PPN Najib adalah resepi untuk lari daripada tanggungjawab sebagai Perdana Menteri bagi sebuah masyarakat majmuk sambil terus menikmati kuasa

Saya merasa teruja mendapat tahu bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini membuat catatan blog berjudul “A national reconciliation update” kerana saya menyangka berakhirlah tempoh sembilan bulan sejak pilihanraya umum ke-13 di mana negara ini dipimpin oleh seorang Perdana Menteri yang tampak tidak mempunyai daya kepimpinan dan hala tuju, khususnya berkenaan agenda pembinaan dan perpaduan negara yang amat penting.

Setelah membaca catatan blog Najib, saya merasa kecewa kerana ia tidak memberikan sebarang harapan dan tidak menunjukkan akan ada hala tuju kepimpinan yang baru bagi menamatkan tempoh sembilan bulan kerajaan hanyut tanpa arah. Catatan itu tidak menunjukkan adanya wawasan inklusif untuk pembinaan negara, sebaliknya yang ada hanyalah resepi untuk Najib lari dari tanggungjawabnya sebagai Perdana Menteri untuk masyarakat majmuk sambil terus menikmati kuasa!

Apa tanggapan Najib terhadap keadaan selepas PRU13 di mana kita menyaksikan terhasilnya jurang perkauman dan keagamaan paling lebar dalam sejarah 56 tahun negara ini sehingga Majlis Perundingan Perpaduan Nasional (MPPN) memberi amaran minggu lalu bahawa kegagalan kerajaan Najib untuk bertindak dengan segera bagi menangani peristiwa-peristiwa ‘panas’ perkauman dan keagamaan dapat memberikan “kesan yang parah”?

MPPN dalam kenyataannya menyebut bahawa Putrajaya perlu bertindak pantas kerana peningkatan ketegangan keagamaan dapat menggagalkan usaha mengukuhkan perpaduan nasional.

Ia mendesak kerajaan Najib untuk “menegakkan kedaulatan undang-undang dan meningkatkan perpaduan nasional dengan mengambil tindakan segera ke atas kenyataan-kenyataan dan tindakan-tindakan yang provokatif dan dapat menimbulkan ketegangan sehingga menjejaskan keamanan, keharmonian dan perpaduan nasional.”

Apa repons Najib terhadap peringatan MPPN dan harapan rakyat Malaysia umumnya supaya kerajaan bertindak secara pro-aktif dengan mengambil langkah-langkah bagi menghentikan perbuatan menghasut dan mengapi-apikan semangat perkauman dan keagamaan, selain menghentikan perbuatan menyebarkan pembohongan yang bertujuan melaga-lagakan anggota kaum dan agama dalam negara ini?

Najib tidak menjanjikan sebarang tindakan pro-aktif untuk menyelamatkan negara dengan menutup ruang kepada penjaja kebencian dan kekerasan, sebaliknya beliau hanya menyarankan agar rakyat Malaysia mengabaikan tuntutan para penghasut dan pelampai, iaitu dengan “tidak memberikan kepada mereka ruang dalam berita atau memberikan publisiti.”

Tiada langkah lain yang lebih tidak berguna untuk menyelamatkan negara daripada puak yang melaga-lagakan kaum dan agama selain yang disarankan oleh beliau, apatahlagi melihat kepada hakikat bahawa yang memberi nafas kepada puak-puak itu adalah media sosial serta media cetak dan elektronik di bawah kawalan Umno dan BN – khususnya Utusan Malaysia dan radio serta televisyen yang dikawal oleh Umno/BN.

Apakah Najib akan segera mengeluarkan arahan kepada Utusan Malaysia dan semua media cetak, media elektronik, dan media sosial di bawah kawalan Umno/BN untuk berhenti memberi ruang kepada puak penghasut dan pelampau supaya menutup ruang publisiti untuk mereka?

Jika Najib tidak sanggup mengeluarkan arahan sedemikian, tidakkah itu bermakna beliau membiarkan saja para penghasut dan pelampau melakukan perbuatan melaga-lagakan kaum dan agama?

Saya mengharapkan Perdana Menteri sekurang-kurangnya memberi amaran keras kepada semua pihak bahawa kerajaan akan menggunakan segala kuasa yang ada di tangannya, termasuk polis dan pejabat Peguam Negara, untuk memastikan keamanan, kerukunan hidup, kemajuan, dan kemakmuran semua warga Malaysia tidak akan terjejas dan dimusnahkan oleh rencana jahat segelintir pihak yang mahu menimbulkan kekacauan perkauman dan keagamaan menerusi tindakan menghasut dan mengapi-apikan semangat perkauman dan keagamaan serta menyebarkan pembohongan.

Namun Najib tidak mempunyai tekad politik, komitmen, daya kepimpinan, serta wawasan untuk menyelamatkan Malaysia dari para penghasut dan pelampau yang bertekad untuk menimbulkan kekacauan perkauman dan keagamaan menerusi tindakan menghasut dan mengapi-apikan semangat perkauman dan keagamaan serta menyebarkan pembohongan.

Beliau hanya sanggup meminta rakyat Malaysia “memusnahkan” para penghasut dan pelampau dengan “menanam keyakinan terhadap diri sendiri dan rakyat Malaysia yang lain.”

Beliau tidak menyebut bahawa undang-undang akan digunakan ke atas sesiapa saja yang cuba melaga-lagakan anggota kaum dan agama dengan tujuan menimbulkan kekacauan!

Jika ini saja yang mampu Najib tawarkan untuk memelihara keamanan, kerukunan, kemajuan, dan kemakmuran semua rakyat Malaysia, maka tidak perlu beliau menjadi Perdana Menteri kerana beliau boleh menyampaikan mesejnya dengan menjadi pendakwah keamanan yang bersyarah di serata pelusuk jalan dan kampung mengajak orang ramai melakukan kebaikan dan menghindari kekerasan!

Mengapa tiba-tiba Najib menunjukkan sifat belas terhadap para penghasut dan pelampau yang nekad untuk memusnahkan masyarakat majmuk Malaysia?

Apa gunanya polis, pejabat Peguam Negara, dan institusi-institusi lain jika para penghasut dan pelampau dibiarkan “kebal” untuk melanggar undang-undang negara dan meranapkan negara?

Najib juga turut mencatat dalam blognya tentang Rancangan Perpaduan Negara (RPN) yang misteri dan tampak seperti dihasilkan secara amat sulit dan rahsia “setelah berbulan-bulan menjalankan kerja secara senyap … kini hampir bersedia untuk melaksanakan pelan tindakan mereka.”

Menurut Najib: “RPN bermatlamat untuk menghasilkan persekitaran yang kondusif dan meningkatkan perpaduan nasional menerusi kesatuan dan konsensus di seluruh negara. Kami mahu membantu memberi semangat kepada rakyat untuk menghormati dan saling membina hubungan untuk menjadikan Malaysia tanahair yang lebih baik untuk semua kita.”

Sesuatu yang berlebihan untuk sebuah kerajaan yang dibentuk atas undi minoriti 47% bekerja secara senyap dan rahsia bagi menghasilkan Rancangan Perpaduan Nasional tanpa mendapatkan pandangan daripada Pakatan Rakyat yang menerima undi majoriti 51%.

Sehingga kini, pandangan Pakatan Rakyat tidak pernah diminta untuk RPN dan pelawaan kami untuk mengadakan Sidang Kemuncak Kepimpinan Barisan Nasional-Pakatan Rakyat berkenaan Perpaduan Nasional belum mendapat respons rasmi daripada Perdana Menteri dan kepimpinan BN.

Selain itu, apakah RPN ini yang nampaknya telah hampir selesai dirangka berbeza sama sekali dari Pelan Induk Perpaduan Negara (PIPN) yang sedang dirangka oleh MPPN yang dijangka siap dalam tempoh dua tahun?

Jika RPN berbeza dari PIPN, timbul beberapa persoalan lain, pertama, apakah tujuan MPPN menyediakan PIPN sedangkan RPN telah hampir siap; kedua, apakah ia akan menelan wang rakyat sebanyak RM10 juta atau RM20 juta seperti Pelan Induk Pendidikan Nasional di mana kerajaan membayar RM20 juta kepada perunding asing untuk merangkanya?

Sedih dan mengejutkan setelah lima tahun menjadi Perdana Menteri, Najib masih tidak faham bahawa bahaya yang ditimbulkan oleh pihak yang cuba memusnahkan masyarakat majmuk Malaysia menerusi perbuatan mereka menghasut secara terus-menerus tidak mungkin dapat diatasi dengan pesanan “Jangan berikan publisit kepada ekstremis” sebaliknya ia perlu diatasi dengan arahan supaya “jangan beri muka kepada ekstremis”.

Bilah Najib akan melaksanakan tugas dan tanggungjawabnya kepada negara dan rakyat Malaysia sebagai Perdana Menteri keenam negara ini?

Lim Kit Siang Ketua Parlimen DAP & Ahli Parlimen Gelang Patah