Seruan kepada semua rakyat Malaysia untuk bersatu menyokong Impian Malaysia ke arah membina Malaysia yang lebih bersatu-padu, demokratik, bebas, adil, dan makmur untuk semua warga

Rabu yang lalu, rakyat Amerika merayakan ulangtahun ke-50 ucapan bersejarah Martin Luther King Jr., "I have a dream", yang disampaikan di Washington pada 28 Ogos 1963. Dalam ucapannya, beliau menghimbau American Dream, iaitu impian untuk mewujudkan sebuah negara yang inklusif di mana keadilan dan kebebasan dinikmati secara setara oleh semua warga Amerika tanpa mengenal warna kulit atau kepercayaan.

Telah banyak kemajuan dicapai Amerika Syarikat sejak lima dekad lalu dalam mengejar matlamat ini, bagaimanapun usaha menyempurnakan American Dream masih berjalan.

Sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-56, saya berharap rakyat Malaysia dapat bersatu menyokong Impian Malaysia ke arah membina negara Malaysia yang lebih bersatu-padu, demokratik, bebas, adil, dan makmur untuk semua warganya, agar Malaysia dapat berdiri megah di mata dunia.

Apakah ini harapan yang terlalu tinggi memandangkan sejak beberapa bulan lalu bahasa dan politik kebencian, kecurigaan, dan wasangka semakin menguasai ruang awam, sama ada di media cetak mahu pun di internet, sehingga menyebabkan banyak warga Malaysia merasa bimbang tentang masa depan negara?

Di sebalik segala rintangan dan kegagalan yang mengganggu proses pembinaan negara Amerika, bangsa itu terus mengorak langkah mengejar American Dream. Maka, rakyat Malaysia juga seharusnya tidak membiarkan jurang antara kelompok, rintangan, dan kegagalan menghalang kita daripada terus berusaha mencapai Impian Malaysia untuk membentuk masyarakat majmuk di mana semua warganya bersatu sebagai satu bangsa melampaui perbezaan kaum, agama, budaya, dan bahasa.

Saya percaya sebahagian besar rakyat Malaysia tanpa mengira latar kaum, agama, dan daerah adalah warganegara yang patriotik.

Walaupun berbeza kaum, agama, bahasa, budaya, dan daerah, kita adalah bangsa Malaysia yang setia tidak berbelah-bagi kepada negara. Kita berkongsi satu tanahair, Malaysia, tanah tumpah darah kita. Justeru itu kita wajib bersatu sebagai satu bangsa untuk mengembangkan keagungan negara ini dengan memanfaatkan kekayaan budaya, nilai, dan tradisi pelbagai kaum, agama dan kebudayaan yang telah bertapak di Malaysia.

Dengan Impian Malaysia sebagai tapak, takdir Malaysia sebagai sebuah negara yang cemerlang dalam pelbagai bidang dan sebagai salah sebuah negara terulung di dunia akan tercapai.

Lim Kit Siang Ketua Parlimen DAP & Ahli Parlimen Gelang Patah