Pendaftar Pertubuhan tidak patut bertindak sembarangan dan memberikan alasan mengapa ia tidak berpuas hati dengan penjelasan DAP tentang pemilihan CEC DAP bulan Disember tahun lalu

Hanya tinggal dua hari masa yang diberikan untuk "Father Augustus Chen" yang kononnya menulis risalah "The Equity Report (CEC Election Fraud" yang penuh pembohongan itu untuk menampilkan diri dan membuktikan dia benar-benar wujud.

Sehingga saat ini, belum ada tanda-tanda bahawa "Father Augustus Chen" akan muncul kerana sememangnya orang sedemikian tidak wujud bukan saja di Malaysia, malah di dunia ini.

Mustahil dan tidak masuk akal ada orang seperti itu yang sanggup membenarkan namanya digunakan untuk penerbitan penuh pembohongan seperti itu tetapi takut untuk tampil ke depan!

Siapa saja yang tampil ke depan untuk mengakui dirinya sebagai penulis "The Equity Report" perlu bersedia bukan saja untuk berdepan dengan beberapa saman fitnah tetapi juga perbicaraan kes jenayah atas segala pembohongan yang terdapat dalam risalah itu.

Jika "Father Augustus Chen" tidak tampil untuk membuktikan kewujudannya, maka media Umno/BN perlu bersedia untuk berdepan dengan saman fitnah kerana mereka telah menggunakan risalah tersebut sebagai asas untuk meneruskan fitnah terhadap DAP dan pimpinannya, seolah-olah segala dusta dan nista di dalamnya adalah kebenaran yang hakiki (walaupun risalah itu diterbitkan secara haram tanpa mencatatkan nama pencetak dan penerbit seperti yang diwajibkan undang-undang).

Bagaimanapun, persoalan lebih penting ialah mengapa Ketua Pengarah Pendaftar Pertubuhan (RoS) bertindak terhadap DAP dengan tidak memperakui pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP dan mengarahkan supaya diadakan pemilihan semula berasaskan pembohongan dan kepalsuan yang terdapat dalam risalah "Father Augustus Chen" itu?

Apakah setelah 56 tahun dan 13 piihanraya umum, pentadbiran kerajaan di Malaysia telah berubah menjadi tadbir urus yang berasaskan penipuan, pembohongan dan kepalsuan?

Atas sebab ini DAP telah meminta agar Ketua Pengarah RoS tidak bertindak sembarangan dan menjelaskan mengapa beliau tidak berpuas hati dengan penjelasan DAP berkenaan pemilihan CEC parti ini pada bulan Disember lalu.

Tiada apa yang hendak DAP sembunyikan dan malah parti ini bersedia untuk menjawab secara terbuka semua pembohongan yang telah direka oleh juru propaganda dan cybertrooper Umno/BN berkenaan pemilihan CEC DAP pada Disember lalu.

Sejak minggu lalu, juru propaganda dan cybertrooper skuad pemusnah DAP Umno/BN (sampai ke peringkat anggota Kabinet) telah menggunakan "Father Augustus Chen" sebagai sumber maklumat berwibawa untuk menghalalkan tindakan RoS terhadap DAP:

  • Bahawa "753 perwakilan DAP (kebanyakan berketurunan India)" yang layak untuk mengundi dalam pemilihan CEC DAP telah TIDAK diberikan notis untuk hadir dan mengundi dalam Kongres DAP.
  • Bahawa "547 perwakilan hantu (kebanyakannya dari Pulau Pinang)" telah mengundi dalam Kongres DAP Disember lalu, menjadikan pemilihan itu tidak sah.

Dakwaan berkenaan 547 "perwakilan hantu" ini adalah fitnah yang baru dibuat selepas pilihanraya umum 5 Mei lalu dan tidak pernah sekali pun dibangkitkan oleh RoS sejak enam bulan sebelum itu, manakala dakwaan tentang 753 perwakilan DAP (yang tidak hadir kongres dan mewakili 29% daripada jumlah perwakilan yang berhak hadir) yang tidak diberikan notis untuk hadir dan mengundi juga tidak berasas sama sekali.

Selain itu, perwakilan India yang tidak hadir hanya sekitar 100 orang dan bukannya membentuk sebahagian besar daripada "753 perwakilan DAP" yang kononnya tidak hadir.

DAP sanggup menjawab secara terbuka semua pembohongan yang direka oleh skuad DDD Umno/BN. Apakah RoS sanggup melakukan perkara yang sama untuk menegakkan kebenaran?

Tidak ada satu aduan pun diterima oleh pimpinan DAP sejak enam bulan lalu tentang pemilihan CEC Disember lepas.

Mengapa RoS tidak menyuruh anggota parti yang tidak berpuas hati tentang pemilihan CEC DAP Disember lalu untuk membuat aduan dan menggunakan saluran parti terlebih dahulu dan hanya membuat laporan kepada RoS jika mereka tidak berpuas hati dengan respons yang diterima daripada parti?

Tinggal dua hari saja lagi untuk "Father Augustus Chen" menampilkan dirinya. Siapa berani bertaruh bahawa ia akan muncul?

Lim Kit Siang Ketua Parlimen DAP & Ahli Parlimen Gelang Patah