Tugas pertama kempen “100 Hari ke Putrajaya” – buktikan ahli nujum UMNO/BN salah

Propagandis UMNO/Barisan Nasional telah berkerja keras untuk meramal pelbagai senario buruk untuk DAP, Pakatan Rakyat dan negara menjelang pilihan raya umum ke-13, sebagai contoh memberi amaran akan berulangnya rusuhan kaum 13 Mei, huru hara dan malahan Malaysia akan muflis dan menjadi seperti Greece dalam tempoh tiga tahun sekiranya UMNO/Barisan Nasional digantikan dengan Pakatan Rakyat di Putrajaya.

Sudah hampir lima tahun Pakatan Rakyat membentuk kerajaan negeri di Pulau Pinang, Selangor dan Kedah dan telah lebih 22 tahun sejak PAS menawan kerajaan negeri Kelantan. Pernahkah terjadi rusuhan kaum 13 Mei di negeri-negeri Pakatan Rakyat atau adakah mereka telah muflis?

Sekiranya pemerintahan Pakatan Rakyat begitu teruk, Datuk Seri Najib Razak tidak perlu melalui dua tahun kesengsaraan yang berulang dengan menangguh tarikh pilihan raya umum ke-13 kerana kurangnya keyakinan beliau bahawa UMNO/BN akan memperbaharui mandat untuk terus memerintah Malaysia.

Najib juga tidak perlu memilih jalan yang tidak mengikut perlembagaan dan tidak demokratik pada Febuari 2009 untuk melakukan kudeta haram bagi merampas kuasa kerajaan negeri Pakatan Rakyat yang telah dipilih oleh rakyat, akibatnya rakyat Perak bertekad untuk mengembalikan negeri Perak kepada Pakatan Rakyat pada pilihan raya umum ke-13.

Pemimpin dan propagandis UMNO/BN perlu diberitahu agar menghentikan ‘ramalan akhir zaman’ bohong mereka demi rakyat dan negara sekiranya mereka benar-benar cintakan Malaysia.

Sepertimana Kelantan belum lagi muflis selepas lebih 22 tahun pemerintahan PAS dan Pulau Pinang, Selangor dan Kedah tidak jatuh muflis selepas hampir lima tahun Pakatan Rakyat menjadi kerajaan negeri, malah sebenarnya menunjukkan rekod yang lebih baik daripada Barisan Nasional dalam tadbir urus yang baik dan menegakkan kebajikan rakyat, maka Malaysia tidak akan muflis selepas tiga tahun Pakatan Rakyat mentadbir.

Sebaliknya, di bawah kerajaan PR, Malaysia akan menetapkan satu jalan perkembangan baru menuju kemakmuran dan keadilan yang lebih hebat untuk semua rakyat Malaysia dan untuk negara, bukan sahaja kerana berakhirnya rasuah, kronisme dan penyalahgunaan kuasa tetapi kerana Malaysia akan ditadbir oleh pemimpin yang keutamaannya adalah kepentingan semua rakyat Malaysia dan negara, bukannya kroni dan diri mereka sendiri.

Tidak mungkin akan berulang rusuhan kaum seperti 13 Mei di dalam negara, sekiranya ada sebarang kejadian tidak dijangka berlaku selepas PRU13, kejadian itu bukanlah pertembungan antara orang Cina dan Melayu, tetapi antara orang Melayu dengan orang Melayu atau rakyat Malaysia dengan rakyat Malaysia dan kedua-duanya akan diketuai oleh orang Melayu.

Adakah Najib bersedia untuk kedepan dan memberikan jaminan kepada negara bahawa kejadian sedemikian tidak akan berlaku, kerana Malaysia telah mengamalkan sistem demokrasi berparlimen dan UMNO/BN komited kepada matlamat untuk menjadikan Malaysia “demokrasi terbaik dunia” – yang mestilah didahului dengan bermulanya sistem demokratik dua parti atau dua perikatan?

Sejak menjadi Perdana Menteri Najib seringkali dipetik menyebut “era kerajaan tahu segalanya telah berakhir”, akan tetapi ini jugalah janji yang paling kerap dilanggar.

Sehingga sekarang, meskipun telah berulangkali disoal di dalam dan luar Parlimen, Najib masih menolak untuk berjanji secara terbuka bahawa beliau akan berpegang sepenuhnya kepada semangat “era kerajaan tahu segalanya telah berakhir” dan sekiranya keputusan 13 juta pengundi dalam PRU13 adalah perubahan kerajaan persekutuan di Putrajaya, beliau dan UMNO akan hormat kepada keputusan itu dan juga memastikan peralihan kuasa yang aman kepada Pakatan Rakyat.

Jika Najib benar-benar percaya bahawa “era kerajaan tahu segalanya telah berakhir”, beliau sepatutnya mengarahkan semua pemimpin UMNO/BN untuk menghentikan pelbagai ‘ramalan akhir zaman’ bohong demi negara dan rakyat serta hentikan semua politik pembohongan, kebencian dan menakut-nakutkan terhadap Pakatan Rakyat.

Dalam “100 Hari ke Putrajaya”, memandangkan PRU13 akan berlangsung dalam tempoh 100 hari akan datang, DAP dan PR perlu mematahkan dan memaparkan kepalsuan semua ‘ramalan akhir zaman’ yang bohong serta keji yang dilontarkan oleh propagandis UMNO/BN untuk menakut-nakutkan pengundi Malaysia daripada melaksanakan hak dan tanggungjawab bersejarah mereka untuk membawa perubahan kerajaan persekutuan untuk pertama kalinya di dalam sejarah negara.

Memusnahkan dan memaparkan kepalsuan ‘ramalan-ramalan akhir zaman’ UMNO/BN mestilah bermula daripada Kongres Kebangsaan DAP ke-16 hujung minggu ini – dengan tugas pertama perwakilan DAP adalah untuk membuktikan ahli nujum UMNO/BN salah dengan sokongan kuat kepada kepimpinan Karpal-Guan Eng untuk mengetuai DAP di dalam pertarungan bersama PR untuk menawan Putrajaya dalam PRU13 dan untuk menguburkan semua pembohongan dan penipuan yang disebarkan propagandis UMNO/BN di dalam cubaan mereka untuk memecahbelahkan kepimpinan kebangsaan DAP.

Lim Kit Siang Ketua Parlimen DAP & Ahli Parlimen Kawasan Ipoh Timur