Pengajaran daripada kes Zacharevic untuk pihak berkuasa - semakin besar tekanan diberikan oleh pihak berkuasa tanpa sebab yang munasabah, semakin panas reaksi orang ramai

Keratan gambar grafiti "jenayah tinggi" oleh seniman jalanan kelahiran Lithuania Ernest Zacharevic kini bukan saja boleh dilihat di Johor Baru malah juga di beberapa tempat lain dalam negara ini.

Menurut laporan, keratan berkenaan mula muncul di Kuala Lumpur dan Rawang dan tidak lama lagi ia tentu boleh dilihat di seluruh negara.

Ini pengajaran buat semua pihak berkuasa - semakin besar tekanan diberikan oleh pihak berkuasa tanpa sebab yang munasabah, semakin panas reaksi orang ramai.

Zacharevic boleh berterimakasih kepada beberapa pihak berkuasa, khususnya Majlis Bandaraya Johor Baru dan Kerajaan Negeri Johor kerana berkat tindakan mereka ke atas mural "jenayah tinggi" beliau di JB, namanya masyhur bukan hanya di JB, Johor, dan Malaysia, malah juga di peringkat dunia dalam zaman maklumat yang memungkinkan sesuatu berita disebarkan dengan cepat dalam dunia tanpa batas.

MBJB telah memadamkan mural "jenayah tinggi" Zacharevic yang dilukis pada tembok sebuah kedai usang di Taman Molek dan tindakan itu membolehkan Zacharevic mencapai sesuatu yang mungkin tidak mampu dicapainya tanpa bantuan MBJB - memasyhurkan mural "jenayah tinggi" itu bukan saja di kalangan penduduk Johor Baru, malah juga di luar JB dan Malaysia dalam dunia maklumat tanpa sempadan dan tindakan itu juga telah membantu penduduk Johor Baru mengungkapkan keinginan mereka agar reputasi JB sebagai pusat jenayah Malaysia dihapuskan, suapaya bandar itu menjadi bandar selamat bagi para penduduknya, pelawat dan pelabur.

Kontroversi Zacharevic berkaitan dengan dua isu berkembar yang asasi, iaitu hak untuk hidup dalam suasana selamat serta hak untuk bersuara secara bebas.

Tetapi kesan segera yang ingin dilihat oleh rakyat JB, Johor, dan Malaysia masih belum kelihatan, iaitu tekad dan komitmen baru semua pihak berwajib di JB, termasuk majlis bandaraya, Kerajaan Negeri, dan polis untuk menggembeleng warga JB dalam sebuah insiatif yang berkesan untuk menjadikan JB sebagai sebuah bandaraya rendah jenayah.

Bilakah kempen untuk memadamkan reputasi JB sebagai pusat jenayah Malaysia akan bermula?

Itu adalah satu-satunya respons yang benar-benar bermakna terhadap mural "jenayah tinggi" di JB!

Lim Kit Siang Ketua Parlimen DAP & Ahli Parlimen Gelang Patah