segala-gala yang di langit dan di bumi adalah milik Tuhan. Begitulah cara kita sejak kemerdekaan Malaya dan pembentukan Malaysia. Perdana Menteri yang kita sayangi mengajar kita untuk mengangkat jari lambang 1Malaysia, meski pun begitu pada hari ini kita menjadi seperti sebuah bangsa yang bercerai-berai.

"Sebagai orang tua yang telah melampaui usia 74 tahun dan telah menyaksikan sendiri kemerdekaan dan pembentukan Malaysia, hati saya gundah melihat keadaan kita pada hari ini yang berpecah-belah.")

Inilah antara sentimen dan kebimbangan yang berada di benak setiap rakyat Malaysia yang waras dan cintakan negara pada Tahun Baru ini.

Malah, saya percaya banyak warga Malaysia yang cintakan negara dan berbangga menjadi anggota bangsa Malaysia dan bukan hanya anggota kaum Melayu, Cina, India, Kadazan, atau Iban, merasa resah dan sukar tidur memikirkan dan merasa risau tentang masa depan negara yang seolah-olah sedang hanyut tanpa kepimpinan Perdana Menteri dan Kabinet.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mempromosi dasar 1Malaysia di mana rakyat Malaysia mengutamakan sifat mereka sebagai satu bangsa Malaysia mengatasi kaum, agama, daerah, dan status ekonomi. Beliau juga berkunjung ke beberapa ibu negara dunia untuk melancarkan dan mempromosi "Global Movement of Moderates" yang beliau anjurkan, tetapi di tanahair, kerajaannya mendanai kumpulan ekstremis dan rasis Perkasa yang bertekad untuk memusnahkan konsep 1Malaysia dan menyangkal mesej kesederhanaan, keharmonian, dan kerukunan hidup yang mendasari kempen "Global Movement of Moderates".

Apakah buat kali pertama dalam sejarah rakyat Malaysia mendapat sebuah kerajaan yang tangan kanannya tidak mengetahui apa yang sedang dilakukan oleh tangan kiri?

Semoga tidak - kerana jika benar, bererti kita mempunyai sebuah kerajaan yang mengamalkan kaedah Machiavelli paling keji, iaitu apabila tangan kiri kerajaan cuba mensabotaj apa yang dianjurkan oleh tangan kanannya!

Sejak beberapa hari lalu, saya telah menggesa Perdana Menteri dan Kabinet untuk memberikan keutamaan terhadap lima krisis yang sedang mengancam negara:

Pertama, krisis pembinaan negara dan perpaduan nasional yang terlihat dengan jelas pada jurang kaum dan keagamaan yang paling lebar dalam sejarah negara. Amat penting untuk Kabinet pada hari ini mengesahkan semula Penyelesaian 10 Perkara yang telah disahkan oleh Kabinet pada April 2011 untuk menyelesaikan kontroversi Alkitab, khususnya kerana Timbalan Perdana Menteri dan seorang lagi anggota Kabinet tampak telah menyimpang daripada Penyelesaian 10 Perkara tersebut.

Kedua, krisis ekonomi yang semakin lebar, disebabkan oleh peningkatan harga yang telah berlaku dan bakal terjadi secara lebih meluas dalam tempoh beberapa minggu dan beberapa bulan mendatang serta akan mencapai kemuncaknya apabila GST sebanyak enam peratus diperkenalkan pada April 2015;

Ketiga, krisis rasuah yang tidak menunjukkan ada usaha serius untuk menangani rasuah di peringkat tinggi (grand corruption) dan mengakhiri pembaziran dan salah guna wang rakyat secara besar-besaran.

Keempat, krisis kemerosotan tahap pendidikan nasional sehinggakan Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri mengelak untuk menyentuh tentang pencapaian buruk Malaysia dalam TIMSS 2011 dan PISA 2012; dan

Kelima, krisis keselamatan dan keamanan warga, pelabur, dan pelancong, memandangkan polis belum berubah menjadi sebuah pasukan yang cekap, bebas, dan profesional bertaraf dunia yang menjalankan tugas secara demokratik dan bukan hanya "mempertahankan rejim" sehingga sanggup bertindak melanggar norma-norma hak asasi manusia antarabangsa.

Apakah Kabinet sanggup menyokong penganjuran Sidang Kemuncak Perpaduan Nasional antara para pemimpin Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat untuk menanggapi kelima-lima krisis nasional yang disebutkan di atas dan menyatukan semula negara atau mengadakan sesi khas Parlimen seperti yang disarankan oleh Majlis Kepimpinan Pakatan Rakyat - meletakkan kepentingan negara di atas semua kepentingan parti dan kepentingan diri?

Lim Kit Siang Ketua Parlimen DAP & Ahli Parlimen Gelang Patah