Selamat datang ke pelancaran program pengambilan Agen Impian Malaysia peringkat kebangsaan

Impian Malaysia adalah sebuah gerakan yang diharapkan akan dapat mengumpulkan sukarelawan (termasuk yang tidak menjadi ahli parti) dari kalangan rakyat Malaysia untuk menjadi Agen Impian Malaysia bagi membantu menggerakkan kegiatan-kegiatan dan program-program ke arah memartabatkan jatidiri dan kesedaran bangsa Malaysia, khususnya di kalangan generasi muda.

Kini kita berdepan dengan cabaran untuk menterjemah semangat UBAH yang ditunjukkan oleh rakyat Malaysia sewaktu PRU13 ke dalam gerak kerja kemasyarakatan yang membina agar kita boleh menang besar dalam Pilihanraya Sarawak 2015 dan seterusnya menawan Putrajaya dalam PRU14.

Sebagai parti kedua terbesar di Malaysia, kami mencari setiap ruang yang mungkin ada untuk membentuk hubungan dengan kelompok-kelompok pengundi yang baru yang sejauh ini masih berada di luar jangkauan kami serta untuk memantapkan sokongan terhadap usaha memartabatkan Impian Malaysia. Kami mengharapkan anda untuk menjadi Agen Impian Malaysia dan mengambil bahagian dalam kerja kemasyarakatan di kawasan luar bandar dan di luar ruang siber.

Impian Malaysia adalah keinginan untuk mewujudkan sebuah masyarakat majmuk yang anggota-anggotanya bersatu sebagai satu bangsa yang diikat oleh satu kewaganegaraan, melampaui perbezaan suku kaum, agama, budaya, dan bahasa. Impian Malaysia bukan baru muncul pada hari ini. Ia telah lama wujud, malah sebelum Malaya dan Malaysia diasaskan.

Pemimpin Melayu Johor Dato Onn Jaafar telah memperjuangkan Impian Malaysia 62 tahun yang lalu apabila beliau menyarankan pada tahun 1951 agar UMNO membuka pintu kepada bukan-Melayu dan mengubah nama parti daripada United Malays National Organisation kepada United Malayans National Organisation.

Impian Malaysia sejak berdekad yang lalu dikongsi oleh semua warga Malaysia yang patriotik, tanpa mengira kaum, agama, atau daerah, tidak kira warga Malaysia yang menetap di dalam atau di luar negara.

Pertempuran di Gelang Patah pada PRU13 boleh dianggap sebagai tembakan pembukaan bagi Pertempuran Impian Malaysia, iaitu sebuah perjuangan untuk menyatukan semua warga Malaysia tanpa mengira kaum, agama, atau daerah, ke dalam satu wawasan kebangsaan bersama dan ke arah membina sebuah negara Malaysia yang gagah, demokratik, bebas, selamat, berdaya saing, hijau, adil, berintegriti, menawarkan peluang saksama untuk semua rakyat, makmur dan membahagiakan semua warganya.

Perjalanan masih panjang untuk kita menjelmakan Impian Malaysia ĘC di mana semua warga Malaysia menumpahkan taat-setia tidak berbelah bagi kepada negara, berkongsi satu tanahair, dan bersatu sebagai satu bangsa untuk menjadikan negara ini sebuah negara yang hebat dengan bersandarkan pada kepelbagaian kaum, agama, dan budaya yang telah lama bertapak di negara ini, agar Malaysia akan menjadi negara terulung di dunia dalam semua bidang kegiatan manusia.

Mari kita menjadikan Impian Malaysia satu hakikat dengan mengembalikan hak-hak asasi, seperti keselamatan di jalanan dan tempat awam dan persendirian, kepada semua warga Malaysia tanpa mengira kaum, agama atau daerah.

Kami mengalu-alukan anda untuk menyertai kami sebagai Agen Impian Malaysia dengan mengisi borang pendaftaran atau membuat pendaftaran secara online. Untuk maklumat lanjut, sila kunjungi laman Facebook kami di https://www.facebook.com/ImpianRakyatMalaysia

Lim Kit Siang Ketua Parlimen DAP & Ahli Parlimen Gelang Patah