Pengiraan Detik 99 Hari ke PRU13 - Jadikan rasuah salah satu isu penting pilihan raya buat pertama kalinya di dalam pilihan raya umum 13

Semalam, saya mencadangkan bahawa Pengiraan Detik100 Hari ke Pilihan Raya Umum ke-13 bermula daripada hari pertama Tahun baru dan semua rakyat Malaysia mengambil bahagian dalam kiraan detik ke PRU13 kerana peristiwa itu mempunyai kepentingan dan kemungkinan bersejarah.

Pada Pengiraan Detik hari ke-99 ke Pilihan Raya Umum ke-13, saya menyeru kepada semua 13.1 juta pengundi untuk menjadikan rasuah salah satu isu penting pilihan raya 13 buat pertama kalinya dalam tempoh 53 tahun.

Sabtu lepas, Bernama melaporkan hal berikut:

Semua calon Barisan Nasional (BN) yang bakal bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU Ke-13) bebas rasuah dan jenayah, kata Setiausaha Agung BN Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Beliau berkata bakal calon BN bagi kesemua 222 kerusi Parlimen dan 505 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) telah melalui proses saringan teliti termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Insolvensi untuk memastikan calon tersebut "bersih" dan bebas masalah.

"Semua calon BN yang bakal bertanding telah melalui proses saringan yang teliti," katanya.

Selain itu, Tengku Adnan yang juga Setiausaha Agung Umno berkata latar belakang bakal-bakal calon BN juga dikaji secara mendalam untuk memastikan mereka adalah pilihan rakyat.

"Kita mahu calon yang bakal bertanding itu adalah mereka yang dikehendaki rakyat, bukannya kehendak parti atau individu-individu dalam parti. Kita mahu calon yang rakyat fikirkan dia boleh mewakili rakyat," katanya.

Laporan Bernama yang telah mengundang cemuhan dan kebencian awam membuktikan, sekiranya bukti masih diperlukan, bahawa UMNO/Barisan Nasional tidak mampu menjadi serius atau dipercayai dalam sebarang kempen memerangi rasuah.

Rakyat Malaysia tidak sepatutnya lupa pada pilihan raya umum 2004 ketika Barisan Nasional menerbitkan iklan muka penuh yang mengatakan kerajaan telah "korup dan rosak hingga ke akar...tiada satu pun aspek kehidupan yang tidak dicemari rasuah" dan menuntut pengundi Malaysia untuk memberikan mandat kepada Pak Lah supaya menjadi "Hakim Bao zaman moden" di dalam "membanteras rasuah habis-habisan".

Abdullah tidak menjadi "Hakim Bao moden". Tetapi, Malaysia menjunam lebih teruk setiap tahun di dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Transparency International (TI), jatuh dari No.37 pada 2003 ketika Tun Mahathir meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri ke No. 47 ketika Abdullah dikeluarkan daripada Seri Perdana, sehingga empat kedudukan terburuk CPI TI yang pernah dicatatkan buat Malaysia semuanya di bawah pemerintah Datuk Seri Najib Razak's dari tahun 2009 - 2012 (iaitu No. 56 untuk 2009 dan 2010, No. 60 untuk 2011 dan No. 54 untuk 2012).

Adakah Najib berwibawa untuk mendakwa beliau dapat melakukan apa yang Abdullah telah gagal lakukan ketika dua pilihan raya umum lalu pada 2004 - iaitu untuk menjadi "Hakim Bao moden" bagi membanteras habis-habisan rasuah dan memulihkan sistem yang "korup dan rosak sehingga ke akar... tanpa satu pun aspek kehidupan tidak tercemar dengan rasuah"?

Kenyataan Tengku Adnan seperti yang dilaporkan Bernama Sabtu lepas adalah bukti UMNO/Barisan Nasional telah menjadikan isu rasuah yang serius di Malaysia sebagai sandiwara.

Mana mungkin kesemua 222 calon parlimen dan 505 calon dewan undangan negeri BN untuk PRU13 telah diperiksa dan disahkan bersih daripada rasuah atau apa-apa jenayah oleh SPRM, polis dan Jabatan Insolvensi apabila semua orang tahu bahawa BN dan parti komponennya masih belum menyenaraikan kesemua 222 calon parlimen dan 505 calon dewan undangan negeri?

Barangkali apa yang Tengku Adnan maksudkan adalah kesemua 222 calon kerusi parlimen dan 505 calon kerusi dewan undangan negeri untuk PRU13 akan didapati bebas daripada rasuah dan jenayah lain kerana SPRM dan pihak polis dikehendaki mengeluarkan "cek kosong" untuk membersihkan nama mereka semua.

Ini adalah bukti akhir mengapa isu rasuah perlu menjadi isu penting pilihan raya ketika PRU13 memandangkan tidak mungkin akan ada usaha serius memerangi rasuah selagi mana Putrajaya diperintah oleh UMNO/BN - hanya perubahan sistem dengan kerajaan Pakatan Rakyat di Putrajaya dapat memulakan pembersihan kerajaan dan negara yang panjang dan sukar tetapi amat diperlukan.

Lim Kit Siang Ketua Parlimen DAP & Ahli Parlimen Kawasan Ipoh Timur