Cara terbaik untuk Kabinet memperingati ulangtahun ke-111 Bapa Malaysia ialah menghidupkan semula Majlis Antara Agama yang ditubuhkan oleh Tunku Abdul Rahman di peringkat awal sejarah negara

Hari ini adalah hari ketiga "Minggu Kerukunan Antara Agama Sedunia" (3 - 9 Februari) dan Malaysia sebagai sebuah negara yang diduduki oleh masyarakat berbilang kaum dan agama seharusnya mengisi barisan depan dalam usaha menghidupkan dialog antara agama sebagai suatu proses yang membolehkan "toleransi" ditingkatkan menjadi "persefahaman" dan seterusnya menyatukan hati umat manusia dan mengukuhkan hubungan mereka.

Saya ingin mengingatkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bahawa pada hari pertama Minggu Kerukunan Antara Agama Sedunia tahun lalu, iaitu pada 2 Februari 2013, beliau telah menunjukkan contoh bagaimana minggu kerukunan antara agama seharusnya diraikan dengan melawat rumah-rumah ibadat bagi lima agama besar dalam negara ini di Brickfields, Kuala Lumpur, iaitu kuil Sri Sakhti Karpaga Vinayagar, kuil Maha Vihara (Buddha), Gereja Methodist Tamil, kuil Sam Kow Tong (Tao) dan surau Madrasathul Gouthiyyah.

Pada hari ini tahun lalu, beliau menyatakan bahawa kita perlu berpegang pada tiga prinsip, iaitu kesederhanaan, menghormati kepercayaan yang berlainan, saksama dan bertimbang rasa.

Tetapi pada tahun ini, bukan saja Perdana Menteri, malah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional di Jabatan Perdana Perdana yang ditugaskan untuk menyusun acara sambutan Minggu Kerukunan Antara Agama Sedunia di Malaysia tidak menunjukkan kesungguhan - kerana itulah portal rasmi Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (http://www.jpnin.gov.my/home) tidak mengandungi sebarang maklumat tentang sambutan minggu ini di peringkat kebangsaan yang melibatkan Perdana Menteri ketika saya melawat portal itu pada hari ketiga Minggu Kerukunan Antara Agama Sedunia yang disambut selama seminggu di seluruh dunia.

Sepatutnya sambutan Minggu Kerukunan Antara Agama Sedunia tahun ini melibatkan acara yang lebih gah dan bermakna berbanding tahun lalu memandangkan hubungan dan kerukunan hidup antara penganut agama-agama di negara ini sedang berdepan ujian terhebat dalam sejarah berikutan tindakan beberapa pihak yang cuba mengapi-apikan semangat perkauman dan keagamaan sepanjang lapan bulan lalu sehingga melebarkan jurang perkauman dan keagamaan serta meningkatkan ketegangan.

Sikap dingin kerajaan terhadap Minggu Kerukunan Antara Agama Sedunia 2014 menimbulkan pertanyaan tentang komitmen Kabinet terhadap respons positif yang diberikannya kepada ajakan Pakatan Rakyat untuk mengadakan Sidang Kemuncak Pimpinan Barisan Nasional/Pakatan Rakyat bagi membincangkan perpaduan nasional dan mematahkan rancangan sekumpulan kecil pengkhianat yang cuba menimbulkan kacau bilau dan rusuhan kaum dalam negara.

Namun ini bukan satu-satunya insiden yang menimbulkan pertanyaan tentang komitmen, keyakinan dan kesanggupan politik kepimpinan Barisan Nasional untuk mewujudkan muafakat kebangsaan bagi meningkatkan perpaduan dan mengendurkan ketegangan keagamaan dan perkauman.

Seminggu telah berlalu sejak mesyuarat Kabinet memberikan respons positif kepada ajakan Pakatan Rakyat untuk mewujudkan muafakat kebangsaan tentang perpaduan negara, namun parti-parti Pakatan Rakyat belum dihubungi secara rasmi oleh Barisan Nasional untuk membincangkan saranan-saranan berkaitan sidang kebangsaan itu.

Selain itu, pengumuman oleh seorang pemimpin Umno bahawa strategi utama yang akan digunakan Barisan Nasional dalam pilihanraya kecil Kajang nanti ialah menjaja seks untuk membangkitkan isu-isu seksual yang kononnya melibatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menimbulkan rasa tidak senang kerana ia bukan saja tidak bermaruah dan tidak beretika, malah ia bertentangan dengan semangat muafakat kebangsaan tentang perpaduan negara.

Muafakat kebangsaan tidak akan menghilangkan perselisihan politik di kalangan rakyat Malaysia, namun ia mesti mampu mencapai muafakat sekurang-kurangnya berkenaan satu matlamat - perpaduan rakyat Malaysia tanpa mengira anutan politik dan kepercayaan untuk mematahkan percubaan pengkhianat dalam negara yang cuba untuk menimbulkan rusuhan kaum dan pertembungan keagamaan menerusi (1) tindakan mengapi-apikan kebencian perkauman dan keagamaan dan meningkatkan ketegangan (2) penyebaran pembohongan dan pendustaan dan beberapa tindakan lain yang tidak beretika dan tidak berprinsip.

Pilihanraya kecil Kajang - tanpa mengira siapa menang pada hari pengundian nanti - seharusnya menjadi pentas untuk menunjukkan bahawa Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat semakin matang dan berpolitik dan mampu untuk bersatu atas semangat patriotik walaupun berbeza parti dengan mengamalkan etika kempen yang baru, iaitu kempen yang beretika, tidak mengapi-apikan semangat perkauman dan keagamaan, serta tidak menyebarkan pembohongan dan dusta.

Parti-parti Pakatan Rakyat yang terdiri daripada PKR, PAS, dan DAP tidak teragak-agak untuk berpegang dengan tata kempen yang beretika - apakah parti-parti Barisan Nasional sanggup melakukan perkara yang sama?

Jika kedua-dua Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat sanggup berpegang dengan kod etika kempen yang baru dalam pilihanraya kecil Kajang, ia adalah permulaan yang baik menuju Sidang Kemuncak Pimpinan Barisan Nasional-Pakatan Rakyat.

Sabtu nanti kita merayakan ulangtahun ke-111 Bapa Malaysia Tunku Abdul Rahman. Jika beliau masih hidup hari ini, tentu beliau merasa jijik dengan keadaan semasa - terutamanya melihat tindakan mengapi-apikan semangat perkauman dan keagamaan yang tidak dikekang oleh pihak berkuasa.

Cara terbaik untuk memperingati ulangtahun ke-111 Bapa Malaysia ialah dengan mengenang kata-kata beliau tentang nilai dan prinsip kesederhanaan, toleransi, dan keadilan sebagai asas kejayaan usaha pembinaan negara seperti yang tercermin dalam sembilan petikan berikut daripada Tunku:

  • "Antara perkara yang dipersetujui ialah bahawa Islam diterima sebagai agama rasmi, tetapi kebebasan beragama diberi dan setiap orang boleh menjalani kehidupan secara bermaruah menurut cara masing-masing. Setiap orang wajib menghormati janji-janji ini dan persetujuan yang telah dicapai. Tiada siapa patut merasa dirinya lebih hebat dan mengabaikan janji-janji ini. Jika janji-janji ini dipelihara, saya percaya Malaysia akan terus menjadi sebuah negara yang aman..."
  • "Kita semua rakyat Malaysia. Inilah tali yang menyatukan kita. Kita semua perlu sentiasa ingat bahawa perpaduan adalah kekuatan kita yang asasi sebagai sebuah bangsa dan negara."
  • "Perkara utama yang perlu kita ingat ialah bahawa kita perlu menjadikan negara ini sebagai tanahair kita dan kita mesti hidup bersama dalam keadaan gembira. Semua kita, setiap seorang daripada kita, perlu memberi sumbangan ke arah itu tidak kira apa kaum atau agama kita."
  • "Jangan sesekali kita berpecah-belah kerana kita akan gagal jika berpecah-belah. Marilah semua kita sentiasa ingat bahawa kita mesti memastikan ikatan perpaduan, muhibah, tolak-ansur, kerukunan hidup semakin kukuh tahun demi tahun."
  • "Dalam negara seperti itu, apa yang orang harapkan daripada seorang pemimpin? Semua orang akan berkata bahawa pemimpinnya mestilah seorang yang boleh membentuk negara daripada sifat-sifat ini menjadi sebuah kesatuan, kerana bangsa Malaysia yang bersatu boleh muncul daripada kepelbagaian yang ada."
  • "Perkara yang tidak ingin kita lihat ialah Malaysia terpecah-belah kepada kutub-kutub politik yang terlalu berlainan, kerana negara yang berpecah-belah di dalamnya hanya akan mengundang bencana."
  • "Matlamat agung kita ialah untuk menjadikan Malaysia sebuah tempat yang aman, harmoni dan berbahagia. Kita mesti berusaha ke arah itu dengan segenap kekuatan kita. Kita mesti bersikap berani, adil, dan saksama, supaya tidak kira apa saja cabaran yang datang kita bersedia untuk menghadapinya sebagai bangsa Malaysia yang bersatu. Merdeka!"
  • "Dalam masyarakat kita yang berbilang kaum, dalam demokrasi Malaysia, tiada lebih asasi daripada kerukunan hidup antara pelbagai kaum yang membentuk negara Malaysia. Malah, kalau saya diminta untuk menamakan hanya satu perkara yang boleh boleh dianggap sebagai penentu kejayaan Malaysia sebagai sebuah negara merdeka, saya tidak akan teragak-agak untuk menyebut bahawa ia adalah persefahaman dan kerjasama antara kaum. Kerukunan hidup ini bukan saya menggambarkan pemikiran dan perasaan masyarakat dalam negara ini, malah ia adalah khazanah yang tidak ternilai bagi setiap seorang kita."
  • "Setiap seorang daripada kita perlu mendahulukan Malaysia dan keperluan negara serta tidak terlalu mementingkan diri sendiri ... setiap orang perlu cuba untuk memastikan bahawa rakyat bersatu hati memberikan kesetiaan kepada negara dan untuk mencapai satu matlamat, iaitu untuk menjadikan Malaysia, tanah air yang kita cintai ini, sebagai tempat tinggal yang bahagia untuk semua kita. Jika kita mampu berbuat begini, maka kita boleh menjamin kebebasan, keselamatan, kemakmuran dan kebahagian di masa depan."

Perkara terbaik boleh dilakukan oleh Kabinet dan negara untuk memperingati ulangtahun ke-111 Bapa Malaysia ialah:

Pertama, segera dan jangan berlengah menganjurkan Sidang Kemuncak Pimpinan Barisan Nasional-Pakatan Rakyat; dan

Kedua, menghidupkan semula Majlis Antara Agama yang telah ditubuhkan oleh Tunku Abdul Rahman di peringkat awal sejarah negara bagi merungkai perbezaan dan meningkatkan semangat muhibah, persefahaman dan kerukunan hidup antara penganut agama-agama di Malaysia.

Lim Kit Siang Ketua Parlimen DAP & Ahli Parlimen Gelang Patah