Apakah kita patut bersedih atau ketawa dengan kenyataan perkauman terbaru Mahathir yang tidak masuk akal?

Apakah kita patut bersedih atau ketawa dengan kenyataan perkauman terbaru Mahathir yang tidak masuk akal bahawa kaum Cina mahu menghapuskan kuasa politik Melayu dan mendominasi politik Malaysia?

Kita boleh menangis mengenangkan betapa bekas Perdana Menteri itu begitu rasis, cuai, dan tidak bertanggungjawab kerana terus melaga-agakan orang Melayu dengan Cina. Kenyataan terbaru beliau ini jauh lebih tidak masuk akal jika dibandingkan dengan kenyataannya sewaktu Pilihanraya Umum ke-13 yang menyebut tujuan saya bertanding di Gelang Patah ialah untuk mewujudkan ��ketegangan kaum�� dan bahawa saya menghasut kaum Cina untuk membenci Melayu.

Tiada kebenaran walau sebesar zarah sekali pun pada dakwaan-dakwaan Mahathir. Kita perhatikan bahawa dakwaan Mahathir tidak memberi kesan pada para pengundi, khususnya para pengundi Melayu, memandangkan saya tidak mungkin menang dengan majoriti lebih 14,000 undi tanpa undi orang Melayu.

Apakah kegagalan Mahathir untuk memberikan dampak terhadap PRU 13 dengan kenyataan-kenyataan perkaumannya menyebabkan beliau mengeluarkan kenyataan yang malah lebih rasis dan tidak masuk akal seperti kenyataan terbaru beliau yang mendakwa kaum Cina di Malaysia hendak menghapuskan kuasa politik Melayu untuk menguasai politik Malaysia?

Kita boleh ketawa melihat seorang bekas Perdana Menteri boleh mengambil tindakan yang sebegitu terdesak memandangkan mesej perkauman beliau semakin tidak mendapat sambutan di kalangan orang Melayu, sehinggakan beliau terpaksa mengada-adakan pembohongan tentang kaum Cina di Malaysia yang hendak menghapuskan kuasa politik Melayu untuk menguasai politik Malaysia!

Apakah Mahathir benar-benar percaya dengan dakwaannya sendiri? Apakah Mahathir merasa rakyat Malaysia yang berakal sihat dan rasional, tanpa mengira kaum, akan mempercayai kenyataan-kenyataan perkaumannya yang mendakwa kaum Cina di Malaysia hendak menghapuskan kuasa politik Melayu untuk menguasai politik Malaysia, padahal hal itu tidak lain adalah khayalan beliau sendiri sepertimana sebelum ini beliau melemparkan tuduhan liar bahawa saya bertanding di Gelang Patah untuk menimbulkan ketegangan kaum dan mengapi-apikan kaum Cina untuk membenci Melayu?

Kenyataan-kenyataan perkauman Mahathir benar-benar mengganggu perkembangan politik Malaysia, namun rakyat Malaysia tidak perlu gusar. Kata orang, ��ada hikmah di balik setiap kejadian�� dan di sini hikmahnya ialah percubaan Mahathir untuk melagakan Melayu dengan Cina akan gagal kerana kenyataan-kenyataan rasis beliau tidak lagi laku.

Mahathir telah meminggirkan Wawasan 2020 dan gagasan Bangsa Malaysia yang beliau sendiri rumuskan, manakala Datuk Seri Najib Razak pula belum membuktikan beliau benar-benar serius dan tulus tentang 1Malaysia. PRU13 menunjukkan bahawa semakin banyak warga Malaysia tanpa mengira kaum, agama atau daerah bersatu atas satu Impian Malaysia, iaitu untuk melihat sebuah Malaysia yang melampaui politik perkauman, korupsi, kronisme, penyalahgunaan kuasa, dan segala bentuk ketidakadilan. Rakyat mahukan hari depan di mana semua rakyat Malaysia boleh berbangga sebagai warga sebuah negara yang memberikan kebebasan, keadilan, dan kemakmuran kepada semua rakyatnya, manakala politik perkauman pula menjadi mimpi ngeri yang tidak akan berulang lagi.

Lim Kit Siang Ketua Parlimen DAP & Ahli Parlimen Gelang Patah