Apakah pilihanraya kecil Kajang akan menjadi pilihanraya paling kotor atau paling bersih dalam sejarah Malaysia?

Apakah pilihanraya kecil Kajang akan menjadi pilihanraya paling kotor atau paling bersih dalam sejarah Malaysia?

Kedua-dua kemungkinan itu ada dan ia bergantung pada calon-calon yang bertanding, Barisan Nasional, Pakatan Rakyat, dan badan penyelia seperti Suruhanjaya Pilihan Raya, polis dan sebagainya.

Pilihanraya kecil Kajang menjanjikan banyak kejutan.

Hakikat bahawa pilihanraya itu akan diadakan sendiri adalah satu kejutan-kejutan pertama.

Sehari selepas peletakan jawatan secara mengejut oleh ADUN PKR Kajang Lee Chin Cheh pada 27 Januari, Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat telah menyokong sepenuhnya pencalonan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon pilihanraya kecil Kajang sebagai percaturan politik utama untuk menempatkan Selangor sebagai tapak peluncuk gerakan menawan Putrajaya dalam PRU14.

Kejutan kedua muncul apabila ketua penerangan Umno dan Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan tanpa merasa malu telah mengumumkan bahawa Umno dan Barisan Nasional akan melancarkan kempen menyerang peribadi Anwar dan mengungkit semua dakwaan seksual yang pernah dibuat sejak lebih sedekad yang lalu ke atas Ketua Pembangkang itu.

Kejutan ketiga ialah apabila Suruhanjaya Pilihan Raya memutuskan untuk mencipta sejarah dengan membuat penangguhan paling lama bagi pilihanraya kecil, menyebabkan Kajang akan terbiar selama 55 hari tanpa wakil rakyat, memandangkan pencalonan hanya akan dibuat pada 11 Mac dan hari pengundian pula ditetapkan pada 23 Mac - berbeza dengan pilihanraya kecil Kuala Besut yang diadakan 28 hari selepas kematian Abdul Rahman Mokhtar dan pilihanraya kecil Sungai Limau yang diadakan 39 hari selepas kematian Azizan Abdul Razak.

Tiada siapa percaya bahawa Suruhanjaya Pilihan Raya "bermurah hati" memperuntukkan tempoh lebih lama untuk Kajang kerana badan itu percaya bahawa masa kempen pilihanraya memerlukan masa yang cukup agar ia dapat dijalankan secara bebas, saksama dan bersih - bukannya kerana Umno/BN telah memberi isyarat jelas bahawa pilihanraya kecil Kajang perlu dilengahkan untuk membolehkan perbezaan pandangan berkenaan pelaksanaan pilihanraya kecil meningkat dalam PKR, Pakatan Rakyat, serta di kalangan orang awam bagi menjejaskan pencalonan Anwar.

Penetapan 11 Mac sebagai hari pencalonan juga sudah tentu ada kena-mengena dengan acara pembukaan rasmi sesi kedua bagi Parlimen ke-13 pada 10 Mac oleh Yang di Pertuan Agong serta dengan permulaan perbahasan Titah Diraja pada 11 Mac.

Tidakkah tarikh itu ditetapkan dengan tujuan mensabotaj penyertaan Anwar memandangkan beliau adalah pembahas utama Titah Diraja bagi Pakatan Rakyat yang akan bermula pada 11 Mac itu? Atau apakah ini hanya satu kebetulan?

Selain itu, masa berbaki selama 45 hari sehingga 23 Mac adalah cukup banyak untuk Umno/BN mencipta pelbagai "kejutan" dan "serangan" ke atas Anwar, PKR dan PR - dengan matlamat utama untuk meningkatkan perselisihan dalam PKR dan PR.

Tiada siapa akan terkejut jika pilihanraya kecil Kajang berakhir sebagai pilihanraya kecil paling kotor dalam sejarah Malaysia - banjir politik wang; penyalahgunaan sumber dan jentera kerajaan persekutuan; pelacuran media di bawah kawalan Umno/BN serta gerombolan cybertrooper mereka; lambakan pembohongan menerusi taktik serang peribadi ke atas Anwar dan pemimpin-pemimpin PKR dan PR yang lain; dan tidak ketinggalan juga usaha mengapi-apikan semangat perkauman dan keagamaan serta meningkatkan ketegangan bagi mewujudkan kebimbangan orang ramai terhadap kemungkinan berlakunya satu lagi peristiwa seperti 13 Mei.

"Ibu segala kejutan" ialah jika pilihanraya kecil Kajang berakhir sebagai pilihanraya kecil paling bersih dalam sejarah pilihanraya di Malaysia, di mana politik wang tidak berlaku, sumber dan jentera kerajaan serta media tidak disalahgunakan; serangan peribadi tidak dibuat berasaskan pembohongan, serta semangat perkauman dan keagamaan tidak diapi-apikan!

Pakatan Rakyat komited sepenuhnya untuk menjadikan pilihanraya kecil Kajang sebagai pilihanraya paling bersih dalam sejarah pilihanraya Malaysia. Namun cita-cita ini hanya akan tercapai jika Umno/BN memberikan komitmen yang sama dengan sokongan penuh Suruhanjaya Pilihan Raya dan Polis.

Saya menyarankan supaya Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat segera melantik wakil untuk menganggotai Jawatankuasa Bersama bagi Memastikan Pilihanraya Kecil Kajang sebagai Pilihanraya Kecil Terbersih dalam Sejarah dengan mandat khusus untuk memastikan piihanraya kecil Kajang menjadi pilihanraya kecil paling bersih dan bukan paling kotor dalam sejarah.

Apakah Presiden Umno dan Pengerusi Barisan Nasional Datuk Seri Najib Razak sanggup untuk memberikan jawapan segera dan positif terhadap saranan ini?

Pilihanraya kecil Kajang akan menjadi ujian terbesar buat Anwar, PKR dan Pakatan Rakyat. Pemimpin dan aktivis Pakatan Rakyat di semua peringkat dan daripada ketiga-tiga parti PKR, PAS, dan DAP perlu menunjukkan perpaduan dan disiplin paling tinggi dalam pertempuran pilihanraya kecil Kajang sebagia sebuah kesatuan yang teguh - kerana Anwar bukan saja perlu menang dalam pilihanraya kecil Kajang, malah beliau perlu menang dengan majoriti lebih besar daripada yang diperolehi oleh Lee Chin Cheh dalam PRU13 bagi membuka jalan ke arah perubahan dan menuju Putrajaya dalam PRU14.

Lim Kit Siang Ketua Parlimen DAP & Ahli Parlimen Gelang Patah