red arrow http://limkitsiang.com 

 red arrow http://blog.limkitsiang.com 

 

Jawapan Bertulis YB Dato' Seri Mohamed Nazri Bin Abdul Aziz, Menteri di Jabatan Perdana Menteri semasa Menggulung Perbahasan Bajet 2012 (Peringkat Dasar) di Dewan Rakyat pada hari Isnin, 24hb Oktober 2011: 

Jawapan Bertulis YB Dato' Seri Mohamed Nazri Bin Abdul Aziz, Menteri di Jabatan Perdana Menteri di Dewan Rakyat

Yang Berhormat Ipoh Timur mencadangkan agar suatu Suruhanjaya Siasatan Diraja ditubuhkan untuk menyiasat kematian Ahmad Sharbani.

Untuk makluman Yang Berhormat, secara amnya Suruhanjaya Siasatan ditubuhkan untuk menyiasat secara terperinci burhubung dengan perkara tertentu yang mendesak dan melibatkan kepentingan awam vital public importance. Perlu ditekankan bahawa peranan Suruhanjaya Siasatan adalah untuk membantu dan menasihati Kerajaan dalam memahami sesuatu perkara itu dengan lebih jelas dan terperinci melalui hasil laporannya dan bukannya untuk memberi sesuatu keputusan berhubugn dengan sesuatu perkara.

Perenggan 2(1)(d) Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 [AKta 119] memperuntukkan kuasa kepada Yang di-Pertuan Agong untuk menubuhkan satu Surhuhanjaya Siasatan untuk menyiasat "apa-apa perkara lain yang siasatannya, pada pendapat Yang di-Pertuan Agong, berfaedah bagi kebajikan awam...".

Sehubungan dengan itu, persoalannya adalah sama ada kematian Ahmad Sharbani wajar disiasat melalui suatu Suruhanjaya Siasatan ataupun melalui mekanisme tatacara jenayah yang lazim. Diperhatikan bahawa ungkapan 'kebajikan awam' dalam perenggan 2(1)(d) Akta 119 tidak ditafsirkan atau diperuntukkan bagi maksud pemakaian Akta tersebut. Dalam hal ini Yang di-Pertuan Agong, boleh menubuhkan suatu Suruhanjyay Siasatan untuk menyiasat kematian Ahmad Sharbani sekiranya 'pada pendapat Yang di Pertun Agong, berfaedah bagi kebajikan awam' selaras dengan peruntukan tersebut.

Namun demikian, perlu ditekankan bahawa pelaksanaan fungsi Yang di Pertuan Agong di bawah Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 tersebut adalah suatu pelaksanaan fungsi di bawah undang-undang persekutuan bagi maksud Fasal (1) Perkara 40 Perlembagaan Persekutuan yang mana ia hendaklah dilaksanakan mengikut nasihat Jemaah Menteri ataupun Menteri yang bertindak di bawah kuasa am Jemaah Menteri. Fasal (1) Perkara 40 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa "Pada menjalankan fungsinya di bawah Perlembagaan ini atau undang-undang persekutuan, Yang di-Pertuan Agong hendaklah bertindak mengikut nasihat Jemaah Menteri atau nasihat seseorang Menteri yang bertindak di bawah kuasa am Jemaah Menteri, kecuali sebagaimana yang diperuntukkan selainnya oleh Perlembagaan ini."

Oleh yang demikian, keputusan Yang di-Pertuan Agong untuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan untuk menyiasat kematian Ahmad Sharbani adalah tertakluk kepada nasihat Jemaah Menteri.

Namun buat masa ini, Kerajaan tidak bercadang untuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan untuk menyiasat kematian Ahmad Sharbani berikutan mahkamah telah membuat keputusannya.

Yang Berhormat Ipoh Timur memohon agar keutamaan diberikan untuk membahaskan Usul persendirian mengenai isu plagiarism yang dibawa oleh Ahli Parlimen Bukit Gelugor di Dewan ini.

Untuk makluman Yang Berhormat, Perkara 127 Perlembagaan Persekutuan melarang perbincangan mengenai kelakuan seseorang hakim Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan atau Mahkamah Tinggi di dalam Parlimen kecuali suatu usul khusus yang notis mengenainya telah diberikan oleh tidak kurang daripada satu perempat daripada jumlah bilangan ahli Majlis Parlimen.

Selanjutnya, Peraturan Mesyuarat 36(8) Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat juga melarang antaranya menyebut dalam isi-isi ucapan ahli-ahli Majlis Parlimen pada Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat mengenai kelakuan atau sifat Hakim-hakim kecuali dikeluarkan usul bersendiri bagi maksud itu.

Peraturan 27 Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat menyatakan cara-cara mengeluarkan pemberitahu (notis) yang antaranya pemberitahu bagi usul yang bukan dengan nama Menteri, hendaklah dihantar kepada Setiausaha tidak kurang daripada 14 hari terlebih dahulu dengan bertulis dalam waktu pejabat biasa.

Oleh yang demikian, berdasarkan peruntukan yang dinyatakan di atas, adalah jelas bahawa kelakuan seseorang hakim Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan atau Mahkamah Tinggi tidak boleh dibincangkan di Parlimen kecuali melalui suatu usul khusus yang memenuhi dan mengikut tatacara yang dinyatakan dalam perkara 127 Perlembagaan Persekutuan, Peraturan Mesyuarat 36(8) dan Peraturan Mesyuarat 27 Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.

Selanjutnya, jika usul mengenai isu plagiarism ini perlu memenuhi dan mengikut tatacara yang dinyatakan di atas, usul tersebut boleh dibincangkan di Parlimen. Walau bagaimanapun, Peraturan Mesyuarat 15 Peraturan-peraturan Mesyuarat Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat memperuntukkan bahawa urusan Kerajaan hendaklah didahulukan daripada urusan lain. Selagi urusan Kerajaan belum selesai, usul oleh ahli bukan ahli Kerajaan tidak boleh dibincangkan.

Yang Berhormat Ipoh Timur menggesa agar tuntutan Bersih 2.0 diambil perhatian oleh Suruhanjaya Pilihan Raya dan Jawatankuasa Pilihan Khas Berhubung Dengan Penambahbaikan Proses Pilihan Raya.

Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, SPR senantiasa responsif terhadap perubahan-perubahan semasa dengan melakukan proses rekayasa menerusi usaha pengupayaan dan penambahbaikan di dalam pengurusan dan operasinya demi untuk memantapkan lagi sistem pilihan raya, sekali gus demokrasi di Malaysia. Walau bagainmanapun, sebarang usaha tersebut perlu berpandukan kepada asas Perlembagaan Persekutuan dan lunas demokrasi Negara.

Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, berhubung dengan "BERSIH 2.0" yang menuntut 8 perkara yang terdiri daripada;

(i) SPR perlu melaksanakan Pembersihan Daftar Pemilih;

(ii) SPR perlu melaksanakan Pembaharuan Sistem Undi Pos;

(iii) SPR perlu melaksanakan Penggunaan Dakwat Kekal;

(iv) SPR perlu memperuntukkan Tempoh Berkempen Tidak Kurang dari 21 hari;

(v) SPR perlu menjamin adanya Akses Media Yang Bebas dan Adil;

(vi) Memperkukuhkan Institusi Awam;

(vii) Memberhentikan Amalan Rasuah; dan

(viii) Memberhentikan AMalan Politik Kotor,

SPR mendapati hanya 5 perkara sahaja yang mempunyai perkaitan secara langsung dengan bidang tugasnya iaitu Perkara (i) sehinggan (v) sahaja, manakala perkara (vi) hingga (viii) bukan termasuk di dalam bidang kuasa SPR.

Perkara-perkara yang dibangkitkan bukan baru kerana ia juga sering ditimbulkan di persidangan Parlimen, sama ada di Dewan Rakyat mahupun Dewan Negara oleh Ahli-ahli Yang Berhormat yang telah dipilih oleh rakyat secara sah di sisi Perlembagaan. Malah, tanpa tuntutan tersebut pun, perkara-perkara ini telah lama dan senantiasa menjadi fokus dan diambil maklum oleh SPR untuk dikaji dan dilaksanakan mengikut masa dan keadaan serta kemampuan.

Walau bagaimanapun, sekiranya Ahli Yang Berhormat berpendapat proses pilihan raya yang sedia ada perlu ditambahbaik lagi maka eloklah dikemukakan sebarang pandangan dan cadangan penambahbaikan kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Berhubung Dengan Penambahbaikan Proses Pilihan Raya untuk dikaji sebelum dikemukakan kepada SPR untuk dilaksanakan sekiranya sesuai.

Yang Berhomat Ipoh Timur meminta Kerajaan menyiasat tuduhan rasuah terhadap Peguam Negara yang dilemparkan oleh bekas Ketua CID Kuala Lumpur, Dato' Mat Zain Ibrahim yang dibuat melalui surat terbuka.

Untuk makluman Yang Berhormat, perkara ini telah pun diperjelaskan oleh saya pada 14 Disember 2010 di Dewan Yang Mulia ini.

Ahli Panel Bebas yang terdiri daripada Datuk Abdul Kadir Sulaiman dan Datuk Wira Mohd. Noor Ahmad, mantan Hakim Mahkamah Persekutuan dan Datuk Mohd. Noor Abdullah, mantan Hakim Mahkamah Rayuan mendapati tiada kes ke atas Peguam Negara dengan majority 2-1.

Yang Berhormat Permatang Pauh, Yang Berhormat Ipoh Timur, Yang Berhormat Kuala Kedah, Yang Berhormat Rantau Panjang dan Yang Berhormat Pokok Sena ingin mengetahui kenapa laporan Ketua Audit Negar 2010 belum dibentangkan di Parlimen walaupun Bajet 2012 telah dibentangkan.

Untuk makluman Yang Berhormat, tidak ada peraturan yang menetapkan Laporan Ketua Audit Negara perlu dibentang pada hari yang sama dengan pembentangan bajet. Sejak tahun 2010, Laporan Ketua Audit Negara tidak dibentangkan pada hari yang sama dengan pembentangan Bajet bagi membolehkan kedua-dua perkara mendapat liputan yang saksama untuk semua pihak. Laporan Ketua Audit Negara bagi tahu 2010 telah dibentangkan di Dewan Yang Mulia pada hari ini bersekali dengan laporan maklum balas yang disediakan oleh Perbendaharaan Malaysia.


*Lim Kit Siang, Ketua Parlimen DAP & Ahli Parlimen Kawasan Ipoh Timor

 

 

Valid HTML 4.0 Transitional