Biar Kertas Putih berkenaan Laporan Ketua Audit Negara 2012 menjelaskan ke mana lesapnya aset polis bernilai RM1.33 juta

Selepas seminggu kandungan Laporan Ketua Audit Negara hangat diperkatakan, termasuk kenyataan tidak munasabah oleh Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar dan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi tentang senjata api yang hilang "kerana terjatuh ke dalam laut," rakyat Malaysia masih tidak mendapat penjelasan yang baik tentang ke mana lesapnya aset polis bernilai RM1.33 juta ringgit, termasuk 44 pucuk senjata api, 156 pasang gari, dan 29 buah kenderaan antara tahun 2010 hingga 2012 seperti yang telah didedahkan oleh Laporan Ketua Audit Negara 2012 - termasuk sama ada benar dan sebanyak aset polis terbabit telah "terjatuh ke dalam laut"!

Kelmarin, laman web The Malaysian Insider menerbitkan berita berjudul "One down, 43 to go. One of my men reported his gun was stolen, says police task force director", memetik kata-kata pengarah Pasukan Tugas Khas (Operasi dan Anti Keganasan) Persekutuan Datuk Seri Mohamad Fuzi Harun yang menjelaskan bahawa satu daripada 44 pucuk senjata api yang hilang itu telah diragut oleh seorang peragut daripada seorang anggota polis.

Kalau benar begitu, persoalan yang pertama sekali timbul ialah mengapa anggota polis terbabit mengambil masa lebih setahun untuk melaporkan bahawa senjata apinya telah dicuri oleh seorang peragut!

Memandangkan sebuah jawatankuasa peringkat tinggi telah dibentuk, diketuai oleh Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa dan dianggotai oleh Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam, Peguam Negara dan wakil daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Kementerian Kewangan, dan Polis Diraja Malaysia, untuk meneliti Laporan Ketua Audit Negara 2012, sebaik-baiknya Datuk Seri Najib Razak membentangkan Kertas Putih kepada Parlimen pada 21 Oktober untuk menjelaskan kepada rakyat Malaysia ke mana lesapnya aset bernilai RM1.33 juta itu, termasuk 44 pucuk senjata api, berasaskan penemuan awal Jawatankuasa Peneliti.

Kertas Putih Najib itu juga perlu memberi penjelasan terkini kepada rakyat Malaysia tentang sekian banyak "kisah ngeri" korupsi, pembaziran, penyalahgunaan kuasa dan kecuaian yang didedahkan oleh Laporan Ketua Audit Negara 2012, antaranya:

  • Penubuhan Sayap Udara Polis secara tidak berhemah dan menelan belanja RM175 juta, dilengkapkan dengan lima pesawat Beechcraft King Air 350;
  • Perbelanjaan sebanyak RM1.6 juta oleh Kementerian Belia dan Sukan untuk membawa kumpulan pop Korea Selatan ke Malaysia bagi perayaan Hari Belia Kebangsaan tahun lalu, sedangkan sebelum ini dakwaan dibuat mengatakan bahawa kos untuk membawa kumpulan tersebut ditanggung oleh penaja;
  • Kegagalan Jabatan Kerja Raya untuk mendapatkan semula wang sebanyak RM15.77 juta dalam bentuk bon prestasi walaupun 21 projek kerajaan telah ditamatkan;
  • Pembinaan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin Melaka di atas tanah persendirian yang menyebabkan pampasan sebanyak RM10.8 juta terpaksa dibayar kepada pemilik tanah;
  • Tuntutan perjalanan berjumlah RM303,813 oleh pegawai kanan Kementerian Komunikasi dan Kebudayaan untuk lawatan empat hari ke Geneva yang dianggarkan oleh juru audit bernilai hanya RM50,000;
  • Pembaziran sebanyak RM199 juta untuk pembinaan empat jentera pembakar oleh Jabatan Pengurusan Sisa Pejal Negara, memandangkan tiada kepakaran untuk mengendalikan jentera pembakar sedemikian sebaik saja selesai pembinaannya.
  • Pembayaran terlebih oleh kerajaan kepada TM sebanyak RM11.6 juta untuk talian kecemasan 999; dan
  • Salah kendali dana sebanyak RM2.051 bilion untuk membayar kontraktor keselamatan untuk sekolah antara tahun 2010 dan 2012 �C berikutan kontrak yang tidak disediakan dengan cermat dan juga pengambilan pengawal keselamatan yang telah lanjut usia.

Jika Najib gagal membentangkan Kertas Putih ketika Parlimen bersidang semula pada 21 Oktober nanti untuk memberikan maklumat terkini tentang tindakan kerajaan terhadap Laporan Ketua Audit Negara 2012, maka Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan tersebut perlu menjelaskan kepada Parlimen tujuan dan manfaat pembentukan Jawatankuasa Peneliti Laporan Ketua Audit Negara 2012 di peringkat tinggi itu yang diketuai oleh Ketua Setiausaha Negara.

Lim Kit Siang Ketua Parlimen DAP & Ahli Parlimen Gelang Patah