Zahid tidak layak untuk menjadi pengerusi bersama Jawatankuasa Tetap untuk bertindak terhadap dapatan RCIIIS kerana beliau berat sebelah serta menolak penemuan RCIIIS mengenai ‘Projek IC’

Ketika Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi membuat lawatan pertamanya ke Sabah selepas penerbitan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja Pendatang Asing di Sabah (RCIIIS) pada 3 Disember lalu, serta pelantikannya sebagai pengerusi bersama Jawatankuasa tetap untuk bertindak terhadap dapatan RCIIIS, beliau bertegas bahawa tidak wujud ‘Projek IC’ yang menjadi punca pengeluaran puluhan malah ratusan ribu kad pengenalan tidak sah kepada warga asing yang membolehkan mereka didaftarkan sebagai pengundi untuk mengubah demografi politik Sabah.

Ketika lawatannya ke Sabah, Zahid menggariskan terma rujukan bagi kedua-dua jawatankuasa yang ditubuhkan untuk bertindak atas dapatan RCIIIS – dengan Zahid, bersama Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman dijadikan pengerusi bersama Jawatankuasa Tetap, dan Tan Sri Joseph Pairin Kitingan dijadikan pengerusi Jawatankuasa Kerja Laporan RCIIIS.

Pun begitu, nampaknya seperti ada yang tidak kena, tentang bagaimana Zahid boleh menjadi pengerusi bersama Jawatankuasa Tetap untuk bertindak terhadap dapatan RCIIIS padahal beliau bersikap berat sebelah dan menolak penemuan RCIIIS yang paling penting mengenai ‘Projek IC’?

Zahid berkeras bahawa ‘Projek IC’ tidak wujud, namun ini bukanlah penemuan RCIIIS.

RCIIIS telah mengkhaskan 14 muka surat daripada laporan 386 muka (versi Bahasa Inggeris) untuk ‘Projek IC’, dan bergulat dengan persoalan sama ada ia wujud atau seperti yang ditanya dalam Laporan RCIIIS: “Adakah ia fiksyen atau fakta?” (ms 332 versi BM)

Laporan RCIIIS menyatakan:

“Daripada keterangan, adalah jelas bahawa terdapat dua pihak kepada isu sama ada kononnya ‘Projek IC’ benar-benar wujud.” (ms 342 versi BM)

Di satu pihak, wujud keterangan daripada W201 (Hassnar Ebrahim) yang memberi keterangan dalam petisyen pilihanraya Likas, yang turut dikuatkan oleh lima bekas pegawai JPN yang merupakan bekas tahanan ISA (W11, W12, W13, W14 dan W15; malah sebenarnya ada saksi keenam juga, W10):-

Haji Ramli Kamaruddin (W11) bekas Pengarah JPN Sabah dari 1992 hingga 1995, telah ditahan kerana disyaki terlibat dalam kegiatam haram mengeluarkan kad pengenalan Malaysia bermutu tinggi kepada warga asing atas tujuan politik, supaya mengundi parti Islam tertentu. Beliau yang menurut arahan, turut mengekuarkan resit kad pengenalan sementara kepada warga asing untuk tujuan mengundi ketika pilihanraya.

Kee Dulkifli bin Kee Abdul Jalil (W12), seorang kerani pendaftaran yang bekerja dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Kota Kinabali pada tahun1994, memberitahu RCIIIS berkenaan penglibatannya mengeluarkan 600,000 IC ragu dan 200,000 sijil kelahiran pendaftaran lewat secara tidak sah kepada warga asing beragama Islam dari Filipina dan Indonesia.

Asli bin Sidup (W13), seorang pembantu pegawai pendaftat dan Yakop bin Damsah (W14) ketua pegawai JPN daerah Tamparuli Sabah diarahkan oleh Datuk Abdul Rauf Sani (W15) Pengarah JPN Sabah ketika itu, ke Kuala Lumpur pada tahun 1990 untuk memproses kad pengenalan biru untuk diberikan kepada warga asing di Sabah untuk tujuan-tujuan politik. (Sekitar 40,000 kad pengenalan sedemikian diproses dan ditandatangani oleh empat orang pegawai dalam masa satu bulan, dan dilamina, sebelum dibawa pulang ke Sabah untuk diambil oleh pemegang yang sepatutnya.)

W15 merupakan Pengarah dari tahun 1990 hingga 1992. Beliau mengaku mengarahkan W13 dan W14 untuk melakukan tugas khas di Kuala Lumpur itu, berkait pemprosesan kad pengenalan Malaysia untuk diberikan kepada warga asing supaya mereka dapat didaftarkan ke dalam daftar pemilih, bagi menambah bilangan pengundi Islam di Sabah dan mengalahkan kerajaan negeri Sabah yang dipegang PBS pada waktu itu.

Berikut adalah dapatan RCIIIS:

“Daripada keterangan saksi W11, W12, W13, W14 dan W15, adalah jelas bahawa terdapat usaha rahsia yang melibatkan pegawai kanan di JPN, Sabah, yang jelas bertindak di bawah arahan daripada pegawai atasan politik mereka […] Nama yang disebut oleh beberapa orang saksi di atas termasuk Tan Sri Harris Saleh, Tan Sri Aziz Shamsuddin, Tun Dr Mahathir dan arwah Tan Sri Megat Junid.”

Di satu pihak yang lain pula Mahathir, Harris Salleh dan Aziz Shamsudin (memandangkan Megat Junid telah meninggal dunia) telah menafikan sekeras-kerasnya penglibatan mereka dalam operasi rahsia berkenaan.

Tambahan pula, pegawai Cawangan Khas Datuk Hj Ibrahim bin Hj Zakaria (W33) yang mengetuai Cawangan Khas Sarawak dan DSP Badaruddin bin Islam (W34) yang mewawancara W15 dan W11 ketika dalam tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) mendedahkan bahawa satu-satunya motif operasi tersebut adalah keuntungan wang ringgit.

Malah RCIIIS pun menerima keterangan pegawai-pegawai Cawangan Khas dengan berhati-hati, kerana ia mempersoal profesionalisme malah intgeriti ketiga-tiga pegawai Cawangan Khas tersebut walaupun ia sarat dengan bahasa birokratik dengan pernyataan berikut di dalam laporan RCIIIS

“Pada pandangan kami, apabila testimoni W33, W34 dan W56 diteliti dengan cermat, adalah ketara bahawa soal siasat dan/atau penilaian mereka tentang orang yang disyaki tidak melampaui keperluan untuk menetukan motif kewangan terlibat. Mereka jelas berpuas hati hanya atas dasar bahawa aktiviti tersebut dijalankan bagi faedah kewangan/dalam bentuk wang. Mereka berpandangan bahawa itu adalah mencukupi untuk menjadi ancaman kepada keselamatan negara dan oleh itu tertakluk kepada tangkapan dan tahanan di bawah ISA. Mereka mendapati adalah tidak perlu untuk melampaui motif kewangan dan menentukan sama da terdapat motif lain yang terlibat. Dan jika mereka melampaui motif tersebut, adalah meragukan sama ada orang yang disyaki sebagaimana yang tersebut di atas akan mendedahkan penglibatan rahsia mereka memandangkan sikap berahsia dan niat serta personaliti yang terlibat.”

Adalah tidak masuk akal malah sangat mengarut untuk menolak keseluruhan ‘Projek IC’ sebagai hanya bertujuan mendapatkan keuntungan wang ringgit.

Abdul Rauf (W15) mengeluarkan 6,305 kad pengenalan dan mengumpul RM167,300 manakala Ramli Kamaruddin (W11) mengeluarkan 16,000 resit IC untuk kegunaan mengundi sahaja dan mengumpulkan lebih RM1 juta?

Jumlah purata wang yang bertukar tangan untuk sekeping kad pengenalan hanyalah RM28 bagi kes Abdul Rauf dan Rm62 bagi kes Ramli – jumlah yang wajar diketawakan untuk suatu jenayah yang begitu cela.

Siapalah yang akan percaya bahawa warga asing terpaksa membayar dalang ‘Projek IC’ masing-masing RM28 dan RM62 untuk mengundi Umno dalam pilihanraya Sabah, berbanding sebaliknya?

Pengakuan Ramli menunjukkan betapa merepeknya teori motif kononnya ‘Projek IC’ hanyalah untuk keuntungan wang ringgit.

Ramli memberitahu RCIIIS bahawa beliau telah dipindahkan ke Sabah sebagai Pengarah JPN untuk membantu kerajaan yang akan lebih berasaskan Islam.

Laporan RCIIIS membuat rumusan berikut mengenai keterangan Ramli (ms 59 versi BM):

“Menurutnya, beliau ditugaskan untuk mengenal pasti pengundi Islam dan memujuk mereka untuk mengundi parti Islam tertentu. Beliau berkata bahawa 2 minggu sebelum pilihan raya DUN Sabah pada tahun 1993, beliau bertemu dengan Allahyarham Tan Sri Megat Junid, bekas Timbalan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri. Beliau ditemani oleh rakan sepejabatnya, Encil Asli.

“Mereka telah diarahkan untuk mengeluarkan terimaan JPN seperti JPN1/9 dan JPN 1/11 kepada pendatang tanpa izin supaya nama mereka dapat dimasukkan ke dalam daftar pemilih dalam kawasan hitam atau kelabu tertentu di Sabah. Mereka akan ditunjukka mengenai cara untuk mengundi, dsb. Terimaan itu telah dikeluarkan hanya bagi maksud mengundi dan mereka hendaklah menyerahkannya semula selepas mengundi.

“Mesyuarat yang dikatakan itu telah diadakan di Hotel Hyatt, Kota Kinabalu. Menurut beliau, lebih kurang 200 terimaan telah dikeluarkan dan 5 hingga 10 bahagian pilihanraya DUN yang terlibat.

“Pada masa itu, beliau juga menerima arahan daripada Timbalan Ketua Pengarah JPN untuk mengeluarkan KP dengan nombor pendua kepada pendatang asing tanpa izin supaya mereka boleh mengundi dalam pilihan raya.

“Saksi mengakui bahawa apa yang dilakukannya salah di sisi undang-undang tetapi beliau melakukannya atas arahan Allahyarham Timbalan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri dan Timbalan Ketua Pengarah JPN.”

Siapalah yang akan percaya bahawa warga asing tanpa izin yang terpaksa mengembalikan dokumen palsu selepas mengundi, tepaksa pula membayar agen ‘Projek IC’ dan keseluruhan penipuan ini adalah untuk keuntungan wang ringgit?

Keterangan Abdul Rauf turut sama mengejutkan mengenai aktiviti khianat yang dilakukan dalam pengeluaran dokumen palsu secara pukal untuk warga asing tanpa izin, namun apa yang lebih memeranjatkan ialah pegawai ini bukan sahaja tidak diambil tindakan, tetapi ditatang pula oleh kerajaan dan Umno, apabila beliau kini merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Totalisator Malaysia, yang berada di bawah Kementerian Kewangan.

Wajar disebut juga bahawa RCIIIS memuji Hasnar Ebrahim secara hitam putih bahawa: “Didapati bahawa Hassnar Ebrahim agak konsisten dalam keterangannya. Ini ditunjukkan dalam testimoninya dalam kes Petisyen Pilihan Raya Likas pada tahun 1999; kemudian dalam Jawatankuasa Pilihan Parlimen mengenai Integriti Nasional pada tahun 2006 dan sekarang di hadapan RCI.”

RCIIIS tidak menyebut sepatah pujian pun untuk sikap ketekalan pemimpin politik seperti Mahathir, Harris Salleh dan Aziz Shamsuddin yang telah memberikan keterangan untuk pihak yang sebelah mengenai kisah ‘Projek IC’.

Malah, laporan RCIIIS tidak berhenti di situ apabila ia mendapati lima bekas pegawai JPN itu telah menyokong keterangan masing-masing dalam butir-butir material, mengakui keterlibatan mereka secara kolektif dalam sesetengah perincian, serta membuat tuduhan serius terhadap beberapa tokoh politik yag berpengaruh.

RCIIIS kemudiannya menambah bahawa

“Ini semestinya membangkitkan persoalan tentang mengapa mereka berani untuk berbuat demikian. Apakah motif mereka?”

“Kedua, terdapat keterangan bahawa dalam tahun 1990an, pertumbuhan jumlah penduduk di Sabah meningkat kepada 78% yang merupakan pertambahan yang paling tinggi sejak Sabah menjadi sebahagian daripada Malaysia. Ini boleh dianggar sebagai pengesahan tentang pendirian yang diambil oleh beberapa saksi tentang kenapa terdapat kemasukan pendatang tanpa izin yang begitu ramai ke dalam Sabah pada masa itu. Itu merupakan tempoh apabila keterangan mendedahkan bahawa terdapat bilangan pendatang tanpa izin yang ketara yang diberikan KP Malaysia melalui akuan berkanun bagi tujuan politik.” (ms 346 versi BM)

Adakah wujud ‘Projek IC’?

Ini adalah dapat RCIIIS mengenai ‘Projek IC’: bahawa terdapat kemungkinan besar ia wujud.

“[…] terdapat beberapa kredibiliti dalam keterangan lima saksi yang berkenaan. Walau bagaimanapun, tiada seorang saksi yang tertakluk kepada pemeriksaan balas, sebagaimana yang berlaku dalam sesuatu perbicaraan. Oleh yang demikian dan memandangkan penafian terhadap pengataan tersebut, kami kami hanya dapat membuat kesimpulan bahawa ia adalah lebih cenderung yang ‘Projek IC’ berkenaan wujud sebagaimana yang digambarkan melalui keterangan lima saksi yang disebut terdahulu. Secara ringkas, terdapat kebarangkalian yang Projek sedemikian wujud pada semua masa material.”

Dengan meegaskan bahawa ‘Projek IC’ tidak pernah wujud, Zahid menolak dapatan RCIIIS dalam hal salah satu terma rujukannya yang paling penting – dan dalam hal ini, kehilangan hak untuk menjadi Pengerusi Bersama Jawatankuasa Tetap untuk bertindak ke atas dapatan RCIIIS.

Adakah Zahid akan meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Bersama Jawatankuasa Tetap Laporan RCIIIS?

Lim Kit Siang Ketua Parlimen DAP & Ahli Parlimen Gelang Patah