Apakah Najib serius membayangkan bahawa Utusan Malaysia perlu diberi kebebasan untuk menimbulkan perseteruan perkauman dan keagamaan, termasuk menyerang Menteri Kabinet yang diamanahkan portfolio perpaduan negara?

Resepi yang diberikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak kelmarin untuk membentuk perpaduan nasional dan membantu rakyat Malaysia menyemai sikap saling menghormati dan persaudaraan sesama mereka diuji hari ini oleh rencana pengarang Utusan Malaysia Datuk Zaini Hassan yang mengingatkan bahawa saranan seorang menteri untuk menghapuskan ruangan “bangsa” dari borang-borang rasmi adalah langkah pertama untuk meyakinkan orang Melayu supaya melepaskan status mereka sebagai bumiputera dan melupakan keistimewaan lain yang diberikan kepada mereka.

Najib menganjurkan kepada rakyat Malaysia pendekatan “Kita tidak perlu mengutuk mereka, sebaliknya abaikan saja mereka” sebagai respons terbaik kepada tuntutan-tuntutan para penghasut dan pelampau. Kata beliau lagi, “Jangan berikan kepada mereka ruang dalam berita atau memberikan publisiti” yang mereka inginkan.

Masalahnya, rencana-rencana menghasut seperti rencana “Orang Melayu sudah tidak peduli dengan bangsa sendiri?” dalam Utusan Malaysia itu bukan diterbitkan oleh individu, sebaliknya ia diterbitkan oleh akhbar rasmi Umno, parti yang menjadi tulang belakang kerajaan Barisan Nasional, dan diberi nafas oleh media rasmi Umno serta disebarkan secara meluas oleh empayar media cetak, elektronik dan media sosial di bawah kawalan Umno/BN.

Apakah Najib serius membayangkan bahawa Utusan Malaysia perlu diberi kebebasan untuk menimbulkan perseteruan perkauman dan keagamaan, termasuk menyerang Menteri Kabinet yang diamanahkan portfolio perpaduan negara – dan bahawa inilah cara Najib untuk membentuk perpaduan di Malaysia?

Mengapa Najib membiarkan Utusan Malaysia dan pemimpin-pemimpin Umno yang lain meneruskan usaha mereka menimbulkan rasa panik di kalangan Melayu dan Muslim dalam negara ini menerusi gambaran palsu bahawa Melayu dan Islam di Malaysia sedang diancam?

Saya amat setuju dengan kolumnis Karim Raslan yang kelmarin menulis tentang “ironi” pada tindakan pihak yang tidak bertanggungjawab yang ingin menyebarkan rasa panik di kalangan masyarakat kononnya Melayu dan Islam sedang diancam sedangkan “mempunyai cukup banyak sebab untuk mereka merasa selamat sekarang.”

Dalam rencana “National reconciliation is the way forward” terbitan The Star kelmarin Karim menyebut:

“Seperti yang telah saya nyatakan beberapa kali sebelum ini – ironinya, masyarakat (Melayu) mempunyai cukup banyak sebab untuk merasa selamat sekarang.”

“Kita (Melayu) membentuk 65% dari penduduk Malaysia.

“Kita menguasai dunia politik, perkhidmatan awam dan ketenteraan, selain semakin banyak di kalangan kita yang menyertai sektor swasta berkat Dasar Ekonomi Baru.

“Saya tidak faham mengapa Melayu masih merasa terkepung.

“Suka atau tidak, perubahan di Malaysia tidak akan berlaku jika tidak diterajui oleh kaum Melayu.

“Ini adalah hakikat, lantaran ukuran masyarakat Melayu – satu faktor yang juga memberi makna bahawa kita juga perlu mempimpin.

“Bagaimanapun, kepimpinan datang bersama tanggungjawab – tanggungjawab yang memaksa kita untuk bukan saja menjaga diri kita sendiri tetapi juga saudara kita sewarganegara.”

Karim telah menyentuh pokok-pangkal permasalahan yang menjejaskan usaha pembinaan negara, perpaduan masyarakat, serta kepimpinan Najib sendiri sebagai Perdana Menteri Malaysia – sama ada beliau sanggup menjadi Perdana Menteri untuk semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, agama, atau daerah, dan sama ada beliau sanggup memikul tanggungjawab sebagai Perdana Menteri untuk semua kaum dan penganut agama di Malaysia.

Kalau Najib mahu menjadi Perdana Menteri untuk semua warga Malaysia, beliau sepatutnya tidak mengabaikan saja semua perbuatan mengapi-apikan semangat perkauman dan keagamaan, sebaliknya mengisytiharkan ‘perang’ dan tidak memberi muka kepada puak penghasut dan pelampau yang mahu memusnahkan masyarakat majmuk Malaysia, tidak kira puak ini dari Umno, Barisan Nasional atau Pakatan Rakyat.

Beliau sepatutnya memecat pengarang Utusan Malaysia Datuk Zaini Hassan kerana secara terbuka membantah Rancangan Perpaduan Negara atau memberikan kata dua kepadanya kerana membantah program perpaduan negara yang dianjurkan oleh kerajaan.

Kita menunggu untuk melihat sama Najib akan mempertahankan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Joseph Kurup yang diamanahkan dengan portfolio perpaduan negara dan kini sedang diserang oleh para penghasut dan pelampau dari kalangan kita.

Lim Kit Siang Ketua Parlimen DAP & Ahli Parlimen Gelang Patah