red arrow http://limkitsiang.com 

 red arrow http://blog.limkitsiang.com 

 

Kenyataan media oleh Lim Kit Siang di Kota Kinabalu pada hari Sabtu, 21hb Julai 2012: 

Jawapan yang tidak bertanggungjawab dan pengecut oleh Hishammuddin sebagai Menteri Dalam Negeri yang paling teruk dalam sejarah negara ini

Ini merupakan jawapan yang amat tidak bertanggungjawab dan pengecut oleh Datuk Seri Hishammuddin Hussin yang membuktikan beliau sebagai Menteri Dalam Negeri yang paling teruk dalam sejarah negara ini.

Bagaimana seorang Menteri Dalam Negeri boleh mendakwa dengan jahil apabila pegawai tinggi Cawangan Khas (Special Khas) boleh mengumumkan secara terbuka dengan kenyataan liarnya terhadap parti-parti pembangkang dengan mengatakan yang pengganas Jemaah Islamiah (JI) dan komunis sedang meresap kedalam PAS dan DAP untuk diberi peluang bertanding dalam pilihanraya umum yang akan datang tanpa sekelumit pun bukti kesahihannya?

Kata Hishammuddin, beliau “tidak pasti” akan kenyataan Ketua Penolong Pengarah E2 (M) Bahagian Ancaman Ekstremis Sosial berhubung dengan dakwaan resapan pengganas Islamis dan komunis kedalam Pakatan Rakyat, dan “Saya tidak mempunyai maklumat relevan pada masa ini. Oleh itu, saya tidak boleh katakan jika ianya benar atau tidak. Apa yang saya boleh katakana adalah isu ini amat sensitif.”

Adakah ini respon Hishammuddin sekiranya Sofian mendakwa secara terbuka bahawa pengganas dan komunis sedang meresap kedalam UMNO, MCA, Gerakan, MIC dan parti-parti BN Sabah dan Sarawak untuk bertanding sebagai calon dalam pilihanraya yang akan datang?

Sudah pasti tidak!

Bolehkah diterima alasan daripada seorang Menteri Dalam Negeri yang sepatutnya bertanggungjawab dan teliti apabila mengatakan bahawa beliau tidak menerima maklumat yang penting seperti ini atau kelulusan daripada pihak beliau sebelum pegawai tinggi Cawangan Khas (Special Khas) ‘mengamuk’ dan mengeluarkan komen terhadap pihak pembangkang dan beliau kini tidak tahu akan kenyataan Sofian itu?

Adakah Sofian bertindak secara unilateral dan sewenang-wenangnya tanpa mendapat kebenaran daripada Ketua Polis Negara dan Menteri Dalam Negeri untuk membuat “serangan politik” terhadap Pakatan Rakyat? Jika ya, bukan sahaja telah Sofian melakukan kesalahan disiplin yang tidak dapat diterima oleh seorang kakitangan kerajaan, dia juga bersalah kerana telah bersikap anti-nasional dan patut digantung dengan serta-merta daripada jawatan Cawangan Khas sebelum memburukkan keadaan lagi dengan komen liar-fitnahnya.

Tiada sesiapa yang berfikiran waras akan percaya bahawa Sofian telah bertindak dalam kapasitinya sendiri seperti sebuah peluru berpandu tanpa halatuju.

Ini boleh disahkan oleh Sofian apabila memberitahu pihak media bahawa dia telah memberi 300 ceramah yang telah mendedahkan ancaman keselamatan yang didukung parti Pakatan Rakyat yang beliau menuduh sebagai “anti-kerajaan”.

Ini bererti Sofian telah lama meracuni dan mempengaruhi minda-minda awam, terutamanya golongan pelajar dan generasi muda anak bangsa Malaysia dengan pembohongan, fitnah dan teori konspirasi dalam tempoh dua tahun ini dengan tanggapan bahawa dia memberi ceramah secara purata sekali dalam tiga hari.

Sofian adalah contoh terbaik “ancaman ekstremis sosial nasional” yang sepatutnya dipantau oleh divisinya.

Bayangkan seorang Menteri Dalam Negeri yang tidak tahu apa yang dilakukan oleh pegawai jawatan tinggi Cawangan Khas (Special Branch) dalam ceramah umum dalam tempoh dua tahun ini?

Adakah Hishammuddin mengaku bahawa beliau adalah Menteri Dalam Negeri yang paling teruk dalam 54-tahun sejarah negara ini?


*Lim Kit Siang, Ketua Parlimen DAP & Ahli Parlimen Kawasan Ipoh Timor

 

 

Valid HTML 4.0 Transitional