Tindakan Hishammuddin dan Shahidan melanggar janji untuk mengadakan taklimat kepada Ahli-ahli Parlimen PR dan menolak cadangan pembentukan Jawatankuasa Pilihan Parlimen berkenaan Bencana MH370 akan mengukuhkan tanggapan buruk rakyat dan warga dunia tentang ketidaktelusan Malaysia serta kelemahan negara ini dalam menangani krisis MH370

Semua kita – keluarga serta sahabat-handai para penumpang dan anak kapal MH370 Boeing 777-200ER, rakyat Malaysia dan warga seluruh dunia – baru saja mengharung “bulan paling panjang bagi manusia”, iaitu dari 8 Mac hingga 7 April, apabila pesawat yang hilang pada 8 Mac itu gagal ditemui.

Buat kali pertama dalam sejarah, dalam tempoh sebulan penuh – 24 jam sehari, 7 hari seminggu dan 31 hari sebulan – dunia dihantui dan didera oleh persoalan tentang bagaimana di zaman moden ini sebuah pesawat penumpang berteknologi tinggi, bersama-sama 239 penumpang dan anak kapal, boleh lesap tanpa jejak selama lebih sebulan.

Keluarga dan sahabat-handai 239 penumpang dan anak kapal bergelumang dalam duka, namun mereka tidak dapat mula berkabung kerana tidak sanggup untuk berputus-asa dan berhenti mengharapkan keajaiban, memandangkan sehingga kini belum ditemui walaupun secebis sisa pesawat itu untuk membuktikan bahawa ia telah berakhir dalam tragedi.

Pada hari ke-31 kehilangan pesawat MH370 itu, tiga isyarat ping telah dikesan dari perut Lautan Hindi dan dunia berharap isyarat itu datang dari kotak hitam pesawat – menandakan bakal muncul jawapan yang ditunggu-tunggu setelah sekian lama berjalan operasi mencari terbesar dan paling lama di lautan, melibatkan satelit 26 buah negara dan sejumlah pesawat, kapal, kapal selam, dan malah dron laut dalam, namun kemudiannya isyarat ping itu terhenti.

Harapan itu hanya menyala seketika dan padam bahkan sebelum dron laut dalam kepunyaan Amerika Syarikat, iaitu Bluefin-21, dipasang pada kapal Ocean Shield milik Australia untuk menjejak “petunjuk paling menjanjikan” berikutan penerimaan isyarat ping itu. Berita sedih yang kita terima kelmarin: “Kapal Australia gagal mengesan isyarat ping, mungkin kerana bateri kotak hitam MH370 telah habis.”

Perkembangan peristiwa yang menghasilkan pasang-surut emosi ini meningkatkan kesengsaraan keluarga dan rakan-taulan 239 penumpang dan anak kapal, selain rakyat Malaysia dan warga seluruh dunia, yang akal dan emosi mereka telah terperah oleh segala-macam kesilapan, pertentangan maklumat, dan kekeliruan yang timbul sejak hari pertama kehilangan pesawat.

Sikap dan tindakan kerajaan Malaysia yang berubah-ubah semakin menambah sengsara sanak-saudara dan sahabat-handai 239 penumpang dan anak kapal MH370 – terbaru, apabila pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim memungkiri janji untuk mengadakan majlis taklimat kepada Ahli-ahli Parlimen Pakatan Rakyat berkenaan bencana MH370.

Hishammuddin berkali-kali menyebut bahawa bencana MH370 “melampaui politik” dan bahawa kerajaan bersikap telus serta “tidak cuba menyembunyikan sesuatu”.

Beliau juga telah menyebut secara terbuka bahawa beliau akan memberikan taklimat kepada Ahli Parlimen Pakatan Rakyat jika diminta.

Walaupun jaminan telah berkali-kali diberikan oleh Hishammuddin dan Shahidan pula telah berjanji di dalam dan luar Parlimen untuk mengatur majlis taklimat oleh Hishammuddin kepada Ahli Parlimen PR jika ada permintaan rasmi, kedua-dua mereka akhirnya mungkir janji.

Saya telah bertanya kepada Shahidan di Parlimen kelmarin sama ada beliau akan mengotakan janji, namun beliau mengelak dengan memberikan isyarat jari bahawa beliau hanyalah “Menteri kecil” yang tidak mampu mempengaruhi seorang Menteri kanan untuk mengotakan janji.

Selama ini memang saya tidak yakin bahawa Hishammuddin sanggup memberikan taklimat kepada Ahli Parlimen PR berkenaan bencana MH370 dan saya kini tidak terkejut apabila janji itu dimungkiri. Sememangnya menjadi ciri khas kerajaan Najib memungkiri janji untuk mewujudkan tadbir-urus yang telus dan baik.

Saya juga agak ragu ketika Hishammuddin memberikan jaminan kepada Parlimen pada 25 Mac lalu, sewaktu penggulungan usul khas yang dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk meratapi nasib penumpang dan anak kapal MH370, bahawa beliau akan mengemukakan kepada Jemaah Menteri cadangan Ahli-ahli Parlimen agar ditubuhkan Jawatankuasa Khas Parlimen serta Suruhanjaya Siasatan Diraja berkenaan tragedi MH370.

Kerana itulah apabila pada hari Sabtu lalu Hishammuddin mengumumkan bahawa sebuah pasukan penyiasat dan jawatankuasa melibatkan tiga kementerian akan ditubuhkan bagi menyiasat kehilangan pesawat MH370 – dari segi keadaan pesawat, faktor operasi, perubatan, serta faktor manusia – saya memberi respons segera dengan bertanya sama ada Hishammuddin telah mengenepikan cadangan pembentukan Jawatankuasa Pilihan Parlimen dan Suruhanjaya Siasatan Diraja berkenaan tragedi MH370.

Banyak orang menganggap pengumuman Hishammuddin tentang penubuhan pasukan penyiasat dan jawatankuasa tiga kementerian itu, tanpa Jawatankuasa Pilihan Parlimen berkenaan tragedi MH370, adalah tindakan untuk mengelak dari memikul tanggungjawab di Parlimen.

Ruang lingkup Jawatankuasa Pilihan Parlimen berkenaan MH370 adalah lebih luas dan menyeluruh daripada Pasukan Penyiasat memandangkan Jawatankuasa Pilihan Parlimen boleh menyiasat perkara-perkara lain melampaui soal keadaan pesawat MH370 Boeing 777-200, aspek operasi pesawat, serta aspek psikologikal dan patologikal 239 penumpang dan anak kapal berkenaan. Ruang lingkup siasatan Jawatankuasa Pilihan Parlimen merangkumi persoalan “apa, bagaimana dan mengapa” pesawat itu hilang pada 8 Mac.

Jawatankuasa Pilihan Parlimen berkenaan MH370 juga perlu menyiasat segala peristiwa berkaitan yang berlaku setelah pesawat hilang, iaitu perkara-perkara yang telah mencetuskan seribu satu persoalan, kontroversi, kekeliruan, teori konspirasi dan, paling penting, memberi mesej jelas kepada rakyat Malaysia dan warga dunia bahawa Malaysia tidak cuba menyembunyikan sesuatu dari pengetahuan dunia.

Penubuhan Jawatankuasa Pilihan Parlimen juga akan memulihkan keyakinan rakyat dan warga dunia terhadap negara ini yang telah tercalar teruk sejak berlakunya tragedi MH370.

Antara persoalan yang perlu disiasat oleh Jawatankuasa Pilihan Parlimen adalah:

- Sama ada kehilangan pesawat MH370 boleh dielakkan jika pengawal lalu-lintas udara Malaysia dan pengendali radar Tentera Udara Diraja Malaysia lebih awas dan bertindak segera ketika pesawat Boeing 777-200 berkenaan lenyap pada pagi 8 Mac dan operasi mencari dan menyelamat dilancarkan segera.

- Sama ada tempoh seminggu telah dibazirkan mencari MH370 di Laut Cina Selatan sebelum berpindah ke wilayah timur dan barat, beralih dari Selat Melaka, Laut Andaman, Laut Hindi, Koridor Utara dan Selatan, dan akhirnya beralih ke selatan Laut Hindi;

- Sama ada tempoh tiga hari telah dibazirkan untuk mencari MH370 di kawasan yang salah di Lautan Hindi disebabkan kelemahan penyelarasan antara negara-negara yang terlibat dalam usaha mencari pesawat itu.

Selain itu, berikutan bencana MH370, Hishammuddin memperkatakan tentang keperluan untuk mengukuhkan aset ketenteraan dan menyemak semula sektor penerbangan sivil – dua perkara yang akan melibatkan peruntukan dana yang amat besar.

Oleh itu, adalah wajar jika Jawatankuasa Pilihan Parlimen yang meneliti soal penambahan peruntukan untuk meningkatkan aset tentera dan kecekapan sistem penerbangan sivil dan seterusnya mengemukakan saranan kepada Parlimen, kerajaan dan negara.

Perdana Menteri dan Jemaah Menteri perlu menilai semula secara serius keengganan mereka untuk membentuk Jawatankuasa Pilihan Parlimen berkenaan MH370 memandangkan Malaysia perlu membuktikan kepada dunia bahawa ia tidak cuba menyembunyikan sesuatu berkenaan bencana itu dan cara ia menangani krisis.

Lim Kit Siang Ketua Parlimen DAP & Ahli Parlimen Gelang Patah