Umno/BN mesti berterimakasih kepada Suruhanjaya Pilihanraya kerana menetapkan pengundian pada hari Rabu atas peningkatan majoriti undinya dalam pilihanraya kecil Kuala Besut

Umno/BN mesti berterimakasih kepada Suruhanjaya Pilihanraya kerana menetapkan pengundian pada hari Rabu atas peningkatan majoriti undinya dalam pilihanraya kecil Kuala Besut yang menyaksikan peratusan keluar mengundi merosot sebanyak 1,193 orang atau pada kadar keseluruhan 79.78% berbanding 87% pada pilihanraya umum 5 Mei lalu.

Calon Umno/BN Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman telah mendapat 8,288 undi, manakala calon PAS Endot@Azlan Yusuf mendapat 5,696 undi�Cbeza undi sebanyak 2,592 undi, iaitu 158 undi lebih tinggi daripada majoriti 2,434 yang dicapai oleh Umno/BN dalam pilihanraya umum.

Timbalan Presiden Umno dan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mendakwa bahawa BN gagal mencapai sasaran 4,000 majoriti undi di Kuala Besut kerana para penyokong BN merasa terlalu yakin akan menang dan lalu tidak keluar mengundi.

Beliau juga mensabitkan kemerosotan peratusan keluar mengundi sebanyak 7 peratus disebabkan oleh rentak hidup yang lebih perlahan di bulan Ramadan.

Bagaimanapun, kemungkinan besar faktor sebenar yang menyebabkan peratusan keluar mengundi merosot ialah kerana hari mengundi ditetapkan pada hari bekerja, menyebabkan banyak pengundi yang tinggal di luar Kuala Besut tidak dapat pulang untuk mengundi.

Jika peratusan keluar mengundi tinggi seperti pilihanraya umum lalu dan sebahagian besar pengundi yang tidak pulang ke Kuala Besut untuk mengundi dalam pilihanraya kecil mengundi calon PAS, majoriti Umno/BN kali ini kemungkinan besar lebih rendah daripada majoriti 2,434 yang dicapainya dalam pilihanraya umum lalu.

Kemerosotan majoriti undi Umno/BN, walaupun ia masih mengekalkan kerusi tersebut, akan dilihat sebagai satu kegagalan khususnya setelah pelbagai pemberian yang bernilai sekitar RM500 juta telah dicurahkan ke kawasan itu dan untuk pengundi di sana oleh kerajaan pusat dan negeri dalam tempoh pilihanraya kecil ini�Cmenjadikan pilihanraya kecil Kuala Besut salah satu pilihanraya kecil termahal dalam sejarah.

PAS mencatatkan pencapaian yang baik di Kuala Besut kerana tiada siapa yang benar-benar menjangka bahawa calon Umno/BN akan kalah di kubu kuat mereka.

Pihak yang kalah paling besar adalah Umno/BN kerana ia gagal mencapai sasaran undi majoriti 4,000 dalam pilihanraya kecil kali ini.

Lim Kit Siang Ketua Parlimen DAP & Ahli Parlimen Gelang Patah