Pendedahan baru berkenaan slogan 'Endless Possibilities' Najib - negara yang mempunyai nisbah kakitangan awam-penduduk antara tertinggi di dunia ini semakin bergantung pada perunding asing

Sebuah jawapan parlimen telah mendedahkan satu perkara baru berkenaan hala-tuju negara ini yang dipimpin oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib dengan slogan "Endless Possibilities".

Jumlah kakitangan awam di Malaysia adalah antara yang tertinggi di dunia, iaitu sebanyak 1.4 juta orang atau 10 peratus daripada jumlah keseluruhan tenaga kerja dalam negara.

Pada tahun 2009, nisbah kakitangan awam-penduduk di Malaysia adalah yang tertinggi di Asia-Pasifik. Nisbah ketika itu ialah sebanyak 4.68 peratus berbanding 1.4 peratus bagi Singapura, 1.79 peratus bagi Indonesia, 1.85 peratus bagi Korea Selatan dan 2.06 peratus bagi Thailand - nisbah bagi semua negara ini kurang dari separuh nisbah kita.

Anehnya, walaupun mempunyai nisbah kakitangan awam-penduduk antara yang tertinggi di dunia, Malaysia semakin bergantung pada perunding asing walaupun hanya untuk merangka dokumen dan pelan induk negara.

Baru-baru ini negara ini dikejutkan dengan pendedahan tentang perbelanjaan RM20 juta oleh kerajaan untuk membayar perunding antarabangsa McKinsey and Co bagi merangka Pelan Induk Pendidikan Kebangsaan sedangkan di masa lalu semua rancangan negara, pelan induk, dan dokumen rasmi disediakan oleh pakar-pakar tempatan.

Berikutan itu, saya telah meminta Perdana Menteri untuk menyenaraikan "semua laporan, pelan induk, atau dokumen rasmi yang ditugaskan penyediaannya oleh kerajaan kepada perunding asing sepanjang 10 tahun lalu seperti mana Pelan Induk Pendidikan yang ditugaskan penyiapannya kepada McKinsey & Co., selain untuk mendedahkan identiti perunding asing terbabit dan kos bagi setiap tugasan."

Dalam jawapan bertulis, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim gagal memberikan respons memuaskan, termasuk judul laporan dan nama perunding yang terbabit, serta kos bagi setiap laporan. Menteri berkenaan memberikan jawapan umum tentang kos yang ditanggung oleh Jabatan Perdana Menteri dalam menugaskan perunding asing untuk menyediakan beberapa laporan dan pelan induk kebangsaan dari tahun 2008 hingga 2013, iaitu:

2008 - RM 3,313,121.00

2009 - RM17,751,570.00

2010 - RM20,134,063.00

2011 - RM71,904,227.45

2012 - RM84,535,849.77 2013 - RM18,349,135.80

Jawapan itu menimbulkan beberapa lagi persoalan, termasuk perkara apa yang ingin disembunyikan oleh kerajaan Najib apabila ia tidak menjawab soalan yang amat jelas, iaitu apakah judul "semua laporan, pelan induk, atau dokumen rasmi yang ditugaskan penyediaannya oleh kerajaan kepada perunding asing sepanjang 10 tahun lalu" dan "nama perunding yang terbabit, serta kos bagi setiap laporan."

Sejak lima tahun lalu, RM212.5 juta telah dibelanjakan untuk perunding asing menyediakan laporan, rancangan induk dan dokumen rasmi. Ini suatu yang jarang sekali dilakukan oleh lima Perdana Menteri sebelum ini.

Nampaknya dalam tempoh 52 tahun di bawah pentadbiran lima Perdana Menteri terdahulu, kita lebih meyakini kemampuan rakyat Malaysia berbanding orang asing atau perunding asing untuk memikirkan dan merancang masa depan negara ini, sama ada dalam bidang ekonomi atau pendidikan, kerana amat jarang sekali perunding asing dilibatkan dalam penyediaan rancangan induk negara.

Apakah ini antara makna penting bagi "Pelan Transformasi Kerajaan" Najib?

Persoalan lebih penting, mengapa kerajaan Najib enggan mendedahkan judul semua laporan, pelan induk, atau dokumen rasmi yang telah ditugaskan penyediaannya oleh Jabatan Perdana Menteri kepada perunding asing serta nama firma-firma perunding yang terbabit, selain kos bagi setiap tugasan?

Saya menyeru Shahidan agar tidak mengambil tindakan yang berlawanan dengan semangat berparlimen dengan mengelak daripada menjawab soalan saya. Beliau harus menyenaraikan judul semua laporan, rancangan induk, atau dokumen rasmi yang telah ditugaskan penyediaannya kepada perunding asing, selain nama firma perunding terbabit dan kos bagi setiap tugasan.

Lim Kit Siang Ketua Parlimen DAP & Ahli Parlimen Gelang Patah