http://dapmalaysia.org  

Perlanjutan lapan tahun konsesei Lebuhraya Utara Selatan PLUS tidak harus ditandatangani tanpa melalui proses rundingan dan persetujuan Parlimen


Ucapan
-
semasa menyertai perbahasan ke atas usul mengenai cadangan perlanjutan lapan tahun konsesi PLUS
oleh
Lim Kit Siang

(Dewan Rakyat, Selasa): Tiga bulan yang lepas, saya telah secara spesifiknya bertanya kepada Menteri Kerja Raya, Datuk Seri S Samy Vellu samada benar bahawa tanpa disedari rakyat dan para ahli Parlimen, kerajaan telah secara rahsianya bersetuju untuk melanjutkan konsesi Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS)  sepanjang lapan tahun lagi, menjadikannya “cash cow” 50 tahun untuk PLUS sehingga 2038.  

Ini adalah kerana semasa menjawab bantahan yang berlaku di seluruh negara terhadap kenaikan tol PLUS yang baru, Samy Vellu telah dengan tidak sengaja berkata pada Disember tahun lepas bahawa kerajaan terpaksa membayar pampasan sebanyak RM38 bilion kepada PLUS sepanjang 33 tahun yang akan datang sekiranya kenaikan tol PLUS 10% pada 1.1.2005 tidak ditunaikan – bererti konsesi berkenaan akan berlanjut ke tahun 2038, sesuatu yang tidak pernah diketahui rakyat maupun para ahli Parlimen Malaysia! 

Sebagaimana yang telah saya tunjukkan pada masa itu, dakwaan Samy Vellu bahawa PLUS akan dibayar pampasan RM38 bilion dalam tempoh 33 tahun yang akan datang sebenarnya sesuatu yang tidak masuk akal memandangkan konsesi PLUS  kini adalah sepanjang 42 tahun iaitu dari 1988, berakhir pada 2030 – atau 25 tahun lagi. Dalam 1999, konsesi PLUS sepanjang 30 tahun (1988 – 2018) telah dilanjutkan sepanjang 12 tahun hingga 2030, berikutan dengan suatu rundingan semula yang menghasilkan struktur  tol baru, dengan kenaikan kadar setiap tiga ke lima tahun dan bukannya setiap tahun sepertimana yang termaktub di kontrak asal.

Saya berkata saya tidak percaya bahawa Samy Vellu telah nyanyuk dan melakukan kesilapan yang begitu besar mengenai tempoh konsesi PLUS, dan ianya hanya bermakna bahawa tanpa disedari orang ramai dan Parlimen, Kementerian Kerja Raya telah secara rahsianya memberikan perlanjutan lapan tahun lagi konsesi PLUS, iaitu sepanjang 50 tahun pada keseluruhannya! 

Soal dan sangsi saya Disember lepas kini dibuktikan benar berikutan dengan pengumuman Samy Vellu Khamis lepas bahawa kerajaan telah bersetuju untuk melanjutkan tempoh konsesi PLUS sepanjang lapan tahun tujuh bulan di bawah satu pekej menaik tarafkan lebuhraya berkenaan, menambahkan dua lorong di bahagian Seremban-Ayer Keroh dan Rawang-Tanjung Malim serta memindahkan pondok tol Jelapang di Ipoh. 

Samy Vellu berkata bahawa kerja-kerja naik taraf bernilai RM1.37 bilion akan ditanggung menerusi menghapus-kirakan pinjaman kerajaan sebanyak RM962 juta kepada PLUS, pengambilalih Lebuhraya Seremban-Port Dickson oleh PLUS yang dianggar bernilai RM50.27 juta serta perlanjutan konsesi dianggar bernilai RM361.89 juta. PLUS juga akan mendapat pinjaman komersial RM900 juta untuk melakukan kerja-kerja tambahan. 

Para ahli Parlimen semestinya masih ingat lagi mesyuarat Dewan Rakyat pada 14hb Disember yang lepas yang dihuraiakn oleh New Straits Times sebagai “a rare show of unity and solidarity in Parliament”, di mana semua ahli Parlimen, Barisan Nasional dan Pembangkang sekali, sebulat suara di dalam bantahan mereka terhadap tindakan kerajaan yang mengizinkan PLUS Bhd menaikkan kadar tolnya sebanyak 10% tahun seterusnya. 

Ahli Parlimen Seri Gading Datuk Mohamad Aziz merupakan salah seorang yang paling lantang membantah kenaikan kadar tol 10% ini, dan beliau memberitahu Menteri Kerja Raya bahawa kenaikan tol ini merupakan satu beban kepada  seluruh populasi Malaysia seramai 25 juta orang!

 Menteri Kerja Raya Samy Vellu, yang berada di dalam Dewan ini pada masa itu, cuba mententeramkan bantahan dan kemarahan para ahli Parlimen dengan berjanji untuk mebawa isu ini untuk dibincang di mesyuarat Kabinet hari berikutnya. 

Apakah hasil perbincangan Kabinet setelah mempertimbangkan pendirian bersatu para ahli Parlimen dari Barisan Nasional dan Pembangkang yang membantah kenaikan kadar tol sebanyak 10% bermula dari 1.1 2005? 

Jawapannya dapat dibaca dari laporan muka depan New Straits Times bertarikh 17hb Disember 2004, yang bertajuk “That 10% Hike Stays”, dan secara ketaranya memetik percakapan Samy Vellu:  

“The agreement states that the Government has to pay PLUS RM154 million in compensation for not raising the toll charges by 10 per cent. 

“’If we stop the North South Expressway toll hike it would be a big burden on the Government, We would have to pay RM38 billion to PLUS over the next 33 years. This money could be utilized for other projects,’ said Works Minister Datuk Seri S Samy Vellu”. 

Selama tiga bulan ini, saya telah membangkitkan persoalan berikut yang tidak mendapat sebarang jawapan. Saya berharap jawapannya akan dibekalkan dalam perbahasan ini dari jawapan Timbalan Menteri Kerja Raya kelak: 

  1. Bukankah Samy Vellu telah sedar mengenai angka-angka pampasan ini semasa isu kenaikan kadar tol PLUS dibangkitkan oleh para ahli Parlimen di Dewan Rakyat pada 14hb Disember 2004 sebelum mesyuarat Kabinet, dan jika ya, mengapakah para ahli Parlimen tidak diberitahu mengenai angka-angka yang mengejutkan ini? Adalah Samy Vellu telah bersalah kerana melanggari hak dan keistimewaan Parlimen dengan merahsiakan atau menyembunyikan maklumat yang penting daripada Parlimen, kamar perundangan tertinggi negara ini, ataupun beliau hanya diberitahu mengenai angka-angka ini setelah mesyuarat Parlimen berkenaan?
  2. Keduanya, mengapakah kerajaan perlu membayar pampasan kepada PLUS selama 33 tahun sehingga 2038 sedangkan dalam Disember 2004, konsesi PLUS 30 tahun yang bermula pada Mei 1988 akan berakhir pada 2030 setelah perlanjutan 12 tahun diberikan dalam 1999? Dengan hanya 25 tahun lagi sebelum konsesi berakhir, pada kadar pampasan RM154 juta setahun, jumlah pampasan yang perlu di bayar sehingga akhir tempoh konsesi adalah RM3.85 bilion, satu per sepuluh angka RM38 bilion yang didakwa oleh Samy Vellu. Ataupun mungkin kerajaan telah secara rahsianya – tanpa memberitahu rakyat dan Parlimen – memberikan perlanjutan tempoh lapan tahun konsesi PLUS menjadikannya ‘cash cow’ 50 tahun dan ‘pencetak wang’ untuk PLUS dari 1988 ke 2038?
  3. Mengapakah kerajaan perlu membayar PLUS RM38 bilion sebagai pampasan untuk tempoh 33 tahun seterusnya sungguhpun pempasan untuk tempoh 33 tahun sebanyak RM154 juta setahun tidak menjadikan angka akhir RM38 bilion tetapi hanya RM5 bilion?
  4. Apabila Samy Vellu berkata bahawa PLUS berhak mendapatkan pampasan RM38 bilion dari kerajaan dalam 33 tahun seterusnya sekiranya ia tidak dibenarkan menaikkan kadar tol sebanyak 10%, adakah ini bermakna bahawa dalam tempoh 33 tahun ini, PLUS berhak mengutip tol lebih kurang RM380 bilion dari pengguna PLUS Malaysia?

Satu isu yang perlu ditangani oleh Dewan kita hari ini adalah samada apa yang berlaku di dalam Dewan ini, dengan memetik Shakespeare, hanyalah merupakan “Full of sound and fury, signifying nothing”, bahawa sungguhpun para ahli Parlimen, tidak kira dari Barisan Nasional atau Pembangkang , mengambil pendirian yang sama, tetapi semuanya tidak memberi sebarang kesan kerana Parlimen hanya merupakan satu ‘rubber stamp’ bagi Kementerian Kerja Raya atau kerajaan untuk meneruskan dan melanjutkan kontrak-kontrak penswastaannya dan bukannya ada sebarang peranan yang bermakna dalam proses membuat keputusan atau perundingan? 

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah berkata di Rumah Terbuka Yang Di Pertua Parlimen pada hari terakhir mesyuarat Bajet  Parlimen pada 14hb Disember 2004 bahawa Parlimen bukanlah “rubber stamp’. 

Jika ini benar, Kabinet haruslah mendengar suara yang datang dari Parlimen, khasnya apabila ia merupakan pendirian bersama semua ahli Parlimen kedua-dua belah Dewan. Pada hakikatnyam sekiranya Kabinet berpegang kepada prinsip dan amalan demokrasi Parlimen, ianya mestilah menerima prinsip asas keutuhan parlimen dan Kabinet serta Eksekutif harus mengikuti kehendaki pandangan bersama ahli-ahli Parlimen – samada atas isu kenaikan tol PLUS yang tidak adil atau lain-lain isu. 

Semasa Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menjadi Perdana Menteri 17 bulan yang lepas, beliau telah menjanjikan sebuah pentadbiran yang lebih bertanggungjawab, telus dan berbentuk rundingan. Kerajaan beliau juga mengumumkan satu kajian semula yang asas akan dijalankan terhadap kontrak-kontrak penswastaan demi menanganai masalah urusan-urusan penswastaan  yang berat sebelah dan tidak menguntungkan kepentingan para pengguna serta rakyat jelata dalam jangka panjang. 

PLUS merupakan salah satu projek penswastaan mega yang berulang kali menjadi sasaran permintaan awam supaya dikaji semula dan menjadikannya lebih adil terhadap para pengguna lebuhraya. 

Janji Abdullah untuk membentuk pentabdiran yang lebih akauntabel, telus dan berbentuk rundingan akan menghadapi tamparan kredibiliti sekiranya kerajaan bukan sahaja gagal mengkaji semula dan memperbetulkan konsesi PLUS yang berat sebelah, tetapi turut membenarkan perlanjutan tempoh konsesei PLUS untuk lapan tahun lagi tanpa sebarang input, perbincangan atau perundingan orang awam. 

Parlimen, yang mendapat sokongan sebulat suara semua ahli Parlimen dari kedua-dua belah Dewan, harus meminta supaya kerajaan tidak menandatangani  perjanjian ketiga melanjutkan tempoh konsesi PLUS ini untuk lapan tahun lagi tanpa rundingan dan persetujuan Parlimen. 

Ahli-ahli Parlimen, Barisan Nasional dan Pembangnkang, harus mengambil pendirian yang sama dan meminta supaya perlanjutan tempoh konsesei PLUS baru ini harus dirujukkan kepada Jawatankuasa Pilihan Parlimen terlebih dahulu sebelum ditandatangani, kerana rakyat Malaysia berhak diberitahu mengapakah kerajaan terpaksa membayar pampasan sebanyak RM38 bilion kepada PLUS  untuk 33 tahun seterusnya sebagai salah satu syarat bagi perlanjutan baru konsesei ini dalam segi struktur tol. 

Keduanya, bagaimanakah kerja-kerja mengkaji semula kontrak-kontrak penswastaan yang berat sebelah dan tidak menguntungkan kerajaan serta orang awam yang dijanjikan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada Julai tahun lepas telah membawa kesan ke atas perlanjutan konsesi PLUS ini – misalnya menjadikan proses lebih telus dan menjadikan konsesi PLUS dokumen umum? 

Ketiganya, samada perlanjutan konsesi selama lapan tahun ini akan menyebabkan para pengguna lebuhraya membayar kadar tol setinggi RM300 sekiranya mereka memandu 848 km dari Johor Bharu ke Bukit Kayu Hitam pada akhir konsesei 50 tahun PLUS ini?

Keempatnya, apakah jaminan yang ada bahawa konsesei PLUS ini tidak akan diperlanjutkan lagi di masa depan dan menjadikannya konsesi 80 tahun atau 100 tahun?

 Kelimanya, adakah lain-lain opsyen pernah dipertimbangkan secara serius selain dari terus membayar PLUS untuk melebarkan lebuhraya Utara Selatan supaya PLUS terus mengaut keuntungan sementara rakyat terus dibebankan? 

Sebagai contohnya, mengapakah PLUS harus dibayar pampasan untuk kerja-kerja menaik tarafkan lebuhraya? Sekiranya berlaku kecacatan  dan kesendatan yang perlu dibaiki demi memastikan perjalanan licin lebuhraya tersebut, ianya haruslah menjadi obligasi pemegang konsesi untuk melakukan kerja-kerja ini dengan belanjanya sendiri, yang akan membawa jumlah trakfik yang tinggi, jumlah kutipan tol yang tinggi dan keuntungan yang tinggi. Konsesi lebuhraya yang tidak berat sebelah dan tidak menipu  orang ramai akan  mempunyai peruntukan yang sedemikian, kerana selebar jalan yang ada akan menjaminkan sebesar keuntungan yang ada untuk pemegang konsesi, dan tidak ada sebarang alasan pun bagi dana awam di belanjakan untuk tujuan sebegini. 

Sebenarnya, kerajaan tidak harus membelanjakan RM1 bilion untuk membiayai kerja pelebaran lebuhraya PLUS di dua kawasan, sebaliknya ia harus mempertimbangkan supaya menggunakan wang tersebut untuk menaik tarafkan jalan-jalan yang lama menjadikan mereka lebuhraya-lebuhraya berstandard, seterusnya menjadi laluan  alternative yang bermakna untuk lebuhraya Utara Selatan. 

Kementerian Kerja Raya nampaknya lebih cepat bertindak dalam mempertahankan kepentingan PLUS. Samy Vellu telah mengumumkan baru-baru ini bahawa kerajaan akan meminda undang-undang untuk membenarkan PLUS mengenakan denda ke atas pengguna lebuhraya yang “overstay’ di atas Lebuhraya dan juga mereka yang disyaki menipu pembayaran tol. 

Dua Jumaat yang lepas pada 18hb Mac 2005, satu kemalangan berlaku di Lebuhraya Utara Selatan di KM 210 berdekatan dengan Pedas pada lebih kurang 10 malam, menyebabkan satu kesesakan jalanraya selama lima jam dan bahagian Seremban-Ayer Keruh langsung tidak dapat dilalui. Ini tidak harus berlaku sekiranya PLUS memandang tanggungjawabnya secara serius dan mengalihkan rintangan di atas lebuhraya  secepat yang mungkin. Saya telah menerima SMS berikut pada masa itu: “My husband, Kuan Kok  Keong, met the terrible highway traffic jam on 18 nights. He depart KL at 9pm, arrive Simpang Rengam exit next morning 5.30am.” 

Adakah Samy Vellu bersedia untuk meminda undang-undang dan mengkehendaki PLUS membayar pampasan kepada para pengguna lebuhraya yang tersekat di atas lebuhraya berkenaan untuk masa yang berpanjangan berikutan dengan kesesakan lalulintas yang serius, sesuatu yang bertentangan dengan janjinya untuk membekalkan “perjalanan yang selesa, selamat dan laju.? 

Saya meminta para ahli Parlimen supaya konsisten dalam meminta supaya semua proses penswastaan khasnya lebuhraya seperti ini, supaya lebih bertanggungjawab dan mengambil pendirian yang bersama supaya tidak lagi ditandatangani perlanjutan konsesi PLUS untuk kali ketiga tanpa melalui proses perundingan Parlimen atau mendapatkan persetujuan Parlimen terlebih dahulu, atas dua sebab: 

  • Mengakhiri sejarah kontrak penswastaan berat sebelah yang terlalu menjaga kepentingan korporat pemegang konsesi dan mengorbankan kepentingan para pengguna dan pengguna lebuhraya
  • Memberikan makna kepada janji yang dibuat oleh Perdana Menteri untuk memulakan pentadbiran yang lebih bertangungjawab, telus dan bersifat perundingan, di mana Parlimen dibebaskan dari cengkaman Eksekutif selaras dengan doktrik pengasingan kuasa.

 

(29/3/2005)


*  Lim Kit Siang, Ketua Pembangkang Parlimen dan ahli Parlimen kawasan Ipoh Timur