Pemimpin-pemimpin Umno silap besar memandangkan masalah paling besar Umno bukan hanya persepsi tetapi fakta korupsi mereka

Setiausaha Agung Umno Tengku Adnan Mansor silap besar apabila mendakwa masalah paling besar Umno dalam Pilihan Raya ke-13 adalah persepsi bahawa ia sebuah parti yang korup.

Masalah sebenar adalah korupsi dalam kempimpinan Umno, yang bertanggungjawab sepenuhnya untuk kedudukan terburuk Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Transparency International (TI) semenjak 17 tahun lalu dan semakin ketinggalan daripada negara-negara lain bukan sahaja di rantau Asia Pasifik tetapi juga kepada negara-negara Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) dalam memerangi rasuah.

Apabila CPI TI mula-mula diperkenalkan pada 1995, Malaysia berada pada kedudukan ke-23. Saya masih ingat kutukan oleh Perdana Menteri ketika itu Dr Mahathir Mohamad yang menuduh indeks itu sebagai konspirasi “orang putih” Barat untuk memburuk-burukkan negara-negara Asia memandangkan NGO anti-rasuah itu beribu pejabat di Berlin.

Yang paling ironi sekali adalah beberapa bulan sebelum beliau meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri pada Oktober 2003, beliau menyatakan perkara yang berbeza, dengan merestui CPI TI apabila beliau menekankan supaya negara mensasarkan untuk menjadi antara negara terbaik di kalangan negara-negara yang paling kurang rasuah dalam CPI TI.

Selepas Mahathir tidak lagi menjadi Perdana Menteri, kedudukan Malaysia pada 2003 telah jatuh daripada kedudukan ke-23 pada 1995 kepada kedudukan ke-30 pada 2008.

Dalam lima tahun Abdullah Ahmad Badawi menjadi Perdana Menteri, CPI TI Malaysia telah jatuh sepuluh anak tangga daripada tempat ke-37 kepada tempat ke-47 pada 2008 meskipun Abdullah mensasarkan sekurang-kurangnya tempat ke-30 pada 2008 melalui lima tahun Pelan Integriti Nasional.

Akan tetapi kejatuhan paling teruk dalam kedudukan CPI TI berlaku pada tiga tahun di bawah pentadbiran Perdana Menteri keenam, Najib Razak jatuh 13 anak tangga lagi ke kedudukan ke-60 dengan mata CPI TI terendah iaitu 4.3 pada CPI TI 2011.

Dengan keadaan rasuah yang bertambah buruk di Malaysia dalam tempoh dua dekad ini, dengan Malaysia di bawah pemerintahan Najib lebih korup berbanding dua Perdana Menteri sebelumnya, Mahathir dan Abdullah. Bagaimana pemimpin-pemimpin Umno boleh meperkecilkan masalah rasuah di Malaysia yang serius di bawah pemerintahan Umno?

Melainkan Umno dapat membuktikan bahawa bukan Umno tetapi parti lain di dalam Barisan Nasional seperti MCA, Gerakan, MIC, parti-parti BN di Sabah dan Sarawak yang seharusnya bertanggungjawab kepada masalah rasuah yang meruncing di Malaysia.

Pemimpin pemimpin Umno sepatutnya bertanggungjawab sepenuhnya dengan menunjukkan kesungguhan dan komitmen politik membasmi “rasuah besar” melibatkan pemimpin tertinggi kerajaan dan pemimpin politik, bermula dengan siasatan awam terhadap skandal “sumbangan politik Sabah” RM40 juta melibatkan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman dan ahli perniagaan balak Sabah Michael Chia, bukannya memperkecilkan masalah rasuah yang kian meruncing di Malaysia.

Lim Kit Siang Ketua Parlimen DAP & Ahli Parlimen Kawasan Ipoh Timur