red arrow http://limkitsiang.com 

 red arrow http://blog.limkitsiang.com 

 

Kenyataan media (2) oleh Lim Kit Siang di Kuala Lumpur pada hari Jumaat, 1hb Jun 2012: 

Hishammuddin mesti memberi perhatian penuh terhadap kes-kes politik yang berbudaya ganas dan samseng yang kian sedang meningkat

Sebagai Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussin mesti memberi perhatian penuh terhadap kes-kes politik yang berbudaya ghanas dan samseng dinegara ini seperti serangan yang dilakukan keatas Ahli Jawatankuasa DAP Negeri Selangor V. Ganapathirao dan adiknya Papparaidu di Klang pada malam hari Rabu daripada memberi perhatian kepada propaganda kompilasi video Bersih 3.0.

Semalam, Hishamuddin telah berkata bahawa kompilasi video yang mengandungi klip-klip apa yeng telah berlaku dalam perhimpunan Bersih 3.0 pada 28 April lepas akan disiapkan dalam 2 hari lagi dan akan dimuat naik dalam laman sesawang kementerian setelah siap.

Katanya, ia akan mengandungi klip visual “yang baik dan yang buruk” yang telah diterima oleh pelbagai parti sepanjang perhimpunan tersebut.

Adakah kompilasi video dalam laman sesawang Kementerian Dalam Negeri akan memasukkan juga klip-klip video yang menunjukkan keganasan dan kekecohan yang telah berlaku samada mangsa-mangsa tersebut diantara kakitangan polis, wakil-wakil media atau peserta-peserta perhimpunan atau kompilasi tersebut hanya akan menunjukkan klip-klip yang selektif berlandaskan kempen fitnah yang telah dilemparkan terhadap peserta Bersih 3.0?

Rakyat Malaysia sememangnya berwaspada mengenai kempen fitnah Bersih 3.0, saluran-saluran kerajaan dan laman sesawang dalam bulan yang lepas, dan terus menafikan hakikat bahawa Bersih 3.0 telah memahat sejarah kebangkitan 250,000 rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, agama, kelas, kawasan, umur atau jantina yang telah berhimpun secara aman dalam perjuangan mereka telah dicemari dengan insiden-insiden keganasan yang melibatkan bilangan kecil kakitangan polis dan peserta-peserta perhimpunan.

Mengapa Hishammuddin memberi perhatian istimewa kepada kompilasi video ini mengenai apa yang telah berlaku pada hari Bersih 3.0, apabila video-video ini patut diserahkan kepada Suhakam untuk digunakan dalam penyiasatan keganasan Bersih 3.0 untuk mengesahkan apa yang benar-benar telah berlaku pada 28 April?

Atau mungkinkah Hishammuddin sendiri tiada keyakinan terhadap ‘panel penyiasatan Hanif’ yang telah membuatkan beliau mengambil keputusan tanpa mana-mana pihak yang terlibat untuk naik muat kompilasi video Bersih 3.0 kedalam laman sesawang Kementerian Dalam Negeri mengenai apa yang benar-benar telah berlaku dalam perhimpunan Bersih 3.0 daripada menyerahkannya kepada panel Hanif?

Walau apa pun, saya memohon kepada Hishammuddin untuk bertindak dengan tanggungjawabnya sebagai Menteri Dalam Negeri dalam 2 aspek:

Pertamanya adalah untuk memenuhi permintaan orang awam untuk membubarkan panel penyiasatan Hanif dan serta kerajaan dan pihak polis untuk memberi sokongan penuh kepada penyiasatan Suhakam; dan penyerahan kompilasi video kepada penyiasatan Suhakam; dan

Keduanya, untuk memberi perhatian penuh kepada kadar keganasan dan budaya samseng dalam arena politik yang sedang meningkat, seperti yang berlaku kepada Ganapathirao dan Papparaidu di Klang pada malam Rabu yang lepas.

Adalah jelas bahawa serangan keatas kedua-dua adik-beradik itu nyata bermotifkan politik berhubung dengan perhimpunan Indraf 2.0 di Brickfields, Kuala Lumpur pada hari Ahad yang lalu yang telah mereka anjurkan yang telah dihadiri ramai.

Ganapathirao telah mengalami keretakan pada hidungnya, rahang yang bengkak dan beberapa lebam sementara adiknya, Papparaidu telah mengalami kecederaan yang lebih serius dengan tangannya yang patah dan dislokasi bahu.

Kadar keganasan dan budaya samseng dalam arena politik beberapa minggu ini yang sedang meningkat terutama dengan sasaran terhadap pemimpin Pakatan Rakyat dalam majlis-majlis mereka mestilah dikecam dan dikutuk dengan serius – bukan sahaja oleh Pakatan Rakyat tetapi oleh Perdana Menteri, Menteri-menteri Kabinet dan semua pemimpin Barisan Nasional.

Saya telah mengemukakan cadangan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk mengadakan satu persidangan semua parti untuk menghentikan semua keganasan dan budaya samseng dalam arena politik untuk menegakkan keamanan, demokrasi dan sistem perlembagaan politik dalam negara.

DAP dan Pakatan Rakyat sudah bersedia untuk memberi komitmen untuk mengakhiri keganasan dan budaya samseng yang sedang menular kedalam budaya politik.

Apakah respon Perdana Menteri, Menteri Dalam Negeri, UMNO dan Barisan Nasional terhadap pendekatan ini?

Atau mahukah mereka melihat insiden-insiden keganasan dan budaya samseng dalam arena politik terus meningkat di Malaysia?


*Lim Kit Siang, Ketua Parlimen DAP & Ahli Parlimen Kawasan Ipoh Timor

 

 

Valid HTML 4.0 Transitional