Najib patut menjemput Teresa Kok untuk menayangkan video 'Onederful Malaysia CNY 2014' dan memberikan terjemahan sebenar bagi dialog dan latar berbahasa Kantonis-Mandarin dalam mesyuarat Kabinet esok

Seorang lagi Menteri dari Umno ikut terlibat mengaibkan diri sendiri dengan memperkatakan tentang video sepanjang 11 minit "Onederful Malaysia CNY 2014" yang dihasilkan Ahli Parlimen DAP Seputeh Teresa Kok, seolah-olah beliau faham bahasa Kantonis dan Mandarin, iaitu dua bahasa yang digunakan dalam dialog video tersebut.

Menteri berkenaan tidak lain adalah Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Ahmad Shabery Cheek yang turut memperkatakan subjek tersebut dengan mengecam penampilan Teresa dalam video satira Tahun Baru Cina terbabit sebagai sesuatu yang "tidak padan dengan statusnya sebagai wakil rakyat" dan mengecam video itu sebagai "menjengkelkan, lebih meloyakan, lebih menjijikkan."

Bagaimana Ahmad Shabery tahu? Apakah beliau tiba-tiba memahami Mandarin dan Kantonis, atau apakah beliau memberikan komen berdasarkan khabar angin dan komen berat sebelah serta buruk sangka para pemimpin MCA dan Gerakan?

Pemimpin Umno pertama yang cuba menangguk keuntungan politik daripada video Teresa itu adalah Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang menuduh video Teresa mempersendakan pasukan keselamatan Malaysia serta tragedi pencerobohan ke atas Lahad Datu yang membawa kepada kehilangan nyawa beberapa orang anggota tentera dan polis.

Tindakan Shafie berjaya membuatkan polis bertindak segera dalam masa hanya beberapa jam apabila pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Polis Datuk Seri Salleh Mat Rashid mengisytiharkan klip video Teresa akan disiasat kerana mungkin mengandungi hasutan dan fitnah.

Pada hakikatnya, video Teresa tidak mempersendakan pasukan keselamatan kerana ia tidak menyebut tentang pasukan keselamatan mahu pun tragedi pencerobohan Lahad Datu.

Perkara ini sebenarnya mudah untuk diselesaikan.

Justeru itulah saya telah menjemput Shafie kemlarin untuk bertemu Teresa secara terbuka dan beliau boleh membawa para pakar dan penasihat untuk membolehkan pasukannya pada bahagian mana pasukan keselamatan atau tragedi Lahad Datu dipersendakan dalam satira video berkenaan.

Saya tidak hairan apabila Shafie berdiam diri kerana beliau tahu yang beliau telah mengaibkan dirinya sendiri dengan membuat kenyataan tentang perkara yang sama sekali tidak diketahuinya - dan jika beliau memahami Mandarin dan Kantonis tentu beliau sedar bahawa beliau sengaja berbohong.

Pada masa ini, kita hanya boleh menganggap bahawa Shafie membiarkan dirinya terpedaya sehingga membuat dakwaan yang tidak berasas tentang video Teresa walaupun beliau tidak mengetahui apa-apa tentang video itu.

Siapa yang telah memberikan maklumat salah kepada Shafie? Pemimpin MCA atau Gerakan? Apakah beliau sanggup mendedahkan identiti pihak terbabit?

Kini seorang lagi Menteri Umno, Ahmad Shabery, terjun ke dalam semak dengan mata tertutup - memandangkan beliau tidak memahami Mandarin atau Kantonis.

Sebelum lebih banyak Menteri Umno mengaibkan diri sendiri, saya bersungguh-sungguh menyarankan agar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menjemput Teresa Kok untuk menayangkan video "Onederful Malaysia CNY 2014" dan memberikan terjemahan sebenar bagi dialog dan latar berbahasa Kantonis-Mandarin dalam mesyuarat Kabinet esok supaya menteri-menteri Umno tidak mudah dipesongkan oleh MCA atau Gerakan tentang isu terbabit.

Mungkin video "Onederful Malaysia CNY 2014" itu juga perlu ditayangkan apabila Parlimen bersidang semula 10 Mac nanti dengan Teresa memberikan terjemahan yang tepat bagi dialog berbahasa Cina-Mandarin.

Teresa sepatutnya dikalungkan dengan ucapan tahniah dan bukannya dikritik kerana menghasilkan video berkenaan yang telah ditonton hampir sejuta kali di YouTube - lebih banyak ditonton menerusi YouTube berbanding video "Let Them Eat Kangkung" The Effing Show yang mencatatkan tontonan sebanyak 182,634 kali dalam tempoh dua minggu berbanding video Teresa yang mencatatkan tontonan sebanyak 187,334 kali dalam masa enam hari. Tidak semua orang menyukai video "Onederful Malaysia" yang kontroversi itu dan kerana itulah ia mendapat 2,631 "like" dan 1,619 "dislike" dalam YouTube.

Namun hakikat itu tidak menjadikannya hasutan yang perlu disiasat oleh polis.

Benar kata Presiden Majlis Peguam Christopher Leong dalam wawancara dengan Free Malaysia Today kelmarin bahawa tindakan tidak boleh diambil terhadap Teresa atau video Tahun Baru Cina beliau kerana ia tidak mengandungi unsur hasutan.

Menurut Leong, video itu tidak mengandungi kesalahan dari segi Akta Hasutan, walaupun ia tidak menghiburkan bagi sesetengah orang.

Beliau menyebut bahawa ada pelbagai cara untuk menonjolkan atau menyentuh sesuatu isu yang serius.

Ujar Leong: "Salah satu cara ialah bermasam atau mengerutkan muka, tapi itu bukan semestinya satu-satunya cara."

"Kita boleh menyatakan kebimbangan atau meluahkan pendapat tentang isu-isu menerusi bermacam cara, termasuk berpidato, berdebat, menulis rencana, menghasilkan kartun, teater, satira dan sajak."

Semuanya dengan tujuan menyampaikan sesuatu mesej secara aman.

Kata Leong: "Tidak ternampak unsur hasutan dalam video itu. Video itu dan kandungannya tidak menjadi haram hanya kerana ada orang yang merasa ralat, teruja atau terangsang dengannya."

Menurut Leong lagi, untuk bergerak ke depan, orang ramai tidak sepatutnya mentafsirkan undang-undang semata-mata untuk memenuhi kehendak paling rendah.

"Pendidikan perlu dijadikan kunci, bukan undang-undang drakonian yang lapuk," tambah Leong.

Menteri Umno tidak sepatutnya melakukan kesalahan mentafsirkan undang-undang semata-mata untuk memenuhi kehendak paling rendah.

Jelas sekali bahawa antara pihak pertama yang perlu diberi pendidikan tentang satira politik adalah Menteri Kabinet Umno seperti Shafie dan Ahmad Shabery.

Lim Kit Siang Ketua Parlimen DAP & Ahli Parlimen Gelang Patah