Pengumuman Najib untuk membatalkan projek kondo Batu Caves jika berjaya menawan Selangor mencemarkan Deepavali

Meskipun tajuk-tajuk berita menyebutkan, "S'gor BN to scrap Batu Caves condo if we win" (Malaysiakini), "Najib promises Indians no Batu Caves condo if BN regains Selangor" (The Malaysian Insider), "PM: We'll scrap Batu Caves project if we win Selangor" (New Straits Times); "Najib: Return Selangor to Barisan and Batu Caves ground will be safe" (Star) and "PM: Bt Caves development will stop if BN regains S'gor" (Sun), reaksi paling awal bagi rakyat Malaysia yang bersikap adil, munasabah dan patriotik adalah rasa tidak senang atau rasa ada yang tidak kena dengan apa yang dilakukan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Mengapakah begitu? Mengapa mereka yang mahu projek kondominium 29 tingkat Dolomite Park Avenue dibatalkan tidak menyambut pengumuman Najib dengan tangan terbuka dan sokongan tidak berbelah bahagi?

Itulah juga tindak balas saya. Pada tahun 1980, saya telah mengumumkan "Kempen Menyelamatkan Batu Caves DAP" bagi bersama-sama menggembleng tenaga dengan semua pemulihara dan kumpulan-kumpulan pelindung alam sekitar untuk menyelamatkan warisan semulajadi yang berusia 500 juta tahun dan rumah ibadat 800,000 penganut Hindu di Malaysia dengan memberhentikan semua aktiviti pengkuarian di Batu Caves.

Setelah berjaya menyelamatkan Batu Caves sekali, DAP dan Pakatan Rakyat tentulah tidak teragak-agak untuk melancarkan satu lagi "Kempen Selamatkan Batu Cave" berpunca daripada projek kondo 29 tingkat yang diluluskan oleh MIC/BN pada 2007.

Bagaimanapun, DAP dan Pakatan Rakyat tidak melancarkan "Kempen Selamatkan Batu Caves" yang kedua memandangkan Kerajaan Negeri Selangor Pakatan Rakyat telah segera mengeluarkan arahan "berhentikan kerja-kerja" kerana projek kondominium itu tidak sepatutnya diluluskan oleh pihak berkuasa Barisan Nasional pada 2007 sebagai contoh, bantahan Jabatan Alam Sekitar (DOE) negeri telah diabaikan.

Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim telah mengumumkan penubuhan satu pasukan petugas bebas untuk mengkaji semula isu sekitar projek kondo 29 tingkat Dolomite Avenue Park di Batu Caves dan memberikan cadangan-cadangan kepada Kerajaan Negeri Selangor apakah cara terbaik untuk memelihara tapak suci itu dan pada masa yang sama membenarkan pembangunan di sekitar kawasan tersebut.

Oleh itu mengapa pengumuman Najib untuk membatalkan projek kondo Dolomite Avenue Park menimbulkan rasa tidak senang malah rasa mual, sedangkan itulah apa yang semua orang mahukan?

Ini adalah kerana pengumuman Najib untuk membatalkan projek kondo Batu Caves sekiranya BN berjaya menawan Selangor bukanlah "kemenangan cahaya mengatasi kegelapan", kebenaran mengatasi tipu daya, atau kebaikan mengatasi kejahatan, tetapi merupakan berterusannya penyebaran kegelapan untuk menghalang kejayaan cahaya.

Ia menimbulkan rasa tidak senang dan memualkan kerana mencemarkan intipati dan semangat Deepavali.

Semalam, saya telah mendapatkan pandangan umum di blog saya tentang respon mereka terhadap pengumuman Najib. Di bawah adalah contoh pandangan-pandangan yang diberikan:

  1. "Sekiranya Selangor tidak jatuh ke tangan Pakatan pada 2008, tentunya kondominium itu telah siap sekarang...masih ingat TBH (Teoh Beng Hock). Dia juga berjanji untuk melakukan apa sahaja bagi memberikan keadilan kepadanya. Nampaknya TBH masih menantikan keadilan di dalam kuburnya."

  2. "Ini sepatutnya mengejutkan semua kaum India daripada lena. Najib sedang cuba memperdaya kalian. Pertama, BN mencuri wang rakyat, apabila terdedah, mereka berjanji untuk membayar wang tersebut semula sekiranya mereka berjaya menawan Selangor. Kita semua tahu Najib tiada kemampuan memimpin, tetapi perlukah membuat janji sedemikian ketika Diwali?"

  3. "PERTAMA, Umno belasah anda sehingga lebam-lebam. KEMUDIAN, Umno berjanji akan memberikan anda ubat-ubatan. DAN UNTUK ITU, anda sepatutnya berasa sangat bersyukur; dan berikan Umno semua nambekei anda dan yang lebih utama, undi anda juga."

  4. "Sekarang, apa sahaja yang dia janjikan - sama ada untuk teruskan atau sebalikya - tidak kira sama ada tindakan seterusnya adalah memenuhi janji atau tidak - bukanlah ditentukan oleh betul atau salah memandangkan mereka perlu mempertimbangkan semua pertimbangan yang saling menyaingi, tetapi apa yang menentukan adalah sama ada janji tersebut akan memberikan lebih banyak undi daripada orang-orang yang pernah mereka pinggirkan. Yang paling penting dalam kepalanya adalah kejayaan pilihan raya dan berjaya memelihara kedudukannya, oleh itu ini adalah pendekatan populis semata-mata. Itu sahaja."

  5. "BN kini menjadi satu bahan jenaka. Mereka telah hilang kewarasan. Cipta masalah, kemudian hapuskannya, lupa kepada beban yang perlu ditanggung oleh mereka yang membelinya. Ini adalah sangat-sangat tidak bertanggungjawab. Mereka terlalu mahu untuk menang, dengan apa cara sekalipun."

Tidak diragui lagi yang pengumuman Najib telah meninggalkan rasa jelek di kalangan rakyat Malaysia yang berfikiran wajar, mencemarkan kesucian hari Deepavali!

Najib tentu kelihatan lebih jujur sekiranya beliau secara terbuka memohon maaf atas kelulusan yang dibuat MIC/BN ke atas projek kondominium 29 tingkat di Batu Caves pada 2007, mengenalpasti dan menghukum semua anggota majlis perbandaran dan pemimpin-pemimpin MIC BN yang bertanggungjawab ke atas projek itu (tiada siapa yang akan percaya bahawa pemimpin-pemimpin tinggi MIC/BN tidak terlubat dalam memberikan kelulusan kepada projek itu), juga mengisytiharkan apakah sumbangan MIC/BN untuk memulihkan semula masalah berpunca daripada kelulusan yang diberikan MIC/BN kepada projek kondo itu pada 2007, sebagai contoh berapa yang sanggup MIC/BN berikan sekiranya terdapat elemen melibatkan pembayaran ganti rugi.

Biarlah semua pemimpin-pemimpin MIC/BN, sama ada peringkat nasional atau negeri, yang telah memberikan kelulusan kepada projek kondo 29 tingkat di Batu Caves pada 2007 maju ke depan dan mengakui kesalahan mereka.

Lim Kit Siang Ketua Parlimen DAP & Ahli Parlimen Kawasan Ipoh Timur