red arrow http://limkitsiang.com 

 red arrow http://blog.limkitsiang.com 

 

Kenyataan media oleh Lim Kit Siang di Parlimen pada hari Isnin, 25hb Jun 2012: 

Adakah Najib bersedia untuk membuat satu deklarasi kepada sesiapa yang menganggap kaum Cina dan India sebagai “kaum pendatang” sebagai hilang akal, anti-nasional?

Dalam usaha untuk menangkis kenyataan-kenyataan rasis “pendatang” yang telah dibuat terhadap kaum bukan Melayu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib kini telah membuat dua pengakuan serius:

  • Pertamanya, kegagalan polisi 1Malaysia yang telah beliau umumkan apabila dilantik sebagai Perdana Menteri 39 bulan yang lalu dengan objektif untuk mewujudkan negara Malaysia dimana setiap warga Malaysia menganggap dirinya sebagai rakyat Malaysia dahulu dan kaum, agama, status sosio-ekonomi dan kawasan kemudian;

  • Kedua, ketidakmampuan bertindak untuk menyerang balas set minda berbahaya yang mengabadikan kepalsuan dan mengakibatkan perpecahan kaum diantara rakyat Malaysia, dan khususnya kenyataan yang tidak masuk akal apabila komuniti generasi pertama lahiran tempatan mengatakan kepada komuniti generasi keempat, kelima atau keenam lahiran tempatan untuk “balik China” atau “balik India".

Dalam sesi dialog bersama belia Cina di Universiti Malaya semalam, Najib telah menekan bahawa komuniti China tidak harus tersinggung oleh golongan yang ‘melabel’ mereka sebagai pendatang kerana kenyataan tersebut dibuat oleh beberapa “orang kurang siuman”.

Kata Najib, sesiapa yang mengungkapkan kenyataan sebegitu berbuat demikian dengan niat untuk menyinggung perasaan komuniti Cina dan pimpinannya tidak berkongsi pendapat dengan pandangan tersebut.

Katanya: “Saya berharap kita tidak tersinggung dengan satu, dua komen. Dalam setiap komuniti, biasanya akan ada seorang atau dua yang akan membuat kenyataan kurang ajar seperti ini.”

Jawapan Najib sudah tentu memberi jaminan yang kukuh kepada semua sekiranya memang benar wujud “seorang atau dua yang akan membuat kenyataan yang jijik, palsu dan anti-nasional.

Walaubagaimanapun, ini bukanlah hakikat didalam kes ini.

Apa yang nyata adalah penghinaan dengan kata “pendatang” ini merupakan bukti yang nyata kegagalan dalam pembangunan negara dalam tempoh lima dekad termasuklah polisi 1Malaysia Najib kerana ianya bukan terbatas kepada “seorang atau dua yang kurang siuman” tetapi sudah lama diserap kedalam dunia politik dan pentadbiran kerajaan selama beberapa dekad ini disebabkan indoktrinasi kakitangan kerajaan dan pegawai-pegawai awam.

Sebagai contoh, pegawai khas kepada Perdana Menteri sendiri, Datuk Nasir Safar telah ‘melabel’ kaum India dan Cina sebagai “pendatang” dan telah menyinggung perasaan kaum-kaum ini dengan membuat deklarasi “kaum India datang ke Malaysia sebagai pengemis dan kaum Cina, terutamanya kaum wanita datang untuk menjual tubuh mereka”.

Dua tahun yang lalu, dengan pelancaran sambutan kemerdekaan di Sekolah Menengah Kebangsaan Tunku Abdul Rahman Putra, Kulai, gurubesar sekolah tersebut Hajah Siti Inshah binti Monsar telah membuat kenyataan ini:

“Pelajar-pelajar Cina tidak diperlukan dan boleh balik ke China ataupun Sekolah Foon Yew. Bagi pelajar India, tali sembahyang yang diikat di pergelangan tangan dan leher pelajar nampak seakan anjing dan hanya anjing akan mengikat seperti itu.”

Sudah tentu rakyat Malaysia diingatkan dengan insiden dalam pilihanraya kecil Permatang Pauh dalam bulan Ogos 2008 dimana ketua cawangan UMNO telah merujuk kepada kaum Cina Malaysia sebagai pendatang, orang tumpang dan warga Malaysia yang tidak boleh dipercayai.

Penghinaan kata “pendatang” ini bukanlah hasil “seorang atau dua yang kurang siuman” tetapi adalah hasil proses “peracunan” indoktrinisasi anti-nasional oleh agensi-agensi kerajaan seperti BTN yang mengabdikan rakyat Malaysia kepada dua kelompok.

Apa yang telah dilakukan oleh pentadbiran Najib dibawah polisi 1Malaysia untuk mencipta polisi rasmi bahawa kata hina “pendatang” hanya dibuat oleh “seorang atau dua yang kurang siuman” dan mengklasifikasikan pandangan anti-nasional ini sebagai pemangkin untuk memecahbelahkan kaum di Malaysia dan mesti dikecam oleh semua rakyat Malaysia yang patriotik?

Negara Malaysia akan menyambut kemerdekaan yang ke-55 pada 31 Ogos ini. Adakah Najib benar-benar bersedia untuk menyampaikan satu mesej yang jelas yang berlandaskan polisi 1Malaysia beliau dimana sesiapa yang merujuk kepada warga Malaysia kaum India dan Cina sebagai “kaum pendatang” merupakan kenyataan yang jijik dan anti-nasional dan patut dikecam, direjam dan ditolak oleh semua rakyat Malaysia yang cintakan tanahair ini.


*Lim Kit Siang, Ketua Parlimen DAP & Ahli Parlimen Kawasan Ipoh Timor

 

 

Valid HTML 4.0 Transitional