Ketua Polis Negara dan Menteri Dalam Negeri mesti menyatakan secara jelas tanpa berbolak-balik sama ada Malaysia sebuah negara yang selamat atau tidak

Ketua Polis Negara dan Menteri Dalam Negeri mesti menyatakan secara jelas tanpa berbolak-balik sama ada Malaysia sebuah negara yang selamat atau tidak.

KPN dan Menteri Dalam Negeri tidak sepatutnya menyatakan Malaysia sebuah negara yang selamat dan kadar jenayahnya telah berkurangan sebanyak 26.8% sejak pelancaran Program Transformasi Kerajaan (GTP) pada tahun 2009 serta tergolong sebagai salah sebuah paling aman di Asia Tenggara menurut Peace Index, tetapi secara tiba-tiba mengaitkan peningkatan kejadian jenayah ganas dengan penghapusan Ordinan Darurat (EO) pada tahun 2011 yang membawa kepada pembebasan hampir 2,000 orang yang disyaki sebagai penjenayah tegar.

Jika pembebasan 2,000 orang yang disyaki sebagai penjenayah tegar disebabkan oleh penghapusan EO pada September 2011 telah membawa kepada peningkatan kadar jenayah, mengapa perkara ini tidak terlihat pada perangkaan jenayah polis dan sebaliknya polis mendakwa secara umum kadar jenayah jalanan dan indeks jenayah telah berkurangan masing-masing sebanyak 41.3% dan 7.6% pada tahun 2012 jika dibandingkan dengan 2011?

Atau apakah ketua-ketua sindiket jenayah ganas dan terancang tiba-tiba menjadi lebih giat setelah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengisytiharkan ˇ°perang menentang jenayahˇ± sebulan selepas pilihan raya umum ke-13 ¨C menyebabkan kadar jenayah dan kebimbangan orang ramai meningkat sehingga buat kali pertama rakyat Malaysia merasa tidak selamat untuk makan di luar rumah berikutan beberapa kejadian rompakan bersenjata ke atas pemilik dan pelanggan gerai mamak dan restoran?

Tidak sampai setahun yang lalu, Menteri Dalam Negeri ketika itu, Datuk Seri Hishammuddin bersungguh-sungguh menafikan peningkatan kadar jenayah adalah disebabkan pembebasan tahanan-tahanan EO.

Ujar beliau, ˇ°walaupun media melaporkan bekas banduan terlibat dalam jenayah, bagi saya angkanya tidak berada pada tahap membimbangkan.ˇ±

Apakah Hishammuddin menyatakan perkara yang benar Julai tahun lalu atau beliau telah memperdayakan rakyat Malaysia?

Tahun lalu, orang ramai diyakinkan bahawa polis mengawasi 1,473 tahanan di bawah Ordinan Darurat dan Akta Kediaman Terhad yang telah dibebaskan bagi membantu mereka mencari pekerjaan dan memastikan mereka tidak kembali kepada kebiasaan yang buruk.

Apakah natijah program ini atau hanya cakap-cakap kosong yang tidak pernah dilaksanakan oleh polis di semua negeri dalam negara ini?

Jika polis mahukan kerjasama penuh dalam perang menentang jenayah, ia perlu memberi keyakinan kepada orang ramai dan berkongsi maklumat dengan mereka.

Lim Kit Siang Ketua Parlimen DAP & Ahli Parlimen Gelang Patah