Malaysia perlu memanggil mesyuarat khas Menteri Alam Sekitar Indonesia, Singapura, dan Malaysia untuk menangani jerebu yang melanda ketiga-tiga negara

Malaysia perlu memanggil mesyuarat khas Menteri Alam Sekitar Indonesia, Singapura, dan Malaysia untuk membincangkan langkah segera ASEAN bagi menangani masalah jerebu yang melanda ketiga-tiga negara ini.

Jerebu di Johor, khususnya di Johor Baru, berada di peringkat mencemaskan dengan bacaan aras pencemaran udara (API) di Kota Tinggi dan Pasir Gudang masing-masing mencecah 314 dan 323 pada jam 11 pagi ini.

Rakyat Malaysia masih ingat mereka diberitahu bahawa kerajaan akan mengisytiharkan darurat jika API mencecah 301, tetapi nampaknya tidak ada keseriusan sama ada di pihak Jawatankuasa Pengurusan Bantuan Bencana Alam atau di pihak Kementerian Alam Sekitar dalam menangani jerebu sekarang walaupun ratusan buah sekolah telah ditutup sejak beberapa hari lalu disebabkan jerebu.

Dalam menangani keadaan cemas akibat jerebu ini, siapa sebenarnya menteri yang bertanggungjawab? Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang baru, yang bertanggungjawab atas Jawatankuasa Pengurusan Bantuan Bencana Alam, atau Menteri Alam Sekitar? Datuk Shahidan Kassim atau Datuk Seri G. Palanivel?

Tiada siapa tahu kerana kedua-dua menteri berkenaan membisu seribu bahasa, seolah-olah jerebu yang menyumbat pernafasan penduduk Johor bukan masalah mereka!

Masa telah tiba untuk kedua-dua menteri bersuara, bukan setakat untuk memaklumkan kepada rakyat Malaysia tentang rancangan mereka untuk menangani masalah mutu udara di Johor khususnya, tetapi juga untuk memaklumkan langkah bersama akan akan mereka ambil bersama kerajaan Indonesia dan Singapura untuk mengawal dan mengakhiri kebakaran gambut dan hutan di daerah Riau, Sumatera tengah, termasuk untuk mendedahkan identiti syarikat-syarikat berasal dari Malaysia yang terbabit dalam kegiatan pembakaran terbuka demi keuntungan segera sehingga menjejaskan kesihatan dan persekitaran para penduduk di ketiga-tiga buah negara terbabit.

Lim Kit Siang Ketua Parlimen DAP & Ahli Parlimen Gelang Patah