RoS harus berterus-terang jika sebenarnya ia mahu pemilihan semula CEC DAP diadaka kerana 753 perwakilan DAP telah dinafikan hak mereka untuk menghadiri kongres DAP Disember lalu agar DAP boleh mendedahkan pembohongan berkenaan

DAP dan rakyat Malaysia berhak mengetahui mengapa dan dengan kuasa apa Pendaftar Pertubuhan mengarahkan DAP untuk mengadakan pemilihan semula Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEP) DAP yang telah dipilih dalam Kongres Parti DAP di Pulau Pinang Disember lalu.

Apakah Ketua Pengarah Pendaftar Pertubuhan (RoS) Datuk Abdul Rahman mengarahkan DAP untuk mengadakan pemilihan semula CEC kerana 753 perwakilan DAP telah dinafikan hak mereka untuk menghadiri Kongres DAP di Pulau Pinang Disember lalu? Jika benar, beliau perlu menyebut hal ini secara jelas agar DAP boleh mendedahkan pembohongan berkenaan.

Sejak enam bulan lalu, "war room" Umno/Barisan Nasional telah melaburkan banyak sumber, kakitangan, dan puluhan juta ringgit untuk melaksanakan strategi dua mata mereka, iaitu, yang pertama, untuk "memburuk-buruk dan memusnahkan" DAP (kempen "DDD") dengan menyebarkan pembohongan tentang DAP yang kononnya membiayai "Tentera Kacang Merah" yang dianggotai oleh 3,000 cybertrooper dan dengan peruntukan sebanyak RM100 juta hingga RM1 bilion sejak enam tahun lalu untuk memburuk-burukkan peribadi para pemimpin Umno/BN; dan kedua, untuk menghidupkan cerita palsu tentang penyelewengan dalam pemilihan CEC sewaktu Kongres DAP bulan Disember lalu.

Sebelum dan selepas pilihanraya umum ke-13 pada 5 Mei lalu, para penggerak Umno/BN meneruskan kempen mendesak RoS bertindak terhadap DAP, antaranya menuntut agar pemilihan CEC diisytiharkan sebagai tidak sah dan supaya pendaftaran DAP dibatalkan atas alasan kekerutuan, penyelewengan dan penipuan dalam pemilihan CEC bulan Disember lalu.

Antara alasan bagi tuntutan sedemikian ialah dakwaan kononnya 753 perwakilan DAP tidak dimaklumkan tentang Kongres DAP pada bulan Disember lalu seperti yang dimestikan oleh perlembagaan parti dan kerana itu mereka dinafikan hak untuk menghadiri kongres berkenaan dan memilih anggota CEC.

Malah, isu "753" ini telah digunakan untuk menuduh DAP sebagai anti-kaum India kerana kononnya sebahagian besar daripada "753" perwakilan terbabit berketurunan India dan atas sebab inilah mereka didiskriminasi dan dinafikan hak untuk menghadiri Kongress serta mengundi dalam pemilihan CEC.

Kedua-dua tuduhan berkenaan sama sekali tidak tepat. 71 peratus perwakilan menghadiri Kongres Parti (untuk mencukupkan korum, hanya 25 peratus daripada ahli parti yang layak menjadi perwakilan diperlukan) dari jumlah keseluruhan 2,576 perwakilan. Ini adalah rekod kehadiran yang tinggi dan suatu yang amat tidak benar jika ada pihak mendakwa ketidakhadiran perwakilan adalah disebabkan oleh konspirasi yang digerakkan dengan cara tidak memberikan notis yang wajar. Jika asas ini digunakan, nescaya kesahihan dan keabsahan persidangan semua parti politik atau pertubuhan boleh dipertikaikan.

DAP telah bekerjasama dengan Pendaftar Pertubuhan dan memberikan bukti bahawa notis Kongres telah diberikan kepada semua perwakilan seperti yang dituntut oleh perlembagaan parti, manakala perwakilan berketurunan India yang tidak hadir hanyalah sekitar 100 orang, bukan 700 seperti yang didakwa oleh para propagandis Umno/BN.

Pembohongan kedua yang paling ditonjolkan dalam kempen ialah tuduhan liar bahawa pemilihan CEC DAP bulan Disember lalu disertai oleh "perwakilan hantu" yang pada mulanya jumlah mereka dikatakan sebanyak 300 orang tetapi kemudiannya meningkat kepada 547 orang - ini adalah dusta semata-mata.

Apakah Ketua Pengarah RoS menganggap pembohongan tentang 547 "perwakilan hantu" dalam Kongres DAP di Pulau Pinang Disember lalu sebagai suatu dakwaan kukuh?

Jika benar, maklumkan kepada DAP!

DAP dan rakyat Malaysia berhak untuk tahu apakah alasan dan kuasa yang dimiliki Ketua Pengarah RoS untuk mengarahkan DAP mengadakan semula pemilihan CEC.

Selain dua pembohongan ini, alasan yang dimiliki RoS hanyalah gangguan kecil melibatkan komputer sewaktu Kongres DAP, di mana gangguan tersebut tidak membawa kepada kesilapan dalam pengiraan atau penjadualan undi, sebaliknya cuma pada tahap pengumuman keputusan, iaitu apabila salah seorang calon, Vincent Wu, diumumkan sebagai pemenang, sedangkan pemenang sebenar adalah Zairil Khir Johari.

Kesilapan ini telah pun dibetulkan. DAP telah memberi penjelasan penuh tentang kesilapan ini kepada para pegawai Pendaftar Pertubuhan dan mengemukakan semua dokumen dan bahan berkaitan.

Jadi, apakah asas untuk Ketua Pengarah RoS mengarahkan agar pemilihan semula CEC dibuat?

Ketua Pengarah RoS harus menjelaskan kepada DAP dan negara ini mengapa beliau tidak berpuas-hati dengan penjelasan yang telah diberikan DAP, selain menerangkan kuasa apakah yang beliau gunakan untuk mengarahkan pemilihan semula CEC.

Lim Kit Siang Ketua Parlimen DAP & Ahli Parlimen Gelang Patah