Mahathir cuba menjadi Raja Canute cuba membangkitkan ketegangan perkauman sedangkan gelombang semasa sedang menuju ke penghujung politik perkauman

Mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sedang cuba menjadi seperti Raja Canute yang seribu tahun lalu cuba menyekat kebangkitan gelombang sepertimana beliau sekarang cuba menyekat gelombang baru dalam politik Malaysia selepas Pilihan Raya Umum ke-13, iaitu gelombang peningkatan sokongan rakyat Malaysia berbilang kaum terhadap politik anti-perkauman, pembanterasan rasuah, dan salah guna kuasa, menuju kepada politik Impian Bangsa Malaysia yang menolak perkauman, korupsi dan kronisme.

Mahathir menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun dan beliau telah melahirkan Wawasan 2020 dan gagasan Bangsa Malaysia, kerana itu kita merasa terkejut menyaksikan beliau beralih kembali kepada unsur perkauman sewaktu dan selepas Pilihan Raya Umum ke-13 untuk menimbulkan ketegangan kaum.

Kenyataan rasis terbaru beliau yang menyebut bahawa PRU 13 adalah bukti kaum Cina di Malaysia sedang cuba untuk menghapuskan kuasa politik Melayu dan mendominasi politik Malaysia amat mengejutkan kita. Kenyataan ini menunjukkan kecuaian dan sikap tidak bertanggungjawab Mahathir yang amat tidak bersesuaian dengan sifatnya sebagai seseorang yang pernah menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun, apatahlagi jika diambil kira beliau adalah pencetus Wawasan 2020 dan gagasan Bangsa Malaysia.

Mahathir menunjukkan sifat perkauman yang cukup jelek sewaktu PRU 13 apabila beliau membuat tuduhan karut dan tidak berasas bahawa saya bertanding di Gelang Patah untuk menimbulkan ketegangan perkauman dan bahawa saya mengapi-apikan kaum Cina untuk membenci Melayu.

Tidak ada kebenaran walau sebesar zarah pada dakwaan Mahathir.

Namun kita dapat membuat satu kesimpulan penting, iaitu bahawa dakwaan Mahathir tidak memberi kesan pada para pengundi, khususnya para pengundi Melayu, memandangkan saya tidak mungkin menang dengan majoriti lebih 14,000 undi tanpa undi orang Melayu.

Kini beliau membuat dakwaan yang lebih mengarut dengan mengatakan bahawa kaum Cina di Malaysia hendak menghapuskan kuasa politik Melayu untuk menguasai politik Malaysia!

Mahathir kini menjadi musuh paling utama bagi Malaysia yang majmuk.

Izinkan saya menasihati Mahathir agar berhenti menjadi rasis tegar dan belajar menjadi seorang yang berbangsa Malaysia. Saya ingin mengingatkan beliau tentang matlamat mewujudkan Bangsa Malaysia yang ingin dicapainya menerusi Wawasan 2020. Apakah Mahathir telah meminggirkan sama sekali Wawasan 2020 dan konsep Bangsa Malaysia beliau?

Saya sememangnya merasa marah mendengar kenyataan-kenyataan perkauman terbaru Mahathir, tetapi pada masa yang sama saya merasa gembira kerana khalayak yang mahu menerima kenyataan perkauman beliau semakin kurang. Keputusan PRU 13 adalah bukti terbaik bahawa generasi muda Malaysia, tidak kira Melayu, Cina, India, Kadazan, atau Dayak, telah menunjukkan pemikiran yang lebih bersemangatkan bangsa Malaysia daripada Mahathir dan mereka inilah yang sedang menerajui gelombang politik baru ke arah mengakhiri politik perkauman dan korupsi.

Kita mahukan politik baru Impian Bangsa Malaysia yang dapat menyatukan semua warga Malaysia tanpa mengira kaum, agama, atau daerah, dalam mencapai tujuan bersama untuk membina Malaysia baru di mana semua rakyatnya boleh berbangga sebagai warga sebuah negara yang memberikan kebebasan, keadilan, dan kemakmuran kepada semua rakyatnya, manakala politik perkauman pula menjadi mimpi ngeri yang tidak akan berulang lagi.

Justeru itulah saya mengatakan bahawa Mahathir hendak cuba menjadi seperti Raja Canute yang seribu tahun lalu cuba mengarahkan gelombang agar tidak bangkit ĘC seperti Mahathir sekarang yang sedang menongkah arus politik Impian Bangsa Malaysia yang sedang menuju ke titik akhir politik perkauman.

Lim Kit Siang Ketua Parlimen DAP & Ahli Parlimen Gelang Patah