Rakyat Malaysia mahukan budaya ��toleransi sifar terhadap jenayah�� di semua peringkat kerajaan

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak telah mengisytiharkan perang terhadap jenayah tiga hari lalu. Tindakan ini empat tahun terlewat dan ia hanya mengesahkan lagi natijah PRU13 pada 5 Mei yang lalu yang mempamerkan rasa tidak puas hati dan rasa tidak senang pengundi terhadap kegagalan Najib dalam menangani masalah jenayah dan menanggapi ketakutan orang ramai selama beliau memegang jawatan Perdana Menteri dalam tempoh empat tahun sebelum pilihan raya.

Tiada guna Barisan Nasional dan pihak atasan polis mendakwa kadar jenayah telah turun berikutan Program Transformasi Kerajaan sedangkan dalam tempoh empat tahun yang lalu rakyat Malaysia dihantui dan diburu kebimbangan akan berlakunya jenayah.

Orang awam tidak merasa yakin dengan statistik pihak polis yang menyebut bahawa kadar jenayah telah turun kerana banyak rakyat Malaysia yang mengelak daripada membuat laporan polis walaupun mereka menjadi mangsa jenayah berikutan kesukaran yang perlu mereka lalui untuk membuat laporan, selain kerana merasa sia-sia membuat laporan polis.

Akibatnya, rakyat Malaysia merasa yakin bahawa kadar jenayah dan kebimbangan orang ramai telah meningkat dengan tinggi sejak beberapa tahun yang lalu.

Ikrar memerangi jenayah Najib telah dicemari oleh beberapa jenayah yang baru-baru ini dilakukan secara terang-terangan.

Di Taman Taynton View, Cheras, beberapa penjenayah telah bertindak merompak pelanggan dan pemilik sebuah restoran makanan laut, melarikan diri dengan RM4,000 dari laci tunai dan RM16,000 dalam bentuk wang tunai dan barangan berharga milik pelanggan restoran berkenaan.

Kereta dua wanita telah dirompak di Petaling Jaya dan salah seorang daripada mereka bernasib baik berjaya mengelak daripada dirogol. Di Kelantan sekali pun orang ramai merasa tidak selamat akibat peningkatan kejadian jenayah.

Rakyat Malaysia mahukan budaya ��toleransi sifar terhadap jenayah�� di semua peringkat kerajaan, bukannya ikrar ��perang menentang jenayah�� yang kosong, Ketua Polis yang paling ��politikal�� atau Menteri Dalam Negeri yang paling ��politikal��.

Persoalannya, apakah Perdana Menteri, Menteri Dalam Negeri, dan Ketua Polis Negara mampu mengungkapkan secara jelas kepada orang ramai dan penjenayah sikap ��toleransi sifar terhadap jenayah,�� memandangkan ini adalah langkah pertama untuk memenangi perang terhadap jenayah dan membendung kebimbangan orang ramai terhadap kejadian jenayah.

Lim Kit Siang Ketua Parlimen DAP & Ahli Parlimen Gelang Patah