Mahathir sepatutnya menjadi model untuk rakyat Malaysia dan bukannya seorang rasis kebanyakan di senja usianya

Mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad telah mengejutkan dan memeranjatkan banyak rakyat Malaysia dengan kelakuannya sewaktu dan selepas PRU13 apabila beliau tampil sebagai salah satu suara paling ekstrem dan rasis di negara ini.

Di usianya yang senja, Mahathir seharusnya menjadi contoh bagi rakyat Malaysia dan bukannya menjadi rasis kebanyakan yang cuba untuk melaga-lagakan kaum Melayu dengan Cina.

Sejurus selepas keputusan pilihan raya umum 5 Mei diumumkan, Perdana Menteri Daruk Seri Najib Razak bercakap tentang keperluan terhadap suatu program ��perdamaian kebangsaan��, namun jika dijalankan kajian dan penyiasatan bebas ke atas ucapan-ucapan dan kenyataan-kenyataan yang dibuat sewaktu dan selepas PRU13, saya tidak sangsi bahawa kajian tersebut akan mendapati semua ucapan rasis dan cauvinis yang mengapikan-apikan ke arah ketegangan kaum dan kebencian lahir daripada pihak Umno/Barisan Nasional, sama ada daripada para pemimpin Umno/BN atau daripada lidah rasmi dan tidak rasmi mereka, termasuk Mahathir sendiri.

Jika semua kenyataan rasis dan cauvinistik yang cuba menimbulkan rasa curiga dan perbalahan, sama ada sewaktu atau selepas PRU13, lahir daripada pihak Umno/BN, apakah patut untuk para pemimpin Umno/BN menyalahkan Pakatan Rakyat jika hubungan kaum semakin buruk?

Dalam pilihan raya umum tahun 1999, para pengundi Cina telah menyelamatkan Mahathir dan Umno daripada Barisan Alternatif yang terdiri daripada DAP, Parti Keadilan, Parti Rakyat Malaysia, dan PAS, sewaktu Anwar telah dipecat daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan serta dipenjarakan dalam penjara Sungai Buloh.

Mengapa ketika itu Mahathir tidak menuduh pengundi Cina cuba menghapuskan kuasa politik Melayu dan menguasai politik Malaysia?

Mahathir seharusnya berhenti daripada menjejaskan Wawasan 2020 dan konsep Bangsa Malaysia yang beliau sendiri perkenalkan dalam tempoh 13 tahun terakhirnya sebagai Perdana Menteri, iaitu di antara tahun 1991 hingga 2003, dan beliau seharusnya menjadi model bagi rakyat Malaysia jika beliau benar-benar jujur dan serius tentang Wawasan 2020 dan konsep Bangsa Malaysia.

Saya menggesa Mahathir untuk mengutamakan kepentingan negara dan rakyat Malaysia mengatasi kepentingan dan pertimbangan peribadinya.

Lim Kit Siang Ketua Parlimen DAP & Ahli Parlimen Gelang Patah