Najib mesti berhenti daripada menjadi ‘Perdana Menteri ponteng’ dan mengisytiharkan krisis ekonomi negara, bentuk sebuah Majlis Menyelamatkan Ekonomi Nasional yang dianggotai BN dan PR, dan mengadakan sidang Parlimen tergempar.

Sewaktu sessi soal jawab, seorang daripada hadirin bertanya apa yang sepatutnya dilakukan ketika negara berhadapan dengan sedemikian banyak krisis.

Saya akan membuat empat cadangan:

Pertamanya, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mesti berhenti menjadi ‘PM ponteng’.

Kedua, beliau mesti mengisytiharkan bahawa negara sedang dilanda krisis ekonomi untuk menyatukan rakyat Malaysia bagi menumpukan kepada beberapa cabaran ekonomi yang sedang melanda negara, memandangkan Malaysia dianggap titik lemah Asia Tenggara berikutan beberapa kejatuhan pasaran matawang asing dan ekuiti, serentak dengan kejatuhan nilai komoditi dunia, termasuk minyak mentah dan lain-lain.

Ketiga, bentuk sebuah Majlis Menyelamatkan Ekonomi Nasional yang dianggotai BN dan PR.

Keempat, Najib mestilah menjadi Perdana Menteri untuk semua rakyat Malaysia, dan bukan untuk kaum, agama atau daerah tertentu. Justeru beliau mestilah menjauhi politik dan dasar eksklusif dan ekstremis dan menganjurkan politik dan dasar yang inklusif dan moderat, di mana setiap rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum, agama, daerah, gender, umur mahupun parti politik, dapat bersatu atas satu satah bagi menyelamatkan negara daripada krisis ekonomi yang bakal tiba.

Parti-parti Pakatan Rakyat dan pimpinannya bersedia untuk memberi respon positif dalam keadaan kecemasan nasional dan bekerjasama dengan Perdana Menteri dan juga kerajaan Umno-BN demi kepentingan negara, melangkaui kepentingan parti dan individu.

Memandangkan 30% perbelanjaan negara bergantung kepada minyak, kejatuhan harga minyak antarabangsa telah menggoyah aturan belanjawan 2014 dan 2015, berasaskan harga minyak mentah pada kadar US$110 satu tong pada tahun 2014 dan US$105 pada tahun 2015.

Najib patut memanggil sebuah sidang Parlimen tergempar, barangkali sekitar pertengahan atau hujung Januari untuk menangani perkembangan pesat dan kemerosotan situasi ekonomi, dan tidak hanya menunggu sehingga sehingga Parlimen bersidang seperti yang dijadualkan pada 9 Mac.

Majlis Menyelamatkan Ekonomi Nasional bi-partisan antara PR dan BN harus dipertanggungjawabkan untuk membentangkan kepada sidang tergempar tersebut kerangka untuk menyatukan semua rakyat Malaysia bagi berhadapan krisis ekonomi yang bakal melanda negara.

Lim Kit Siang Ketua Parlimen DAP & Ahli Parlimen Gelang Patah