Pengerusi, Timbalan Pengerusi dan lima lagi anggota SPR perlu meletakkan jawatan kerana gagal mendapat kepercayaan awam

Pengerusi Suruhanjaya Piihan Raya Tan Sri Abdul Aziz bin Mohd Yusof, Timbalan Pengerusi Datuk Wan Ahmad bin Wan Omar dan lima Pesuruhjaya yang lain perlu meletakkan jawatan mereka kerana gagal mendapat kepercayaan awam apabila mereka gagal menjalankan pilihan raya yang bebas, adil, dan bersih, sedangkan menurut perlembagaan kedudukan mereka tergantung pada faktor kepercayaan orang ramai.

Perkara 114 Perlembagaan Persekutuan menyebut bahawa Suruhanjaya Pilihan Raya dilantik oleh Yang di Pertuan Agong setelah berunding dengan Majlis Raja-raja dan pada melantik anggota Suruhanjaya Pilihan Raya, Yang di Pertuan Agong perlu memberi perhatian terhadap ˇ°peri mustahaknya suatu Suruhanjaya Pilihan Raya yang mendapat kepercayaan awam.ˇ±

Selepas PRU13, kontroversi tentang pengurusan pilihan raya muncul kerana kegagalan Suruhanjaya Pilihan Raya untuk melaksanakan mandat yang diperuntukkan oleh Perkara 113 Perlembagaan untuk ˇ°menjalankan pilihan rayaˇ± dalam PRU13. Sejak tahun 70-an lagi saya telah menghujahkan bahawa peruntukan ini secara tersirat memberi maksud ˇ°pilihan raya yang bersih, bebas dan adil.ˇ±

Di sudut inilah Suruhanjaya Pilihan Raya telah gagal, termasuk apabila ia menggunakan ˇ°dakwat kekalˇ± yang tidak kekal; mengeluarkan daftar pemilih yang diragui, tidak bersih dan tidak komprehensif; membiarkan kempen pilihan raya dicemari oleh kesalahan-kesalahan pilihan raya dan perbuatan-perbuatan korup yang paling mencemarkan dalam sejarah negara, khususnya dalam minggu terakhir kempen pilihan raya di Pulau Pinang apabila penduduk negeri itu tidak perlu memasak sepanjang minggu yang dipenuhi dengan pesta makan percuma, minum percuma, hiburan percuma, cabutan bertuah percuma yang melibatkan hadiah-hadiah yang mahal, semuanya dengan tujuan menjatuhkan kerajaan Pakatan Rakyat di Pulau Pinang; dan membiarkan media cetak yang membuat laporan-laporan sepihak yang memburuk-burukkan Pakatan Rakyat, selain menyalahgunakan media, jentera dan wang kerajaan!

Buat pertama kali dalam sejarah 56 tahun negara ini, Suruhanjaya Pilihan Raya telah menjalankan pilihan raya umum yang keputusannya telah membawa kepada pelantikan seorang Perdana Menteri yang legitimasinya dipertikaikan dengan hebat, seperti yang dapat dilihat menerusi perhimpunan-perhimpunan Black 505 yang dianjurkan di seluruh negara sejak selesai PRU 13 hingga sekarang, iaitu setelah sekitar tujuh minggu.

Tidak dapat disangkal lagi reputasi Suruhanjaya Pilihan Raya selepas PRU 13 telah tercemar dan bahawa anggota-anggotanya, dipimpin oleh Pengerusi dan Timbalan Pengerusi, telah gagal mendapatkan kepercayaan awam untuk membenarkan mereka terus berada di kedudukan sekarang.

Abdul Aziz, Wan Ahmad, dan lima Pesuruhjaya yang lain seharusnya dengan rendah hati dan sikap patriotik mengemukakan surat peletakan jawatan untuk membolehkan negara ini mula merombak sistem pilihan rayanya, agar rakyat Malaysia boleh berbangga di mata dunia apabila memiliki sistem pilihan raya yang boleh dijadikan contoh bagi negara-negara lain dalam memastikan pilihan raya yang bersih, bebas dan adil.

Pada masa kini, Suruhanjaya Pilihan Raya mempunyai tiga kewajipan menurut Perlembagaan, iaitu, pertama, menjalankan pilihan raya; kedua, menyediakan daftar pemilih menerusi pendaftaran pengundi; dan ketiga, melakukan persempadanan kawasan pilihan raya.

Dengan membahagi-bahagikan semua tugas ini kepada tiga badan yang berlainan, seperti yang dilakukan di negara-negara lain, kepercayaan awam terhadap pengurusan pilihan raya di negara ini dapat dipulihkan.

Berikan kepada kita sebuah Suruhanjaya Pilihan Raya yang satu-satunya tugasnya ialah untuk menjalankan pilihan raya yang bersih, bebas, dan adil, dengan segala kuasa yang diperlukannya untuk memastikan semua ciri-ciri tersebut dipenuhi, termasuk mendakwa pihak yang melakukan kesalahan pilihan raya atau bahkan menggantung pilihan raya yang tidak memenuhi ciri-ciri pilihan raya yang baik.

Dua fungsi selebihnya, iaitu mendaftar pengundi dan menyediakan daftar pengundi serta melakukan persempadanan kawasan pilihan raya, boleh dijalankan oleh dua agensi berlainan menerusi proses yang saksama, cekap, boleh dipertanggungjawabkan dan telus.

Lim Kit Siang Ketua Parlimen DAP & Ahli Parlimen Gelang Patah