Transformasi apakah yang sedang Najib katakan apabila beliau tidak mampu membuatkan Perhimpunan Agung UMNO untuk menyokong dasar 1Malaysia?

Di dalam wawancaranya bersama Malay Mail semalam, ketika ditanya berkenaan “kumpulan yang skeptik dengan 1Malaysia di dalam UMNO sendiri”, Perdana Menteri, Datu Seri Najib Razak mengatakan adalah sengaja beliau tidak mentakrifkan konsep itu sejelas-jelasnya kerana “sepatutnya ada unsur kekaburan makna yang strategik supaya apabila anda perkenalkan konsep seperti itu, apabila masa berlalu, takrifannya dapat ditakrifkan dengan menerima pandangan orang lain sepanjang kita bergerak”.

Beliau bagaimanapun mendakwa “konsep 1Malaysia kini difahami dengan jelas”!

Ini merupakan dakwaan yang Najib sendiri mungkin tidak menyakininya.

Malah, rakyat Malaysia berhak untuk bertanya transformasi apakah yang sedang Najib katakan apabila beliau tidak mampu membuatkan Perhimpunan Agung UMNO menyokong dasar 1Malaysia beliau setelah empat tahun menjadi Perdana Menteri dan Presiden UMNO, sedangkan Dasar 1Malaysia merupakan asas kepada semua program “transformasi” beliau, baik kerajaan, ekonomi atau politik, contohnya GTP, ETP, PTP dan lain-lain.

Rakyat Malaysia terkejut selepas hampir empat tahun, Najib mengatakan beliau sengaja membiarkan konsep 1Malaysia kabur dan samar-samar, sedangkan itu bukan apa yang beliau katakan pada tahun pertama sebagai Perdana Menteri.

Sebagai contoh, pada Febuari 2010, di dalam ucapan dasarnya sewaktu Persidangan Ekonomi 1Malaysia, Najib meluahkan rasa sedih dengan pelbagai salah faham terhadap konsep 1Malaysia yang beliau perkenalkan ketika memegang jawatan Perdana Menteri pada April 2009, mengeluh: “Saya benar-benar sedih bahawa gagasan tersebut, yang tidak begitu kompleks, seringkali tidak difahami”.

Bagaimana Najib kini boleh mendakwa bahawa sejak awal, beliau telah sengaja membiarkan “unsur kekaburan makna yang strategik” di dalam takrifan 1Malaysia, apabila takrifan 1Malaysia telah disebut dengan penuh dan jelas sejak awal, terutamanya di dalam Pelan Hala Tuju Program Transformasi Kerajaan (GTP) 1Malaysia, yakni:

“Matlamat 1Malaysia adalah untuk menjadikan Malaysia lebih berdaya maju, lebih produktif dan lebih berdaya saing – dan kemuncaknya sebuah negara yang hebat: sebuah negara yang diharapkan agar setiap warga Malaysia melihat dirinya terlebih dahulu sebagai rakyat Malaysia, dan kemudiannya barulah melihat dirinya berdasarkan bangsa, agama, kawasan geografi dan latar belakang sosial,”

Pelan Hala Tuju GTP 1Malaysia mengisytiharkan Malaysia “Malaysia telah memilih jalan yang berbeza – perpaduan dalam kepelbagaian dan keterangkuman (inklusif) dan pada masa yang sama, memastikan kesaksamaan untuk semua. Konsep yang diperkukuhkan dalam Perlembagaan” – yang bermakna “kita menerima kepelbagaian etnik, agama dan kepercayaan dan dengan ciri keterangkuman, kita harus membina rasa salinghormat-menghormati dan saling menerima sebagai sebuah asas kepercayaandan kesepaduan”.

Jelas sejak awal lagi Najib tidak mendapat sokongan pemimpin UMNO dan Kabinet terhadap Dasar 1Malaysia beliau, kerana Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sendiri tidak berlapik sewaktu beliau menolak dasar 1Malaysia secara terbuka dengan mengisytiharkan dirinya “Melayu dahulu kemudian barulah rakyat Malaysia” – tanpa teguran dan sanggahan daripada Najib.

Malah pada Julai 2011, Najib mengelak ketika ditanya pada Persidangan Pemimpin Pelajar Malaysia sama ada beliau bersedia untuk menyatakan diri beliau sebagai rakyat Malaysia dahulu dan apa pandangan beliau tentang kata-kata Muhyiddin tentang “Melayu dahulu kemudian rakyat Malaysia”.

Najib tidak menjawab soalan, beliau berkata:

“Saya tidak akan jawab soalan yang akan menyebabkan perpecahan di antara saya dan timbalan saya. Percayalah saya, 1Malaysia akan menjadi pedoman kita. Tidak kiralah apa yang anda katakan selagi mana anda mengikut konsep 1Malaysia.”

Yang membimbangkan, Muhyiddin mendapat sokongan ‘tok dalang’ UMNO, Tun Dr. Mahathir yang secara terbuka menyatakan beliau tidak faham dengan konsep 1Malaysia Najib dan bahawa “Malaysia telah menjadi lebih perkauman daripada biasa”.

Kini Najib cuba menyembunyikan kegagalannya untuk mendapatkan sokongan pemimpin UMNO untuk dasar 1Malaysia sebagai tindakan yang disengajakan bagi kekaburan makna yang strategik supaya lebih ramai orang menerima konsep itu!

1Malaysia akhirnya menjadi gimik pilihan raya untuk memenangi undi buat UMNO/BN di dalam PRU13, “transformasi” daripada permulaannya pemberian kemeja-T 1Malaysia, bekas 1Malaysia dan buku nota 1Malaysia kepada Tangki Air 1Malaysia, Klinik 1Malaysia, Perumahan 1Malaysia dan Bantuan Tunai RM500 1Malaysia.

Tetapi UMNO masih komited pada ideologi eksklusif Ketuanan Melayu yang merupakan bertentangan kepada konsep 1Malaysia yang sepatutnya lebih inklusif.

Ini digambarkan melalui Perhimpunan Agung UMNO yang mana para perwakilan UMNO berdiri dan menangis tersentuh dengan persembahan ‘Anak Kecil Main Api’ oleh perwakilan Kelab UMNO luar negara, lagu yang meratapi nasib orang Melayu yang dipinggirkan di atas tanah airnya sendiri.

Lagu tersebut, yang dicipta oleh bekas ketua Biro Tata Negara (BTN), diajar kepada semua perserta kursus BTN, yang diwajibkan buat semua pelajar sebelum memasuki pusat pengajian tinggi tempatan atau ke luar negara dengan biasiswa kerajaan.

Persoalan yang timbul daripada episod ini adalah:

  • 55 tahun selepas Merdeka, 42 tahun selepas Dasar Ekonomi Baru dan setengah abad dominasi kuasa politik UMNO, siapa yang sepatutnya bertanggungjawab terhadap nasib orang Melayu yang dipinggirkan di negara sendiri? Bukankah UMNO-putra yang sepatutnya bertanggungjawab?

  • Dengan dasar dan konsep 1Malaysia, bukankah tumpuan terhadap golongan terpinggir dan terdiskriminasi di dalam negara sendiri sepatutnya dari kalangan rakyat Malaysia sama ada Melayu, Cina , India, Orang Asal, Kadazan atau Iban dan bukannya Cuma satu komuniti saja?

  • Bukankah ini bukti terbaik bahawa Biro Tata Negara telah menjadi agensi utama di dalam kerajaan menanam rasa anti-1Malaysia?

Bolehkah Najib menjawab tiga soalan ini dengan semangat 1Malaysia?

Lim Kit Siang Ketua Parlimen DAP & Ahli Parlimen Kawasan Ipoh Timur