red arrow http://limkitsiang.com 

 red arrow http://blog.limkitsiang.com 

 

Kenyataan media oleh Lim Kit Siang di Kuala Lumpur pada hari Rabu, 8hb Ogos 2012: 

Tajuk utama muka hadapan akhbar Utusan Malaysia “Haram Sokong DAP” bukti berkecainya polisi 1Malaysia Najib

Dengan menghitung 23 hari sebelum sambutan Hari Kemerdekaan Ke-55 dan 39 hari lagi bagi sambutan Hari Malaysia Ke-49, semua rakyat Malaysia yang patriotik dan nasionalis sedang menghadapi masa yang pahit apabila menyaksikan usaha-usaha segelintir untuk memisahkan dan memecahbelahkan rakyat daripada usaha untuk menyatupadukannya.

Hari ini, tajuk utama muka hadapan akhbar Utusan Malaysia, lidah rasmi UMNO, telah melaporkan berita “Haram Sokong DAP” memberikan gambaran bahawa polisi terkemuka 1Malaysia kepunyaan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak telah gagal dalam mewujudkan satu bangsa Malaysia dimana setiap rakyat Malaysia menganggap dirinya sebagai rakyat Malaysia dahulu dan kemudiannya mengikut kaum, agama, negeri dan status.

Tajuk utama Utusan Malaysia yang amat berbisa dan pada masa yang sama berskandal - “Haram Sokong DAP” merupakan dakwaan mengarut Utusan Malaysia, UMNO dan pimpinan Najib!

Adakah Utusan Malaysia kini diberi peranan untuk menimbulkan dan mengapi-apikan ketegangan dan konflik perkauman di Malaysia?

Persoalannya bukanlah ulama atau guru pondok yang mengeluarkan kenyataan tersebut tetapi bagaimana akhbar nasional kepunyaan UMNO yang sepatutnya bertanggungjawab diatas beritanya, tergamak untuk melaporkan berita sebegini dengan tajuk utamanya yang begitu berbisa sekali. Tiada lagi bukti yang lebih kukuh yang menuding kepada penghancuran polisi 1Malaysia Najib dalam tiga tahun ini yang sepatutnya menjadi penyumbang utama kepada usaha pembangunan negara dalam lima dekad ini!

Ataupun, adakah Najib mengaku bahawa beliau telah hilang kawalan keatas Utusan Malaysia dan akhbar lidah rasmi UMNO kini didalangi konco-konco UMNO yang tidak mempedulikannya atau polisi rasmi UMNO mahupun Barisan Nasional?

Saya tidak hairan jika perkara yang menjijikkan seperti ini dilakukan terhadap UMNO atau mana-mana parti komponen BN, dengan menggunakan tajuk utama yang memualkan ini “Haram Sokong UMNO”, “Haram Sokong MCA”, “Haram Sokong MCA”, Kementerian Dalam Negeri pastinya akan mengharamkan suratkhabar tersebut.

Tetapi sebaliknya, apa yang dapat dilihat adalah Perdana Menteri, Menteri Dalam Negeri dan kerajaan yang memerintah sekarang nampaknya membiarkan barah ini merebak ataupun memperakukan tindakan keji yang tidak bertanggungjawab, meluatkan dan berunsur fitnah dalam penerbitan akhbar ini.

Mungkinkah wujud satu konspirasi untuk membuktikan benar ramalan Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam bulan Jun yang lalu bahawa pilihanraya umum yang akan datang ini akan memfokuskan kepada isu perkauman kerana mengikut tanggapan beliau “negara Malaysia jauh lebih rasis sekarang berbanding dengan sebelumnya”!

Adakah ini sebab mengapa angkatan tentera seramai 10,000 ‘cybertrooper’ UMNO/Barisan Nasional telah direkrut untuk memutarbelitkan dan menyebar fitnah dan berita palsu, seperti yang dapat dilihat dalam filem “Tanda Putera” yang ditaja kerajaan berhubung dengan rusuhan 13 Mei 1969 dengan pelbagai dakwaan liar, tidak berasas dan berbisa bahawa saya telah memprovokasi dan mencetuskan rusuhan tersebut dalam perhimpunan jalanan, membunuh Melayu serta kencing dibawah tiang bendera di rumah kediaman Menteri Besar Selangor yang jelas fitnah semata-mata kerana saya tidak berada di Kuala Lumpur pada 11, 12 dan 13 Mei 1969?

Akhbar yang diberi kebebasan untuk menerbitkan tajuk utama berita seperti “Haram Sokong DAP” jelas sebuah akhbar yang anti-nasional dan anti-Malaysia.

Rakyat Malaysia dan warga dunia sedang memerhatikan tindak tanduk negara ini.

Adakah Najib yang melaung-laungkan seruan supaya “golongan yang sederhana mesti bersatu padu” dalam forum-forum antarabangsa, akan berani mengambil tindakan terhadap Utusan Malaysia sebagai satu contoh sifat kewartawanan yang buruk, tidak bertanggungjawab, ekstrim, menghasut dan anti-nasional untuk menimbulkan ketegangan diantara kaum, prasangka buruk diantara agama dan memperlekehkan perpaduan kaum di Malaysia?


*Lim Kit Siang, DAP Parliamentary Leader & MP for Ipoh Timor

 

 

Valid HTML 4.0 Transitional