Serangan berterusan Mahathir dan Utusan terhadap kaum Cina akan menjejaskan kedudukan Najib sebagai Perdana Menteri untuk semua rakyat Malaysia

Sebelum dan selepas Pilihan Raya Umum ke-13 pada 5 Mei, bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad dan lidah rasmi Umno Utusan Malaysia telah membuktikan diri mereka sebagai suara paling rasis dan paling tidak bersemangat keMalaysiaan di negara ini apabila mereka bersandar pada pembohongan untuk melaga-lagakan kaum Melayu dengan Cina.

Dalam tulisan terbaru dalam blog beliau, Mahathir menuduh kaum Cina di Malaysia cuba untuk menghapuskan kuasa politik Melayu dan menguasai politik Malaysia dalam PRU13. Kenyataan itu boleh dianggap sebagai salah satu kenyataan paling tidak bertanggungjawab, sembarangan, dan tidak berasas sepanjang kerjaya politik beliau yang panjang 每 sama teruk dengan tuduhan yang beliau lemparkan terhadap saya sewaktu PRU13, iaitu bahawa saya bertanding di Gelang Patah untuk menimbulkan ※ketegangan kaum§ dan bahawa saya mengapi-apikan kaum Cina untuk membenci Melayu.

Tiada kebenaran walau sebesar biji sawi pada dakwaan bekas Perdana Menteri itu dan sejauh ini beliau tidak mengemukakan sebarang bukti untuk menyokong dakwaan beliau yang sembarangan itu.

Beliau misalnya belum mengemukakan sebarang bukti untuk menyokong dakwaan beliau bahawa saya telah mengapi-apikan kaum Cina di Gelang Patah untuk membenci Melayu, sedangkan dalam semua ucapan saya di Gelang Patah dan di tempat lain sepanjang PRU13, saya telah menggesa semua warga Malaysia tanpa mengira kaum, agama, atau negeri, untuk bersatu mengejar Impian Malaysia ke arah membina sebuah Malaysia yang saksama, bebas, demokratik, bersih, makmur dan berdaya-saing.

Pada mulanya saya amat khuatir memikirkan kesan buruk yang mungkin timbul daripada pembohongan-pembohongan yang dituturkan Mahathir terhadap Melayu di Gelang Patah dan Malaysia secara umum.

Tetapi saya kemudiannya merasa gembira dan harapan saya tentang masa depan Malaysia semakin meningkat kerana saya dapati pembohongan Mahathir tidak mendapat sambutan hatta di kalangan Melayu 每 ke mana saja saya pergi selepas PRU13, kaum Melayu tanpa mengira latar belakang dan usia telah tampil untuk menyampaikan ucapan tahniah atas kejayaan saya di Gelang Patah.

Jelas, kaum Melayu bukan sekadar meninggalkan Umno, malah yang lebih jauh mereka tinggalkan ialah Mahathir 每 menunjukkan bahawa pengaruh bekas Perdana Menteri itu semakin merosot.

Mungkin kerana inilah Mahathir kedengaran dari hari ke hari semakin terdesak dengan mengeluarkan lebih banyak kenyataan perkauman yang sembarangan dan tidak bertanggungjawab.

Mahathir dan Utusan perlu menghentikan serangan mereka terhadap kaum Cina, jika tidak kedudukan Najib sebagai Perdana Menteri untuk semua rakyat Malaysia akan terjejas sama sekali.

Andai ahli politik Cina atau akhbar Cina yang menyerang kaum Melayu 每 tidak perlu banyak, cukup 10 peratus saja daripada jumlah serangan Mahathir dan Utusan terhadap kaum Cina sepanjang beberapa bulan ini 每 nescaya ahli-ahli politik Cina terbabit telah didakwa di mahkamah dan dipenjarakan atas tuduhan menghasut dan akhbar-akhbar Cina yang terbabit pula tentu telah ditutup tanpa banyak bicara.

Maka, mengapa Mahathir dan Utusan diberi layanan istimewa, kekebalan dan pengecualian?

Kenyataannya, Mahathir sedang menguji Najib untuk melihat sama ada Najib akan bersikap lebih tegas sebagai Perdana Menteri selepas PRU13 dan menjadi pemimpin yang benar-benar akan melaksanakan dasar 1Malaysia beliau, atau sama ada beliau akan menjadi Perdana Menteri yang lebih lemah dan kurang berkesan dengan adanya Mahathir dan Utusan Malaysia yang setiap hari menjejaskan dan memusnahkan dasar 1Malaysia dengan kenyataan-kenyataan perkauman mereka yang tidak bertanggungjawab, sembarangan dan tidak berasas.

Lim Kit Siang Ketua Parlimen DAP & Ahli Parlimen Gelang Patah