red arrow http://dapmalaysia.org 

 red arrow http://blog.limkitsiang.com 

 

Kenyataan media oleh Lim Kit Siang di Petaling Jaya pada hari Selasa, 20hb Julai 2010: 

Perdana Menteri dan Kabinet mesti menegur Nik Ali kerana melintasi batasan sebagai seorang kakitangan kerajaan teladan dengan menuduh Ketua Menteri Pulau Pinang "biadap" dalam sidang media UMNO

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Kabinetnya mesti menegur Pegawai Pembangunan Negeri Pulau Pinang bawah Kerajaan Persekutuan (SDO), Nik Ali Mat Yunus dalam mesyuarat Jemaah Menteri esok kerana melintasi batasan sebagai seorang kakitangan kerajaan teladan dengan menuduh Ketua Menteri Pulau Pinang "biadap" dalam sidang media UMNO di Pulau Pinang semalam.

Dengan tidak mengendahkan perbezaan penting di antara parti dan kerajaan serta mengutuk Ketua Menteri Pulau Pinang dalam sidang media UMNO di Pulau Pinang, Nik Ali telah bertindak sebagai seorang operatif UMNO atau seorang wakil UMNO yang berkuasa penuh di Pulau Pinang. Dengan ini, beliau telah melupakan peranan utama dirinya sebagai kakitangan kerajaan - sungguhpun seorang kakitangan kerajaan Persekutuan yang paling tinggi pangkatnya - yang mesti bekerjasama sebaik-baiknya dengan kerajaan negeri demi kebajikan negeri dan rakyat.

Dalam menunjukkan ketidakhormatan terhadap Ketua Menteri Pulau Pinang, Nik Ali membongkarkan sikapnya yang langsung tidak menghormati proses demokrasi, hak dan keputusan rakyat Pulau Pinang dalam memilih kerajaan serta Ketua Menteri mereka sendiri.

Alasan Ali bahawa beliau hanya perlu berakauntabel terhadap majikannya dalam Kerajaan Persekutuan mencerminkan satu era yang tidak mengenali nilai-nilai kebertanggungjawapan, ketelusan dan pentadbiran yang baik dan bertentangan dengan dasar "1 Malaysia. Rakyat Didahulukan. Pencapaian Diutamakan" yang dikemukakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Sebenarnya, Nik Ali merupakan seorang Napoleon kecil yang belum memahami dan menghadamkan salah satu kenyataan pertama Najib sebagai Perdana Menteri iaitu "Era di mana kerajaan sahaja yang paling serba-tahu telah berlalu".

Napoleon kecil yang ujud di mana-mana sahaja dalam sektor perkhidmatan awam, sama ada di peringkat Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri mahupun Kerajaan Tempatan, mesti dikenakan tindakan yang paling tegas, dan Jemaah Menteri mestikan mengambil tindakan yang sekeras-kerasnya terhadap Nik Ali.

Pegawai Pembangunan Negeri di bawah Kerajaan Persekutuan sepatutnya memainkan peranan sebagai sebuah jambatan di antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri, terutamanya apabila kedua-dua kerajaan ini dibentuk oleh parti politik yang berbeza, dan bukannya cuba bertindak sebagai pengkhianat utama parti politik yang membentuk kerajaan Persekutuan dan bertindak menentang dasar dan program Kerajaan Negeri.


*Lim Kit Siang, Ketua Parlimen DAP & Ahli Parlimen bagi Ipoh Timor

 

 

Valid HTML 4.0 Transitional